February 15, 2025

Artikel kali ini adalah mengenai salah satu spesies Ficus (Ara) yang jarang sekali penulis temui. Spesies ini dikenali sebagai ‘Spotted Fig’ atau nama saintifiknya Ficus punctata. Nama tempatan bagi buah fig ini masih lagi belum ditemui dalam mana-mana penulisan atau artikel. Walau bagaimanapun spesies buah ini kebiasaannya boleh ditemui di dalam hutan di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand. Ianya tumbuh menjalar (climbing shrub) di batang-batang pokok. Saya menemuinya di kawasan kebun yang terletak di Kampung Lalang, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Menurut rekod penulis Blog animhosnan.blogspot.com, beliau juga menemui buah ini di Ladang Balung Eco Resorts di Tawau, Sabah

Daun pokok ini tersusun secara berselang dan mempunyai batang. Helai daunnya tebal, berbentuk oblong hingga elips hingga obovat dengan panjang 1-12 cm dan lebar 0.5-7.5 cm. Daunnya berwarna hijau tua yang berkilat di bahagian atas, dan hijau muda di bagian bawah dengan urat-urat yang menonjol. Pangkal dan bahagian bawah daun berbulu. Pokok ini adalah sejenis pemanjat berakar kayu yang mampu menghasilkan akar dari batang dan cabang untuk melekat pada batang pokok tumpang. Bahagian batang boleh mengeluarkan getah putih susu sekiranya dipotong.

Salah satu kemungkinan buah ini digelar sebagai ‘Spotted Fig’ adalah disebah terdapat kesan tompok-tompok pada kulit luar buah. Ini memudahkan pengecaman bagi spesies buah ini. Pokok ini bersifat dioecious di mana bunga betina dan bunga jantan adalah dari pokok yang berlainan. Apabila buah masak akan bertukar warna kuning jingga. Menurut sumber, buah ini tidak boleh dimakan kerana bersifat racun kepada manusia. Hanya haiwan-haiwan tertentu sahaja yang makan buah ini.

Dari segi perubatan tradisional, dipercayai  daun pokok ini boleh dihancurkan dan digunakan untuk merawat masalah gatal manakala air rebusannya digunakan bagi mengurangkan demam panas. Sejauh mana keberkesannya penulis tidak pasti.

Number of View :3062

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Protected by WP Anti Spam