Keperluan Asas Pokok Hiasan

Mungkin ada di antara kita yang menyerahkan tumbesaran pokok tanaman kita kepada nasib dan alam semula jadi untuknya membesar tanpa mengambil inisiatif untuk mengetahui keperluan tertentu bagi setiap pokok yang ditanam. Sebenarnya setiap pokok mempunyai keperluannya yang tersendiri untuk hidup subur dan cantik sentiasa. Keperluan yang dimaksudkan itu ialah medium tanaman, kekerapan siraman air, dedahan kepada cahaya matahari serta jenis baja dan kekerapan pembajaan yang sesuai untuknya tumbuh subur.

Proses-proses yang perlu dilalui oleh tumbuhan menggunakan bahan serta keperluan di atas ialah fotosintesis, respiratori dan transpirasi. Proses-proses ini secara ringkasnya menghasilkan makanan, tenaga, menolong pengedaran bahan mineral ke seluruh bahagian pokok serta menyejukkan pokok apabila hari panas. Dengan memberi keperluan yang seharusnya pada setiap pokok yang ditanam itu, Insya-ALLAH, ia akan hidup subur sentiasa,

Mungkin ada di antara pembaca biasa mendengar dan mempercayai kata-kata bahawa hanya orang tertentu yang mempunyai ‘tangan yang sejuk’ atau green fingers yang boleh menanam pokok hiasan dengan jayanya. Saya tidak pasti sama ada kepercayaan itu betul atau tidak kerana tiada kajian ilmiah terperinci dilakukan bagi membuktikan kesahihannya.

Namun, apa yang pasti dan boleh diamalkan ialah:
1) Mulakan apa-apa kerja penanaman pokok dengan bacaan Bismillah…
2) Berikan segala keperluan pada setiap pokok yang ditanam itu untuknya hidup subur.
3) Bertawakkal kepada ALLAH dan Insya-ALLAH pokok kita akan hidup subur. Jika ia mati sekalipun, kita perlu mencari puncanya dan cuba untuk menanamnya semula sehingga berjaya dan jangan sesekali berputus asa. Mungkin kita kurang memberI perhatian ke atas keperluannya sehinggakan ia kurang subur atau pun mati.

 

 

Number of View :8875

Tanaman Herba Di Malaysia

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang kaya dengan sumber khazanah alam semulajadi dan sesuai dijadikan sebagai pusat penghasilan dan perubatan herba tradisional secara komersial. Usaha memperkembangkan industri ini memerlukan penglibatan petani dan pengusaha sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Bagi pengusaha tanaman herba, mereka mudah untuk mendapatkan tanaman ini terus dari kawasan hutan atau melakukan proses perkembangbiakan tanaman daripada benih yang diperolehi.Tanaman herba yang diperolehi akan digunakan sebagai bahan dalam perubatan herba tradisional. Industri perubatan herba tradisional di Malaysia diyakini mampu meningkatkan sumber ekonomi negara.

Malaysia memiliki sebanyak 7,000 spesies tanaman herba yang berkhasiat. Walau bagaimanapun, khasiat tanaman herba masih belum dapat dlmanfaatkan sebaik mungkin dalam mengubati sesuatu penyakit. Keadaan ini amat merugikan masyarakat secara Umumnya dan juga perkembangan ekonomi negara. Bagi  masyarakat terutamanya masyarakat Melayu, mereka menganggap kaedah rawatan melalui penggunaan tanaman herba merupakan satu kaedah perubatan tradisional bersifat alternatif yang memiliki keunggulan dan keunikan yang tersendiri.

Kesedaran tentang bahaya penggunaan bahan-bahan kimia yang terkandung di dalam ubat-ubat moden menyebabkan masyarakat kini beralih untuk kembali menggunakan khazanah alam secara semulajadi. Dalam bidang perubatan pula, keadaan ini menunjukkan bahawa penggunaan tanaman herba semakin penting dan bernilai di mata masyarakat. Malangnya, sehingga kini, penghasilan tanaman herba hanya dilakukan secara sederhana kerana ia hanya digunakan sebagai bahan asas dalam penyediaan ramuan ubat tradisional. Ini menyebabkan wujudnya masalah dalam memenuhi permintaan di pasaran tempatan dan tahap kualiti eksport herba ke luar negara.

