Tumbuhan dalaman, atau yang dikenali sebagai tanaman indoor, menjadi pilihan ramai untuk menambah serlahan ruang dalaman rumah atau pejabat. Mempunyai tumbuhan dalaman (indoor) akan menyerikan rumah kita dan memberi kesan positif kepada kualiti udara. Namun, menjaga tumbuhan dalam rumah memerlukan lebih daripada hanya memberi air. Berikut adalah beberapa tip untuk memastikan tumbuhan anda subur dan sihat:
- Fahami Keperluan Cahaya:
- Tumbuhan seperti Syngonium dan Calathea memerlukan cahaya yang kurang berbanding spesies seperti ficus dan palma yang memerlukan cahaya lebih.
- Letakkan (lokasi) tumbuhan mengikut keperluan cahayanya. Jika tumbuhan anda termasuk dalam kategori Aglaonema, Philodendron, Scindepsus, atau Draceana, ia boleh menerima cahaya yang kurang atau dari cahaya lampu kalimantang sahaja.
- Penyiraman dengan Bijak:
- Tidak semua tumbuhan memerlukan banyak air. Sebagai contoh, Dieffenbachia boleh mengalami masalah reput jika diberi terlalu banyak air.
- Kelembapan berlebihan dalam media tanaman dapat mengurangkan udara dan sukar untuk akar bernafas.
- Penyiraman mungkin diperlukan setiap 2-3 hari, bergantung pada kelembapan tanah.
- Periksa Media Tanaman:
- Pastikan tanah tidak terlalu lembap atau kering. Sesetengah tumbuhan, seperti keladi, boleh bertahan walaupun tanahnya sedikit kering.
- Tanah yang sentiasa basah boleh mengakibatkan reput akar.
- Lokasi Penempatan:
- Jangan hanya meletakkan tumbuhan di mana sahaja. Sesuaikan dengan keperluan cahaya dan udara mereka.
- Tempatkan tumbuhan yang memerlukan lebih cahaya di tepi tingkap, manakala yang memerlukan cahaya kurang di ruang tengah.
- Pengudaraan:
- Walaupun berada di dalam rumah, tumbuhan masih memerlukan udara segar. Buka tingkap dari semasa ke semasa untuk memastikan udara segar masuk.
Selain itu, tumbuhan indoor juga rentan terhadap habuk yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan keindahannya. Antaranya ialah;
- Kesan Terhadap Fotosintesis: Habuk di permukaan daun boleh menghalang cahaya matahari yang diperlukan untuk proses fotosintesis. Fotosintesis adalah proses di mana tumbuhan mengubah cahaya matahari menjadi tenaga untuk tumbuh. Dengan timbunan habuk, terutamanya di bahagian bawah daun, proses ini akan terganggu, sehingga tumbuhan kesukaran mendapatkan tenaga yang diperlukan.
- Gangguan Pada Fungsi Stomata: Stomata adalah liang kecil di permukaan daun yang berperanan dalam pertukaran gas dan rembesan air. Dengan kehadiran habuk, stomata ini boleh tersumbat, mengganggu pertukaran gas oksigen dan karbon dioksida serta menghalang proses penguapan air. Ini boleh menjejaskan kesihatan tumbuhan secara keseluruhannya.
- Kehilangan Keindahan dan Estetika: Tumbuhan yang bersalut habuk akan kelihatan malap dan tidak berseri. Ini bukan sahaja menjejaskan keindahan tumbuhan tetapi juga kebersihan dan persekitaran sekeliling.
Amalan Mengilap Daun: Salah satu cara untuk menjaga tumbuhan supaya kelihatan segar, berseri dan sihat adalah dengan rutin mengilap daun-daunnya. Ini bukan sahaja membantu dalam mengembalikan keindahan tumbuhan tetapi juga meningkatkan kemampuan tumbuhan untuk menjalankan fotosintesis dengan lebih efisien. Tumbuhan yang bersih melambangkan tumbuhan yang sihat!
Dengan pemahaman dan perhatian yang betul, tumbuhan dalaman anda tidak sahaja akan tumbuh dengan subur, tetapi juga akan menambah kesegaran dan keindahan kepada rumah anda. Selamat menjaga tumbuhan!
Number of View :1373