
Kutu putih, Bemisia tabaci merupakan serangga perosak polifagus (polyphagous) iaitu menyerang pelbagai jenis tanaman termasuk lebih 900 spesies tumbuhan daripada 60 famili, meliputi sayur-sayuran, buah-buahan, tanaman hiasan, rempah ratus, bijirin, kekacang dan tembakau (Mound and Halsey, 1978; McKenzie et al., 2014). Ia tersebar luas di kawasan tropika dan subtropika seluruh dunia kecuali di Antartika (Kanakala & Ghanim, 2019). Kutu putih B. tabaci boleh menyebabkan pengurangan hasil sehingga 50% pada tanaman sayuran (Kumar et al., 2023).
B. tabaci melalui metamorfosis tidak lengkap (incomplete metamorphosis) dengan 6 peringkat hidup – telur, 4 peringkat nimfa (nymph) dan dewasa (Perring et al., 2018). Telur berbentuk oval, berwarna kuning kehijauan dan dilekatkan secara rawak pada permukaan bawah daun dengan tangkai telur khas (pedicel) yang dimasukkan terus ke dalam tisu epidermis daun (Walker et al., 2010). Seekor betina mampu menghasilkan lebih 500 telur sepanjang hayatnya (Naranjo et al., 2010).
Nimfa kutu putih adalah peringkat tidak bergerak (sessile) kecuali instar pertama yang dikenali sebagai ‘crawler’ kerana berupaya bergerak mencari kedudukan sesuai pada daun sebelum memasukkan stilet (stylet) untuk mula menyedut cairan floem (phloem sap) (Gill, 1990). Nimfa kemudiannya melalui 3 peringkat instar tambahan (2-4) sebelum bertukar menjadi pupa (pseudo-pupa) di akhir instar ke-4. Pupa mempunyai mata merah dan jasad kuning sebelum kemunculan dewasa bersayap (Perring et al., 2018).
Keseluruhan kitar hidup B. tabaci mengambil masa antara 14-105 hari bergantung kepada suhu persekitaran. Perkembangan paling pantas pada suhu 30°C dalam 14 hari manakala paling perlahan pada 15°C selama 105 hari. Purata masa generasi ialah sekitar 25 hari pada 30°C (Yang and Chi, 2006). Suhu juga mempengaruhi kesuburan betina B. tabaci dengan penghasilan telur paling tinggi pada 20°C (324 biji/betina) berbanding hanya 22 biji/betina pada 30°C (Naranjo et al., 2010). Pada iklim subtropika, B. tabaci boleh menghasilkan sehingga 12 generasi setahun (Perring et al., 2018).
Kutu putih dewasa berwarna putih kekuningan dengan sepasang sayap yang dilitupi lapisan lilin putih. Sayap dikedutkan berbentuk bumbung (roof-like) di atas abdomen. Terdapat dimorfisme seksual (sexual dimorphism) antara jantan dan betina, di mana betina lebih besar (±0.9 mm) dengan abdomen membulat manakala jantan lebih kecil (±0.75 mm) dengan abdomen meruncing (Perring et al., 2018). B. tabaci menjalani sistem pembiakan arrenotoky (arrhenotokous) – telur tidak tersenyawa (unfertilized) berkembang menjadi jantan haploid manakala telur tersenyawa menjadi betina diploid.
Kutu putih B. tabaci merosakkan tanaman sayuran melalui 4 cara utama:
- Menyedut cairan floem melalui alat mulut jenis pencucuk-penghisap (piercing-sucking mouthparts) yang melemahkan pokok dan mengurangkan hasil
- Merembeskan madu (honeydew), sejenis cecair berkanji tinggi yang menggalakkan pertumbuhan kulat jelaga (sooty mould) pada permukaan daun dan buah, menjejaskan kadar fotosintesis dan kualiti hasil
- Menjadi vektor penyebaran lebih 150 spesies virus tanaman terutamanya dari genus Begomovirus seperti Tomato yellow leaf curl virus (TYLCV) dan Tomato mottle virus (TMoV)
- Merembeskan air liur semasa makan yang mengandungi enzim menyebabkan gangguan pematangan tidak seragam (irregular ripening) pada buah tomato dikenali sebagai ‘tomato irregular ripening’ (TIR) (Perring et al., 2018; Horowitz et al., 2020).
Populasi kutu putih B. tabaci di lapangan perlu dipantau dan dikawal bagi mengelakkan kerugian hasil. Gusmao et al. (2006) mencadangkan ambang tindakan ekonomi (economic injury level) 4 nimfa per daun dan 1 dewasa per dulang pukul (beat tray) bagi tanaman tomato. Manakala Schuster (2002) menetapkan ambang tindakan 1 nimfa per 2 anak daun untuk mencegah simptom TIR pada buah tomato. Strategi pengurusan bersepadu (IPM) yang menggabungkan kaedah kawalan kimia, biologi, varieti rintang dan amalan agronomi adalah disarankan bagi mengawal B. tabaci pada sayur-sayuran (Lapidot et al., 2014).
Number of View :234