Buah Gac (Momordica cochinchinensis Spreng), juga dikenali sebagai ‘Chinese bitter cucumber’ atau ‘Spiny bitter gourd’ dalam Bahasa Inggeris dan ‘Moc Niet Tu’ dalam Bahasa Cina, merupakan sejenis tumbuhan memanjat tropika yang berasal dari Asia Selatan dan Asia Tenggara (Chuyen et al., 2015). Buah yang mempunyai nilai tinggi ini telah digunakan secara meluas dalam pelbagai masakan tradisional dan perubatan di negara-negara seperti Vietnam, Thailand, Laos, India dan China.
Komposisi Fitokimia Buah Gac
Kesemua bahagian buah Gac iaitu kulit, isi, aril dan biji didapati kaya dengan pelbagai sebatian bioaktif atau fitokimia. Bahagian aril yang berwarna merah terang dilaporkan mengandungi kepekatan karotenoid yang sangat tinggi, terutamanya likopena dan ?-karotena, masing-masing 10 kali ganda dan 5 kali ganda lebih tinggi berbanding buah dan sayur lain yang kaya dengan karotenoid ini (Aoki et al., 2002; Ishida et al., 2004; Vuong et al., 2006).
Selain karotenoid, buah Gac juga mengandungi lutein (sejenis xantofil) dengan kepekatan yang jauh lebih tinggi dalam kulit buah berbanding bahagian lain (Kubola & Siriamornpun, 2011). Buah Gac turut kaya dengan sebatian fenolik, flavonoid seperti apigenin dan rutin, serta vitamin E atau tokoferol (Kubola & Siriamornpun, 2011; Vuong & King, 2003).
Kajian juga menunjukkan bahawa aril dan biji Gac masing-masing mempunyai kandungan minyak dan asid lemak tak tepu yang tinggi seperti asid oleik, asid palmitik dan asid linoleik (Ishida et al., 2004; Mai et al., 2013). Biji Gac pula dilaporkan mengandungi beberapa jenis perencat tripsin (trypsin inhibitor) yang mungkin menyumbang kepada aktiviti perubatannya (Huang et al., 1999; Wong et al., 2004).
Aktiviti Biologi dan Perubatan Pelbagai aktiviti biologi dan perubatan buah Gac telah dikaji dan dilaporkan dalam kajian saintifik. Antaranya termasuk:
- Aktiviti provitamin A: Penambahan aril Gac ke dalam diet kanak-kanak Vietnam selama 30 hari didapati meningkatkan kepekatan retinol (vitamin A) plasma dengan lebih tinggi berbanding penambahan ?-karotena sintetik (Vuong et al., 2002).
- Aktiviti antioksidan: Ekstrak dan produk buah Gac menunjukkan aktiviti antioksidan yang tinggi, berkait dengan kandungan karotenoid serta sebatian fenoliknya, melalui ujian DPPH, FRAP dan ABTS (Kubola & Siriamornpun, 2011; Kha et al., 2010; Le et al., 2018).
- Aktiviti anti-kanser: Ekstrak air buah Gac merencat pertumbuhan dan angiogenesis sel kanser kolon dan hepar dalam kajian in vitro dan in vivo (Tien et al., 2005). Ekstrak aril dan biji juga didapati merencat proliferasi pelbagai sel kanser payudara, paru-paru, serviks, kulit dan gaster melalui induksi apoptosis dan perencatan laluan isyarat yang terlibat (Liu et al., 2012; Meng et al., 2012; Petchsak & Sripanidkulchai, 2015; Zheng et al., 2014).
- Aktiviti antimikrob: Ekstrak etanol daripada isi dan aril Gac merencat pertumbuhan beberapa strain bakteria Gram-positif seperti Micrococcus luteus (Innun, 2013; Tinrat et al., 2014).
- Aktiviti penyembuhan ulser dan luka: Ekstrak etanol biji Gac mempercepatkan penyembuhan ulser gastrik dan luka pada model tikus melalui peningkatan pengekspresan VEGF (vascular endothelial growth factor) serta aktiviti angiogenesis (Kang et al., 2010).
- Aktiviti anti-radang: Sebatian glikosida saponin triterpenoid daripada ekstrak biji Gac merencat pengekspresan penanda pro-keradangan seperti nitrik oksida dan IL-6 dalam makrofaj RAW 264.7 teraruh lipopolisakarida (LPS) (Jung et al., 2013).
Buah Gac sememangnya wajar dianggap sebagai satu ‘superfruit’ berdasarkan kandungan fitokimianya yang unik serta pelbagai aktiviti biologi dan perubatan yang berpotensi memberi manfaat kesihatan. Penemuan saintifik ini telah menarik perhatian para penyelidik dan industri makanan serta farmaseutikal untuk terus mengkaji dan membangunkan produk berasaskan buah Gac. Walau bagaimanapun, kajian lanjut diperlukan untuk mengesahkan keberkesanan dan keselamatan buah Gac dalam aplikasi klinikal serta memaksimumkan potensinya sebagai bahan makanan berfungsi dan perubatan.
Number of View :401