February 17, 2025

Daun Ketum, yang dikenali sebagai Kratom di Amerika dan dengan beberapa nama lain di negara-negara Asia seperti Thailand, mempunyai sejarah panjang dalam penggunaan tradisional dan perubatan. Namanya dalam istilah botani ialah Mitragyna Speciosa Korth. Tanaman ini tumbuh secara asli di beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia, dan Papua New Guinea (Freddy, 2013).

Kandungan Daun Ketum

Daun Ketum dikenal dengan kandungan alkaloidnya. Alkaloid merupakan sebatian organik yang ditemui dalam keadaan alkali semula jadi, yang disebabkan oleh struktur cincin heterosiklik atau atom nitrogen aromatik dalam molekul sebatian (Med Chem, 2002). Alkaloid yang paling utama dalam daun ketum ialah mitragynine, yang dipercayai sebagai sebatian kimia yang bertanggungjawab terhadap kesan daun ketum apabila dikonsumsi (Ong, 2004).

Undang-Undang Yang Mengawal Ketum

Mitragynine iaitu bahan aktif dalam air daun ketum adalah bahan psikotropik yang dikawal di Malaysia. Mitragynine disenaraikan dalam Jadual Ketiga Racun (Bahan-Bahan Psikotropik), Akta Racun 1952.

Menurut Seksyen 30 Akta Racun 1952, adalah satu kesalahan bagi aktiviti pengimportan, pengeksportan, pengilangan, penjualan dan pemilikan bahan-bahan psikotropik yang tersebut.

Manfaat Daun Ketum

Kesan Stimulan

Satu ciri unik daripada ubat herba seperti ketum ialah bahawa kesannya bergantung pada dos yang diambil. Pengambilan dos yang rendah dari ketum dapat meningkatkan tenaga dan ketajaman mental, manakala dos yang terlalu tinggi mungkin membawa kesan yang bertentangan dan berbahaya (Ward et al., 2011). Tradisionalnya, daun ketum digunakan oleh pekerja pertanian di Thailand untuk meningkatkan ketahanan dan konsentrasi semasa bekerja. Ini disebabkan oleh kemampuan ketum untuk mencegah keletihan dan meningkatkan kesegaran mental, mirip dengan kesan kafein (Boyer et al., 2007).

Kesan Analgesik

Selain daripada kesan stimulannya, ketum juga dikenali sebagai analgesik yang berkesan, berfungsi dengan cara yang serupa dengan opiat dan endorfin dalam tubuh manusia. Ia dikatakan mampu mengatasi pelbagai jenis sakit termasuk sakit otot, sakit belakang, sakit selepas pembedahan atau kemalangan, sakit kepala, dan sakit kronik (Suwanlert, 1975).

Kesan Tambahan

Beberapa manfaat tambahan ketum termasuk penurunan berat badan, peningkatan stamina sukan, pengurangan tekanan darah tinggi, mengurangkan cirit-birit, dan sebagai rawatan tambahan bagi penyakit diabetes (Suwanlert, 1975).

Kesimpulan

Walaupun daun ketum menawarkan pelbagai manfaat, adalah penting untuk memahami dan mematuhi dos yang betul untuk memastikan penggunaan yang selamat dan efektif. Penyelidikan lebih lanjut diperlukan untuk memahami sepenuhnya potensi dan risiko yang berkaitan dengan penggunaan ketum, terutama dalam konteks perubatan moden.

Rujukan :

The legality of using ketum leaves according to shariah perspective, Universiti Kebangsaan Malaysia, International Journal of Civil Engineering and Technology (2019)

http://www.myhealth.gov.my/penyalahgunaan-daun-ketum/

Number of View :953

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Protected by WP Anti Spam