Artikel kali ini saya akan kongsikan tentang satu topik yang mungkin membimbangkan banyak orang iaitu kehadiran ular di rumah atau kawasan kediaman. Memang tidak seorang pun yang mahu ‘menjemput’ kehadiran mereka, dan sudah tentu ular juga tidak mahu terserempak dengan kita. Namun, akibat beberapa sebab, seperti kekurangan sumber makanan di habitat asal atau adanya sumber makanan baru di tempat lain, ular mungkin akan memasuki kawasan perumahan kita.
Penebangan hutan juga memberi laluan kepada pembangunan perumahan baru boleh merampas habitat asal ular. Kadang-kala, perumahan baru dibina di kawasan berhampiran hutan, bekas ladang kelapa sawit atau getah, atau berhampiran semak samun. Keadaan ini meningkatkan risiko kedatangan ular berbisa ke kediaman kita.
Namun, jangan risau, ada cara-cara tertentu yang anda boleh amalkan sebagai langkah awal mencegah kehadiran ular. Berikut adalah beberapa tips yang boleh anda ikuti:
- Mengekalkan Kebersihan Persekitaran: Ular kurang tertarik ke kawasan yang kemas dan bersih. Oleh itu, selalulah melakukan penyelenggaraan taman dengan memotong rumput, mencabut rumpai atau lalang, dan membuang segala daun-daun kering yang gugur.
- Pemeliharaan Kucing: Kucing boleh menjadi pemangsa kepada ular, jadi memelihara kucing di rumah boleh membantu mengusir ular.
- Menghilangkan Tempat Persembunyian Ular: Jika anda memotong dahan atau batang pokok, buanglah segera dan jangan biarkan ia lama di halaman. Sembur juga larutan bawang putih di sekitar halaman kerana ular tidak suka bau bawang putih.
- Penggunaan Pagar: Anda boleh memagarkan halaman, terutamanya dengan pagar buluh kerana dikatakan ular takut dengan batang buluh.
- Menggunakan Tanaman Tertentu: Tanam pudina di taman anda kerana bau yang dihasilkan oleh pudina dikatakan tidak disukai oleh ular. Selain itu, hindari menanam tanaman beraroma seperti ros, melur dan lain-lain kerana dipercayai ular boleh tertarik kepada bauannya.
- Kawalan Tikus: Ular adalah haiwan pemangsa dan salah satu makanan mereka ialah tikus. Jadi, kawal kehadiran tikus di kawasan kediaman anda.
- Taburan Serbuk Belerang: Taburkan serbuk belerang atau sulfur di sekeliling taman anda sebagai langkah pencegahan.
Kesimpulannya, melalui beberapa langkah mudah dan berkesan, kita boleh mencegah atau mengurangkan risiko ular datang ke rumah kita. Ingatlah, pencegahan lebih baik dari rawatan. Selamat mencuba dan semoga berjaya!
Number of View :7178