Buah Pala

buahpala

Buah pala atau nama saintifiknya Myristica fragrans tergolong dalam genus Myristica dan merupakan spesies yang terpenting dalam famili myristicaceae. Buah pala yang lebih terkenal sebagai rempah, perasa dan ubat-ubatan ini dipercayai berasal dari kepulauan Maluku , jajahan Indonesia. Kemudian ia disebarkan ke Pulau Jawa. Sebelum kawasan Hindia Timur dijajah oleh kuasa besar Eropah seperti Belanda, Inggeris, Sepanyol, Perancis dan Portugis, saudagar-saudagar dari Pulau Jawa memperdagangkan hasil buah pala dan bunga cengkih ke Sri Lanka dan Malabar di Selatan India. Manakala saudagar-saudagar Arab pula memperkenalkan hasilan rempah ini ke Aden, Kaherah dan Alexandria yang kemudiannya dibeli oleh saudagar-saudagar dari Venice. Negara-negara di Eropah memperoleh rempah dari para saudagar Venice dengan harga yang mahal. Dalam sekitar 1600 selepas masehi, Belanda menguasai kepulauan Maluku dan mereka memonopoli perdagangan rempah antara Hindia Timur dan Eropah.

Selain daripada kulitnya, semua bahagian buah pala mempunyai kegunaan yang tersendiri. Bahagian perikarpnya, walaupun terlalu masam dan kelat untuk dimakan dalam keadaan segar, ia boleh diproses untuk dijadikan halwa, kandi dan jeruk pala. Manakala biji dan aril atau ‘mace’ boleh dikeringkan dan digunakan sebagai rempah. Rempah dari ‘mace’ ini digunakan dalam penyediaan berbagai jenis makanan terutamanya untuk memberi perisa pelbagai jenis sos dan kicap. Hasilan dari biji pala ini digunakan sebagai rempah, bahan perisa untuk masakan yang manis seperti kek dan masakan yang menggunakan susu.

Kedua-dua biji dan aril buah pala mengandungi minyak pala yang mempunyai perisa yang berbeza. Sejenis minyak yang bersifat tepu pada suhu bilik juga boleh dihasilkan daripada biji pala. Minyak ini digunakan sebagai minyak ubat sapu dan untuk pembuatan minyak wangi.

pokokpala

Pokok pala mempunyai ketinggian di antara 4-15 meter dan bersifat ‘unisek’, iaitu pokok hanya mengeluarkan bunga jantan atau betina sahaja. Oleh itu, pada kebiasaannya satu batang pokok jantan ditanam di antara 10 batang pokok betina. Namun ada sumber yang mengatakan bahawa terdapat pokok yang mengeluarkan kedua-dua bunga jantan dan betina. Tetapi ini jarang ditemui.

Buah pala ialah buah jenis ‘drup’ dan mempunyai bentuk yang berbeza di antara pokok yang berlainan. Ada pokok yang menghasilkan buah berbentuk bulat dan ada juga yang menghasilkan buah berbentuk pir. Secara purata berat buah pala ialah dalam lingkungan 89 g dan bergaris pusat lebih kurang 5.6 cm. Apabila buah ini masak, perikapnya yang berwarna kuning dan mempunyai ketebalan 1.5 cm terbelah dua dan mendedahkan biji yang berwarna perang keungguan serta berkilat. Biji ini diselaputi biji atau aril yang dipanggil ‘mace’ berwarna merah terlekat pada pangkal biji.

Number of View :20318