Masyarakat kini memerlukan tanaman herba dalam kuantiti yang besar. Bagi mengatasi masalah kekurangan tanaman herba untuk memenuhi keperluan tersebut, pelbagai usaha telah dilakukan sebagai contohnya; usaha pembiakan tanaman herba yang dilakukan dalam skala yang lebih luas. Malah, telah ada usaha-usaha manusia untuk mengumpul dan menanam tanaman herba atau ubatan dalam satu kebun atau taman (seperti di UKM, USM dan FRIM) bagi menyelamatkan spesies tanaman yang penting daripada terus pupus akibat proses pembangunan fizikal yang kian pesat. Kebanyakan daripada usaha-usaha mengkebunkan tanaman ini dibuat berdasarkan klasifikasi jenis penyakit (pengelasan farmasi). Usaha ini juga bertujuan untuk mengklasifikasikan jenis tanaman yang ditanam agar spesies tanaman utama dapat terus dipelihara dan terpelihara.

Terdapat beberapa halangan yang terpaksa dihadapi oleh petani atau pengusaha dalam menghasilkan tanaman herba. Antaranya, perbezaan yang ketara antara permintaan dan penghasilan tanaman herba serta penawaran harga tanaman herba yang tidak tetap di pasaran. Ini berikutan dengan kurangnya pengetahuan para pengusaha dalam menghasilkan tanaman herba yang bermutu dari segi kualiti dan kuantiti serta jenis pengeluaran herba yang diperlukan.

sumber : Artikel

 

Number of View :31442

Buah-buahan dan nilai Ubatan

Majoriti masyarakat dewasa ini mengenali buah hanya sebagai pembasuh mulut selepas menikmati pelbagai jenis hidangan yang enak. Disebalik rasanya yang enak, buah-buahan sebenarnya mengandungi khasiat yang tinggi untuk kesihatan. Ia diperkaya dengan zat galian yang mempunyai nilai perubatan dan mampu mengubati pelbagai jenis penyakit. Namun tidak ramai yang menyedari hal ini melainkan masyarakat luar bandar terutamanya golangan tua. Ini kerana masyarakat desa kurang terdedah dengan perubatan moden dan masih lagi kuat mempercayai perubatan tradisional yang diamalkan sejak turun temurun.

Delima
Hilangkan Masalah Cacing- Delima sejenis buah berasal dari kawasan Mediterranean, banyak digunakan dalam perubatan tradisional untuk mengubati pelbagai jenis penyakit. Kulit buah delima mengandungi asid tannin yang amat berkesan untuk menghapuskan masalah cacing di kalangan kanak-kanak, termasuk cacing gelang, cacing peniti dan cacing kerawit. Selain daripada asid tannin, delima yang dikenali sebagai Punica granatum dari segi saintifik, juga mengandungi zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, magnesium, vitamin A dan vitamin C. Ia berkesan untuk meredakan cirit-birit yang kronik, termasuk cirit-birit berdarah dan enteritis atau bengkak usus. Di beberapa kawasan di Iran dan di Iraq, air buah delima digunakan sebagai ubat kumur untuk mengatasi masalah penafasan berbau. Buasir merupakan satu lagi penyakit yang boleh dirawati menggunakan buah delima kerana airnya dapat bertindak sebagai astringen. Ia juga dipercayai berkesan untuk mengatasi kemandulan

Kurma
Hindar Gangguan Usus- Kurma adalah sejenis buah yang kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C dan juga niasin. Kurma yang dikenali sebagai Phoenix dactylifera L. dari segi saintifik amat berkesan bagi mengubati gangguan usus, di mana ketidakserasian dengan gluten, sejenis protein yang terkandung di dalam bijirin menghalang penyerapan zat-zat makanan secara sempurna. Ia mengandungi sejenis bahan protein serta garam galian yang menghentikan tindak balas luar biasa yang dihasilkan oleh gluten dalam usus kecil. Tindak balas itu jika dibiarkan boleh membawa kepada pengeluaran sel darah putih secara berlebihan. Bagi mengubati penyakit ini bijinya dibuang kemudian dibersihkan sebelum diadun halus dengan setengah gelas air dan lebih mujarab jika dicampur dengan jus lobak merah. Jus kurma juga berkesan untuk mengatasi masalah batuk. Kandungan gula dalam buah kurma bertindak menghilangkan gatal-gatal dalam kerongkong dan sekali gus menghilangkan batuk. Kurma juga boleh digunakan bagi menggantikan gula atau madu untuk tujuan menghilangkan kesan mabuk dan bertindak sebagai penawar racun.

