April 22, 2025

Daun Ketumbar (Coriandrum sativum L.) merupakan herba tahunan yang tergolong dalam famili Apiaceae (Umbelliferae) dan dikenali sebagai dhanya (Devi et al., 2020). Tumbuhan ini sangat aromatik dan digunakan secara meluas dalam penyediaan makanan. Daun dan biji ketumbar telah digunakan dalam perubatan tradisional di samping kegunaan kulinari sejak berabad lamanya. Komponen aktif dalam biji ketumbar termasuklah minyak pati seperti sabiene, myrcene, alphaterpine, ocimene, linalool, geraniol, decanal, desilaldehyde, trantridecen, asid petroselinik, asid octadecenoic, d-mannite, scopoletin, psimena, kamfena dan felandren (Devi et al., 2020). Komponen-komponen ini menyebabkan ketumbar memberikan kesan perubatan yang baik.

Aktiviti Antimikrob

Minyak pati daun dan biji ketumbar menunjukkan aktiviti antimikrob terhadap bakteria patogen bawaan makanan (food-borne pathogenic bacteria). Ia didapati memiliki aktiviti bakteriostatik (bacteriostatic) dan bakterisid (bactericidal) dalam ujian in vitro. Minyak pati ini mungkin berkesan terhadap bakteria Gram-negatif dan Gram-positif yang lain (Rezaei et al., 2016). Kajian terdahulu menunjukkan minyak pati ketumbar merencat spektrum mikroorganisma yang luas (Rezaei et al., 2016). Minyak pati ketumbar pada kepekatan 500 ppm berkesan menentang Saccharomyces ludwigii, Zygosaccharomycesbailii, Salmonella enteriditis dan Listeria innocua (Rezaei et al., 2016).

Aktiviti Antiinflamasi

Ekstrak hidroalkohol ketumbar pada dos 32 mg/kgbb dapat mengurangkan edema pada kaki tikus dengan peratus perencatan kurang daripada 20% (Devi et al., 2020). Ini sebanding dengan kajian Ifora et al. (2021) yang menunjukkan ekstrak daun ketumbar mempunyai aktiviti antiinflamasi, dengan dos 125, 250, dan 500 mg/kg BB didapati merencat enzim siklooksigenase-2 (COX-2). Ketumbar mempunyai sifat antiinflamasi kerana mengandungi sebatian flavonoid, tanin, dan alkaloid yang boleh merencat tindakan enzim lipoksigenase dan siklooksigenase, seterusnya mengurangkan penghasilan leukotriena dan prostaglandin (Devi et al., 2020).

Aktiviti Antidiabetik

Pengambilan serbuk biji ketumbar selama 6 minggu dapat menurunkan glukosa darah, kolesterol total, trigliserida, dan LDL-C secara signifikan pada pesakit diabetes jenis 2 (Devi et al., 2020). Ini sejajar dengan kajian Aligita et al. (2018) yang mendapati ekstrak etanol linalool mempunyai aktiviti antidiabetik pada tikus aruhan aloksan (alloxan-induced) dengan dos 400 mg/kgBB. Kajian Dersing et al. (2020) turut menunjukkan pemberian ekstrak ketumbar dapat menurunkan paras glukosa darah pada tikus jantan Wistar aruhan aloksan pada dos 7 mg/kgBB. Quercetin, sejenis flavonoid yang merupakan bahan aktif semulajadi dengan sifat antioksidan, adalah salah satu sebatian dalam ketumbar yang mempunyai kesan menurunkan glukosa darah (Devi et al., 2020).

Kesimpulan

Daun ketumbar (Coriandrum sativum L.) mempunyai pelbagai manfaat kesihatan dan kegunaan yang telah terbukti secara saintifik. Ia menunjukkan aktiviti antimikrob, antiinflamasi dan antidiabetik berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan. Potensi ketumbar dalam industri makanan, farmaseutikal dan kosmetik semakin mendapat perhatian para penyelidik. Justeru, daun ketumbar wajar dikaji dengan lebih mendalam bagi memanfaatkan kegunaannya secara optimum.

Number of View :486

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Protected by WP Anti Spam