
Ulam, sayur-sayuran tradisional segar yang sinonim dengan budaya pemakanan masyarakat Malaysia, kini semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Tidak hairanlah, kerana ulam bukan sahaja menyelerakan, malah kaya dengan kandungan antioksidan dan polifenol yang memberi manfaat kesihatan yang luar biasa, terutamanya dalam menjaga kesihatan kognitif.
Kajian terbaru oleh You et al. (2019) mendapati pengambilan ulam sebanyak 15.1 ± 8.2g sehari mempunyai hubungan positif dengan prestasi ujian kognitif seperti ingatan kerja, memori lisan dan fleksibiliti kognitif dalam kalangan 132 orang dewasa Melayu pertengahan usia di Lembah Klang. Antara ulam yang paling digemari oleh responden kajian ini adalah petai, pucuk paku, ulam raja, pegaga dan kesum. Kesemua ulam ini kaya dengan polifenol dan antioksidan yang dipercayai memainkan peranan penting melawan kerosakan oksidatif yang boleh menjejaskan fungsi otak.

Ulam seperti Polygonum minus (kesum) dan Centella asiatica (pegaga) semakin mendapat perhatian saintis kerana potensinya sebagai agen neuroprotektif. Shahar et al. (2015) melaporkan bahawa suplementasi ekstrak kesum selama 6 minggu berupaya meningkatkan keupayaan atensi dan memori dalam kalangan wanita pertengahan usia. Pegaga pula terbukti berkesan dalam pelbagai kajian untuk memperbaiki fungsi kognitif yang menurun akibat penuaan (Puttarak et al. 2017).
Dengan kombinasi rasanya yang lazat dan komposisi sebatian bioaktifnya yang menakjubkan, ulam berpotensi besar untuk diangkat sebagai makanan fungsian ataupun dibangunkan menjadi produk nutraseutikal untuk kesihatan otak. Walaubagaimanapun, kajian lebih mendalam perlu dilakukan untuk menentukan keberkesanan ulam secara spesifik sebagai agen neuroprotektif.
Secara keseluruhan, pengambilan ulam secara konsisten merupakan amalan yang sihat dan wajar digalakkan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Selain meningkatkan pengambilan sayur-sayuran pelbagai warna, ia juga berpotensi untuk melambatkan proses penuaan otak. Ulam sememangnya satu anugerah alam semulajadi yang perlu dipelihara dan dilestarikan sebagai warisan kuliner turun-temurun yang penuh berkhasiat.
Rujukan:
- Puttarak, P., Dilokthornsakul, P., Saokaew, S., et al. 2017. Effects of Centella asiatica (L.) Urb. on cognitive function and mood related outcomes: A Systematic Review and Meta-analysis. Scientific Reports 7(1).
- Shahar, S., Aziz, A.F., Ismail, S.N.A., et al. 2015. The effect of Polygonum minus extract on cognitive and psychosocial parameters according to mood status among middle-aged women: A randomized, double-blind, placebo-controlled study. Clinical Interventions in Aging 10: 1505-1520.
- You, Y.X., Shahar, S., Haron, H., Yahya, H.M. & Din, N.C. 2019. Relationship between Traditional Malaysian Vegetables ( Ulam ) Intake and Cognitive Status among Middle-Aged Adults from Low Cost Residential Areas. Jurnal Sains Kesihatan Malaysia (Isu Khas) 2019: 139-148