Ubi gadung- Dioscorea daemona

Ubi gadung atau Dioscorea daemona sejenis ubi yang tumbuh membesar di dalam tanah. Masyarakat Melayu menamakannya ubi gadung manakala di Thai digelar kloi dan orang Filipina memanggil nami. Menurut penyelidikan, pokok ini berasal dari India Barat tetapi telah tersebar luas ke Asia Tenggara yang hidup liar di hutan sekunder, belukar dan biasanya juga ditanam di taman.

Ubi gadung adalah tumbuhan beracun dan satu-satunya tumbuhan liar yang boleh hidup dalam apa jua keadaan cuaca. Ia boleh hidup bertahun lamanya dan amat sukar untuk mati. Ia dikategorikan sebagai tumbuhan liar yang hidup menjalar dan memanjat serta boleh memanjang hingga 20 meter dengan batangnya yang berduri.

Sebenarnya ubi ini boleh dibezakan dengan ubi yang lain melalui bentuk daunnya. Ubi beracun ini mempunyai daun berbentuk hampir tiga segi yang tidak bercantum antara satu sama lain. Bunganya amat jarang ditemui tetapi jika ada, ia akan tumbuh di bawah daun dengan warna kekuningan dan berbau wangi.

Isi atau ubi tumbuhan ini membesar di dalam tanah seperti ubi kayu dan keledek. Di dalam satu liang, terdapat beberapa biji ubi dan bentuknya agak bulat serta berkulit keras nipis. Kulitnya berwarna coklat kekuningan dan isinya pula kuning keputihan. Namun begitu, apabila ubinya terlalu tua dan kulitnya telah bertukar warna menjadi kehijauan, ia mengandungi kuantiti racun yang tinggi. Saiz ubi gadung boleh membesar hingga mencapai beberapa kilogram.

Tanda-tanda keracunan

Kesemua bahagian tumbuhan ini beracun terutama ubinya. Ubi ini kaya dengan kanji yang mengandungi alkaloid dioscorin beracun dan ia hampir sama dengan alkaloid dioscoricin. Terdapat kes yang telah direkodkan melibatkan keracunan ini iaitu selepas seseorang memakan secara mentah ubi daripada ubi gadung. Hanya sebahagian ubi gadung sebesar sebiji buah epal sudah memadai untuk membunuh si pemakannya.

Alkaloid yang terkandung dalam ubi ini dapat menyebabkan radang kerongkong, pening kepala, muntah darah, kesukaran untuk bernafas, mengantuk dan keletihan. Kematian biasanya berlaku kira-kira 6 jam selepas memakan ubi gadung ini. Namun begitu, bagi mengelakkan ubi ini daripada beracun, ia perlu dimasak selepas dibuang alkaloid dengan merendam ubi gadung ini selama 3-4 hari.

—————————————————————————————Dapatkah Hadiah Misteri Dengan Menjawab Soalan Kajian Ini <-Klik Sini

 

Number of View :10037