Pisang
Merawat Kudis dan Luka –Pisang atau nama saintifiknya Musa sapientum adalah antara buah-buahan tempatan yang digemari ramai. Ia kaya dengan vitamin A dan C, niasin dan juga zat galian seperti kalsium fosforus dan besi. Pisang juga mengandungi kromium, sejenis bahan yang merangsangkan aktiviti enzim dalam metabolisme glukos yang penting untuk membekalkan tenaga. Dalam perubatan tradisional, getah pisang merupakan ubat yang mujarab untuk menyembuhkan luka. Dengan menyapukan getah pisang pada luka, darah akan berhenti mengalir dan lukanya akan cepat kering. Kudis pula boleh dirawat dengan mudah menggunakan kulit pisang. Selain itu pisang juga digunakan untuk mengatasi masalah sembelit, ulser dan penyakit gastritis atau radang perut.

Number of View :4055

Pertanian dan Islam

Pertanian yang merangkumi tumbuhan, ternakan, perikanan dan perhutanan adalah merupakan satu sektor ekonomi yang dinamik dan di kaitkan terutamanya dengan pengeluaran makanan. Makanan adalah merupakan keperluan asas dan sebagai asbab bagi manusia terus hidup dan tanpanya tidak mungkin manusia dapat meneruskan kehidupan di dunia ini.

Daripada perspektif Islam, pertanian adalah merupakan satu aktiviti yang penting dan perdagangan mengenainya juga penting. Dari segi sejarah, kita singkap balik kisah kaum SabaÕ. Di mana kaun SabaÕ ini terkenal dengan aktiviti pertaniannya dan mempunyai teknologi pertanian yang sungguh canggih. Di katakan bahawa kebun buah-buahan berbatu-batu panjangnya dan semasa penuaian buah-buahan, kaum ini hanya perlu mambawa bakul dan berjalan di bawah pokok dan mereka tahu dan dapat mengenalpasti buah mana yang masak dan akan gugur semasa itu. Mereka membina empangan empangan untuk di jadikan tali air bagi menyuburkan tanaman mereka. (namun begitu kaum ini telah di musnahkan oleh Allah S.W.T oleh kerana mereka enggan beriman dengan Allah S.W.T. dan Nabi-Nabi yang menyeru kepada mereka. Di katakan lebih kurang 13 orang Nabi-Nabi di utuskan kepada kaum SabaÕ, namun mereka enggan beriman kepada Allah S.W.T.).
Selain dari aktiviti pertanian terdapat juga satu kaum di zaman Nabi Syuib AS yang di panggil kaum atau masyarakat Madyan. Selain daripada di kenali sebagai satu masyarakat yang suka merompak, menyamun dan mereka adalah masyarakat kafir. Namun begitu masyarakat ini merupakan satu masyarakat yang arif dalam menjalankan aktiviti perniagaan dan perdagangan. Walaubagaimana pun masyarakat ini juga terkenal dengan cara muamalah mereka yang buruk, terutama di dalam mengurangkan timbangan dan sukatan dalam jual beli untuk meraih keuntungan yang lebih.
Dari peristiwa ini Allah S.W.T. mengutuskan Nabi Syuib AS kepada masyarakat Madyan untuk tidak berbuat demikian dan beriman kepada Allah S.W.T. (masyarakat Madyan ini juga di hapuskan oleh Allah S.W.T. kerana enggan beriman kepada Allah S.W.T. dan menerima seruan Nabi Syuib).

Daripada dua kisah di atas kita boleh membuat kesimpulan bahawa aktiviti pertanian komersial, perniagaan dan perdagangan di antara masyarakat adalah satu aktiviti yang semulajadi dan sebati di dalam kehidupan manusia.
Banyak surah-surah dalam Al-Quran dan Hadith Rasulallah S.A.W. yang berkaitan dengan pertanian, perniagaan dan perdagangan yang menggalakkan manusia menceburinya. Namun begitu ianya mesti mengikut tatacara yang Allah S.W.T. redhai.

Number of View :4233

Sains botani bukan sekadar kajian tumbuhan

BOTANI adalah kajian saintifik mengenai tumbuhan yang meliputi tumbuhan biasa, algea, fungus, lumut, ‘mosses’, paku pakis, konifer (conifers) dan tumbuh-tumbuhan berbunga.

Saintis botani juga kerap dirujuk kepada ahli biologi tumbuhan.Sebenarnya, sains botani merangkumi bidang yang sangat luas. Tahukah anda, sains botani boleh dipecahkan kepada lebih 17 cabang sains yang berlainan.

Contohnya, ahli botani yang berminat dengan ekologi, mengkaji interaksi tumbuhan dengan organisma-organisma tertentu dan juga alam sekitar.

