April 20, 2025

Daun Ketumbar (Coriandrum sativum L.) merupakan herba tahunan yang tergolong dalam famili Apiaceae (Umbelliferae) dan dikenali sebagai dhanya (Devi et al., 2020). Tanaman ini beraroma dan ditanam di beberapa negara, termasuk India, Itali, Belanda, Eropah, China, dan Bangladesh. Daun dan biji ketumbar telah digunakan dalam perubatan tradisional selain kegunaan kulinari selama berabad-abad. Tanaman ketumbar kaya dengan minyak pati, vitamin (vitamin C dan K), mineral (kalsium, fosforus, kalium, tiamin, dan niasin), serta mikronutrien lain (Devi et al., 2020).

Kandungan Fitokimia Daun Ketumbar

Saringan fitokimia (phytochemical screening) daun ketumbar menunjukkan kehadiran pelbagai sebatian metabolit sekunder seperti alkaloid, saponin, flavonoid, tanin, triterpenoid dan glikosida (Wulandari et al., 2023). Kajian terdahulu melaporkan daun ketumbar mengandungi karotenoid, terutamanya ?-karotena, dengan jumlah yang tinggi iaitu 160 ?g/100 g, manakala jumlah keseluruhan karotenoid adalah 1010 ?g/100 g (Devi et al., 2020). Flavonoid dalam daun ketumbar bertindak sebagai antioksidan yang sangat bermanfaat untuk meningkatkan nilai pemakanan serta mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan (Devi et al., 2020).

Aktiviti Antioksidan Daun Ketumbar

Daun ketumbar merupakan sumber polifenol dan fitokimia yang baik disebabkan aktiviti antioksidan yang tinggi. Oksigen reaktif boleh menyebabkan tekanan oksidatif (oxidative stress) dan seterusnya merosakkan tisu dan biomolekul (Devi et al., 2020). Daun dan biji ketumbar mengandungi antioksidan, tetapi daun mempunyai jumlah antioksidan yang lebih tinggi berbanding biji (Devi et al., 2020). Kandungan antioksidan dalam ketumbar dikaitkan dengan kandungan pigmen yang tinggi, terutamanya karotenoid. Karotenoid dalam ekstrak ketumbar didapati menunjukkan potensi pemerangkapan radikal hidroksil yang lebih tinggi, seterusnya melindungi sel daripada kerosakan oksidatif (oxidative damage) (Devi et al., 2020).

Aplikasi Daun Ketumbar

Minyak pati ketumbar mempunyai aktiviti antibakteria, antikulat dan antioksidan yang berpotensi memainkan peranan penting dalam mengekalkan jangka hayat makanan (Devi et al., 2020). Potensi ketumbar dalam makanan (sebagai perasa atau pengawet), farmaseutikal (sebagai ubat semulajadi), dan sebagai bahan industri (haruman dan losyen) telah meningkatkan minat penyelidik untuk mengkaji tanaman ini.

Kesimpulan

Daun ketumbar (Coriandrum sativum L.) mempunyai potensi sebagai sumber antioksidan semulajadi. Ini adalah kerana kandungan pelbagai sebatian aktif seperti alkaloid, triterpenoid, tanin, flavonoid, saponin dan fenolik. Sebatian bioaktif dalam ekstrak ketumbar mempunyai aktiviti antiradang, antidiabetik, antikolesterol dan antikanser, menjadikannya sesuai digunakan sebagai herba dalam rawatan penyakit.

Rujukan

Devi, S., Gupta, E., Sahu, M., & Mishra, P. (2020). Proven Health Benefits and Uses of Coriander (Coriandrum sativum L.). In M. Waisundara (Ed.), Nutritional and Health Aspects of Food in South Asian Countries (pp. 197-204). IGI Global. http://doi:10.4018/978-1-7998-2524-1.ch015

Wulandari, S., Sinaga, S.M., & Harahap, U. (2023). Phytochemical and FTIR Analysis of Coriander Leaf Infusion as an Active Pharmaceutical Ingredient. International Journal of Science, Technology & Management, 4(7), 980-983. http://ijstm.inarah.co.id/index.php/ijstm/article/view/1176

Number of View :237

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Protected by WP Anti Spam