Pantun Melayu merupakan khazanah warisan bangsa yang sarat dengan unsur alam, termasuklah tumbuh-tumbuhan. Selain memuatkan tumbuhan yang menjadi sumber makanan, pantun Melayu turut merakamkan penggunaan tumbuhan herba dan tumbuhan beracun dalam kehidupan masyarakatnya. Artikel ini akan meneliti penggunaan tumbuhan herba dan tumbuhan beracun yang digunakan dalam pantun Melayu serta kaitannya dengan budaya masyarakatnya.
Tumbuhan herba merujuk kepada tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan dan digunakan untuk merawat penyakit. Kartini (2016) melalui penelitiannya terhadap pantun dalam teks Kurik Kundi Merah Saga mendapati beberapa tumbuhan herba digunakan dalam pantun Melayu, antaranya ialah bunga bakawali yang dideskripsikan sebagai mempunyai “seribu kegunaan” dan daun capa yang digambarkan sebagai daun yang masyarakat “hendak mencari”. Ong (2006) menyatakan bahawa dalam perubatan tradisional Melayu, bunga bakawali digunakan untuk merawat pelbagai penyakit seperti batuk, bengkak, bisul dan luka, manakala daun capa atau nama saintifiknya Blumea balsamifera pula digunakan untuk mengatasi masalah kecacingan, bronkitis, reumatisme dan berupaya mengeluarkan batu karang.
Selain tumbuhan herba, pantun Melayu turut merakamkan tumbuhan beracun seperti bunga kecubung. Dalam pantun dikaji, bunga kecubung dideskripsikan sebagai bunga yang boleh menyebabkan “mabuk” jika termakan (Kartini, 2016). Menurut Ong (2004), kecubung terutamanya kecubung putih mengandungi sebatian alkaloid yang bersifat racun dan boleh mengakibatkan kesan narkotik jika diambil dalam dos yang berlebihan. Selain itu, pantun turut menggambarkan pokok jelatang sebagai pokok yang mempunyai duri dan boleh menyebabkan kesan “bisa” jika tersentuh. Deskripsi tumbuhan beracun dalam pantun ini bertujuan memberi amaran dan kesedaran kepada khalayak tentang bahaya tumbuhan tersebut agar mereka lebih berhati-hati.
Penggunaan tumbuhan herba dan tumbuhan beracun dalam pantun Melayu berkait rapat dengan kegiatan perubatan dan kepercayaan masyarakat pada masa lampau. Aishah dan Aziz (2013) menyatakan bahawa tumbuhan seperti daun sirih dan bunga cempaka lazim digunakan dalam upacara perbomohan dan perubatan tradisional Melayu seperti Main Teri di Kelantan. Penggunaan bunga kecubung pula dikaitkan dengan amalan pemujaan dan sihir kerana dipercayai dapat menimbulkan kesan khayal, mengkhayalkan ataupun menidurkan mangsa (Ong, 2004). Deskripsi tumbuhan ini dalam pantun menggambarkan keakraban pemantun Melayu dengan alam tumbuhan yang dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan dalam budaya mereka.
Kesimpulannya, leksikon tumbuhan herba dan tumbuhan beracun dalam pantun Melayu bukan sekadar mencerminkan kepelbagaian tumbuhan di Alam Melayu, malah turut menggambarkan pengetahuan dan kearifan orang Melayu dalam memanfaatkannya untuk kegiatan perubatan. Namun begitu, seiring perubahan zaman dan kemajuan perubatan moden, pengetahuan tentang jenis dan kegunaan tumbuhan herba dan beracun ini semakin dilupakan. Justeru, tindakan mengenal pasti dan mendokumentasikan tumbuhan ini dalam pantun Melayu dilihat dapat membantu memelihara khazanah ilmu yang diwarisi agar tidak lenyap dek ditelan arus kemodenan.
Rujukan: Aishah@Eshah Mohamed & Abd Aziz Haji Bidin. 2013. Tumbuhan dalam upacara perbomohan: Kes Main Teri di Kelantan. Geografia Malaysian Journal of Society and Space. 4, 56-63.
Kartini Abd Wahab. 2016. Profil tumbuh-tumbuhan dalam pantun Melayu. GEOGRAFIA Online Malaysian Journal of Society and Space. 12:11, 29-43.
Ong, H.C. 2004. Tumbuhan liar: Khasiat ubatan dan kegunaan lain. Kuala Lumpur: Utusan Publication.
Ong, H.C. 2006. Tanaman hiasan: Khasiat makanan & ubatan. Kuala Lumpur: Utusan Publication.
Number of View :163