October 5, 2024

ADA banyak pokok hiasan memiliki daun beraneka warna. Pokok jenis ini sesuai untuk menimbulkan keindahan di samping serlahan pelbagai bunga sebagai elemen penghias taman.

Selain puding, antara pokok bunga popular yang menjadi hiasan taman ialah ati-ati atau nama saintifiknya Coleus.

Pokok hiasan ini dicadang bagi kaedah tanaman pasuan dan penghias laman yang mudah diuruskan. Ia boleh diperoleh dengan harga murah berbanding nilai kecantikannya. Selain Malaysia, pokok ini sebenarnya popular di kepulauan Fiji, Maluku dan Australia yang dikenali penduduknya sebagai pokok berdaun cantik.

Varieti Coleus terkenal dengan keunikannya kerana memiliki kombinasi daun berwarna warni dalam serlahan gabungan warna merah, kuning, ungu dan merah jambu. Spesies yang paling menarik ialah Coleus blumei dan Coleus hybridus dan ia mudah ditanam menggunakan keratan batang muda. Proses pengakarannya juga cepat dan tidak memerlukan penjagaan rapi.

Spesies ini anggun ditanam dalam pasu atau dalam satu barisan memanjang untuk hiasan tepi rumah.

Berbeza dengan pokok puding yang rimbun tegak dan melampai walaupun cara pengurusan penanamannya mudah seperti ati-ati. Ini kerana tekstur pokok ini berbagai-bagai seperti sederhana kasar, halus dan sederhana padat (bergantung kepada spesiesnya). Ketinggian maksimum pokok ini mencapai tiga meter.

Bunga ati-ati menyerlahkan kombinasi warna daun hijau, kuning kemerahan dan keputihan. Ia memerlukan cahaya penuh, tanah peroi, keperluan air sederhana tetapi tidak tahan kemarau.

TEKNIK MENANAM DAN MENJAGA:

· Tanah gembur yang banyak mengandungi bahan organik tetapi tidak menakung air akan membantu pertumbuhan dan proses pengakaran yang baik.

· Baja kimia yang tinggi kandungan nitrogen perlu dibekalkan sekurang-kurangnya dua minggu sekali untuk mendapatkan daun yang cantik.

· Pokok ati-ati memerlukan cahaya penuh tetapi tidak begitu terik bahangnya. Pokok yang telah matang mengeluarkan bunga kecil dalam satu jambak dan setelah berbunga, proses mengeluarkan daun muda berhenti yang lazimnya tidak lagi menampakkan serinya.

· Disyorkan dahan bunganya dipangkas bagi menggalakkan pertumbuhan daun baru. Pokok tua yang susah untuk digubah atau dibentuk berikutan serlahan warna daun semakin pucat boleh dijadikan baka untuk semaian pokok baru dengan penanaman semula menggunakan batang.

 

This image has an empty alt attribute; its file name is JOM-FOLLOW-SAYA-DI-TIK-TOK-2.png

Number of View :9717

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Protected by WP Anti Spam