May 19, 2025

Terung pipit atau nama saintifiknya Solanum torvum Swartz merupakan sejenis tumbuhan dalam famili terung-terungan (Solanaceae). Walaupun ia kurang dikenali berbanding spesies Solanum lain seperti terung dan tomato, terung pipit sebenarnya mempunyai kepentingan perubatan tradisional dalam pelbagai budaya di Malaysia, Thailand, India dan Afrika. Nama tempatannya termasuklah ‘susumber’ di Malaysia, ‘makhaeng’ di Thailand, ‘kodusone’ atau ‘sundaikai’ di India, dan ‘anyara’ di Cameroon, Afrika (Lim, 2013; Mohan et al., 2009).

Terung pipit ialah pokok renek menegak setinggi lebih kurang 4 meter, dengan batang yang berduri dan bercabang luas. Daunnya bujur dan membesar, manakala bunganya berbentuk bintang berwarna putih. Buahnya pula berbentuk bulat dan berwarna hijau apabila muda lalu menjadi kuning kemerahan apabila masak (Musarella, 2020). Buahnya bersaiz kecil dan tumbuh secara berkluster, dengan isi yang nipis dan bijinya yang rata berwarna perang (Yousaf et al., 2013; Otu et al., 2017).

Spesies tropikal ini dipercayai berasal dari benua Amerika dan kini telah tersebar luas di kawasan tropika dan sub-tropika Asia, Afrika dan India Barat (Yousaf et al., 2013). Ia sering tumbuh meliar di hutan, tepi sungai dan tebing, atau ditanam di kebun dan halaman rumah (Martina et al., 2021).

Kegunaan Tradisional di Malaysia

Buah terung pipit dimakan sebagai sayur mentah atau dimasak oleh masyarakat Melayu terutamanya di kampung-kampung. Kajian etnobotani oleh Ong dan Nordiana (1999) melaporkan penggunaan buah terung pipit untuk merawat darah tinggi dalam kalangan komuniti di daerah Machang, Kelantan. Khasiatnya sebagai ubat hipertensi juga ada disebut dalam manuskrip perubatan Melayu lama “Kitab Tibb Pontianak” (Abdul Hamid & Fauzi, 2012).

Kegunaan Tradisional di Thailand

Di Thailand, komuniti Yuan di bahagian utara menggunakan rebusan buah terung pipit untuk merawat diabetes dan hipertensi (Inta et al., 2013). Selain itu, buah mudanya dimakan mentah bersama pes cili Nam Prik atau digunakan dalam masakan kari (Lim, 2013).

Kegunaan Tradisional di India

Pengamal perubatan tradisional Siddha di wilayah Tamil Nadu menggunakan buah terung pipit yang dikeringkan sebagai rawatan hipertensi (Esakkimuthu et al., 2016). Buah ini juga dimakan sebagai sayur oleh masyarakat India sama ada mentah atau dimasak dalam pelbagai hidangan (Lim, 2013).

Kegunaan Tradisional di China dan Afrika
Terung pipit turut digunakan sebagai ubat herba tradisional di selatan China terutamanya sebagai diuretik (Lu et al., 2011). Sementara itu, kajian di Cameroon, Afrika Barat melaporkan penggunaan buah terung pipit secara tradisional sebagai antihipertensi (Mohan et al., 2009). Buah mudanya pula digunakan dalam penyediaan sup dan sos di Ivory Coast, Afrika (Lim, 2013).

Kesimpulan

Sebagai tumbuhan yang kurang popular, terung pipit sebenarnya memainkan peranan penting dalam amalan perubatan tradisional pelbagai etnik di Malaysia dan di peringkat global. Khasiatnya terutamanya untuk rawatan hipertensi ada dibuktikan melalui pelbagai kajian saintifik, menyokong klaim perubatan tradisional. Walau bagaimanapun, kajian lanjut masih diperlukan untuk mengesahkan keberkesanannya sepenuhnya.

Number of View :117

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Protected by WP Anti Spam