Terdapat juga ahli botani yang mengkaji spesies-spesies baru dan juga menjalankan uji kaji untuk mengkaji bagaimana tumbuh-tumbuhan tumbuh dalam keadaan yang berbeza.

Selain itu, ada juga ahli botani yang mengkaji struktur tumbuh-tumbuhan dan melakukan kerja-kerja lapangan dengan menumpukan kepada corak pertumbuhan sesuatu tumbuhan.

Ada juga ahli sains botani yang menggunakan mikroskop untuk mengkaji secara terperinci struktur-struktur sesuatu tumbuhan.Malah terdapat juga ahli botani yang menjalankan kajian untuk menentukan bagaimana sesuatu tumbuhan itu menukar bahan kimia yang mudah kepada bahan kimia kompleks.Mereka juga turut mengkaji bagaimana informasi genetik dalam DNA mengawal perkembangan sesuatu tumbuhan.

Sebenarnya, hasil penyelidikan dalam bidang botani ini sangat penting kepada kita kerana ia meningkat dan membaiki bekalan perubatan, makanan, fiber, bahan-bahan binaan, dan lain-lain hasil tumbuhan.

Malah, peranan ahli botani sangat penting dalam memberi sumber dan maklumat bagaimana pengekalan dan pemuliharaan hutan,taman dan persekitaran boleh dilakukan.

Di bawah, dikemukakan pengkhususan-pengkhususan dalam bidang sains botani.

1. Anatomi – Berkaitan struktur mikroskopik tumbuhan (sel dan tisu).

2. Biokimia – Meliputi aspek-aspek kimia proses kehidupan tumbuhan. Ini termasuklah penghasilan kimia oleh tumbuhan (phytochemistry).

3. Biofizik – Aplikasi fizik kepada proses hidup tumbuhan.

4. Sitologi (Cytology) – Struktur, fungsi dan sejarah hayat sel tumbuhan.

5. Ekologi – Perhubungan antara tumbuhan dan persekitaran baik secara individu mahupun secara berkelompok.

6. Genetik – Asal usul tumbuhan dan variasi. Ahli genetik tumbuhan mengkaji gen dan fungsinya dalam tumbuhan.

7. Biologi Molekular – Struktur dan fungsi biologi molekul makro, termasuk biokimia dan aspek molekul sesuatu genetik.

8. Morfologi (Morphology) – Bentuk makroskopik tumbuhan. Ahli morfologi juga mengkaji evolusi dan perkembangan daun, akar dan batang.

9. Fisiologi – Mengkaji fungsi dan proses utama tumbuh-tumbuhan. Fotosintesis dan zat galian adalah dua contoh subjek yang dikaji oleh ahli sains fisiologi.

10. Paleobotani – Kajian mengenai biologi dan evolusi fosil tumbuhan.

11. Ekologi sistem – Menggunakan model-model matematik untuk menjelaskan konsep-konsep tertentu seperti kitaran zat makanan.

Dalam sains botani, terdapat juga pengkhususan dalam bidang organisma yang dibahagikan kepada:

1. Briologi – Kajian mengenai lumut dan juga tumbuhan yang seumpamanya. Ahli briologi mengkaji aspek-aspek termasuklah identifikasi, klasifikasi dan ekologi.

2. Lichenology – Bilogi lichens iaitu organisma yang terdiri daripada fungus dan alga.

3. Mikologi (Mycology) – Biologi fungus. Fungus sebenarnya mempunyai kesan yang besar terhadap dunia kita. Ia penting dalam biosfera kerana ia membantu mengitar semula bahan organik mati. Malah ada beberapa fungus yang penting kerana menjadi pengeluar utama kepada hasil biologi seperti vitamin dan antibiotik.

4. Mikrobiologi – Kajian mengenai organisma mikro. Ahli organisma mikro boleh mengkhusus dalam bidang organisma seperti ahli mikrobiologi yang mengkaji bakteria.

5. Pteridology – Kajian mengenai paku pakis dan tumbuhan seumpamanya. Ahli pteridologi mengkaji semua aspek biologi paku pakis.

6. Phycology – Kajian mengenai algae, yang merupakan asas rantaian makanan dalam persekitaran ekuatik. Juga dikenali sebagai ahli botani marin.

Sumber : www.tutor.com.my

—————————————————————————————

Dapatkah Hadiah Misteri Dengan Menjawab Soalan Kajian Ini <-Klik Sini

Number of View :8982