Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan pelbagai jenis flora termasuk ulam, sayur-sayuran dan juga herba (Mohd Faez et al., 2014). Ulam ditakrifkan sebagai daun hijau segar yang dimakan bersama perencah atau herba sementara sayur merujuk kepada bahagian tumbuhan yang sering dimasak sama ada direbus atau digoreng (Rukayah, 2000; Reihani & Azhar, 2012). Selain ulam dan sayur, makanan di Malaysia juga kaya dengan herba seperti kunyit, kesum dan halia (Huda-Faujan et al., 2007).
Sebatian fenolik daripada tumbuh-tumbuhan dilaporkan mempunyai pelbagai khasiat kesihatan termasuk sebagai antioksidan dan agen antihipertensi yang berkesan (Nadin et al., 2013). Pengambilan antioksidan semulajadi seperti sebatian fenolik daripada buah-buahan dan sayur-sayuran dikaitkan dengan risiko kanser yang lebih rendah (Temple, 2000; Wolfe & Liu, 2003).
Satu kajian telah dijalankan bagi menilai aktiviti antioksidan dan antihipertensi ekstrak akues 16 jenis ulam, sayur-sayuran dan herba terpilih di Malaysia (Norhayati & Abdul Salam, 2018). Daripada analisis kandungan fenolik total (TPC), kesum (Polygonum minus) menunjukkan nilai TPC tertinggi (48.23 mg GAE/g), diikuti daun kari (Murraya koenigii) (36.3 mg GAE/g) dan ulam raja (Cosmos caudatus) (22.54 mg GAE/g).
Aktiviti antioksidan dinilai melalui 3 kaedah iaitu DPPH, ABTS dan FRAP. Keputusan menunjukkan ekstrak P. minus mempunyai peratus perencatan radikal bebas DPPH (79.09%) dan kuasa penurunan ferik (FRAP) (63.61 mmol Fe2+/g) yang paling tinggi. Manakala ekstrak cekur manis (Sauropus androgynus) mempamerkan peratus perencatan kation radikal ABTS tertinggi (95.10%).
Ekstrak akues kesemua ulam, sayur dan herba diuji turut dinilai aktiviti perencatan enzim angiotensin (ACE). Hanya ekstrak daun kari (M. koenigii), limau purut (Citrus hystrix), kesum (P. minus), ulam raja (C. caudatus), pegaga (C. asiatica), cekur manis (S. androgynus) dan petai (P. speciosa) menunjukkan aktiviti perencatan ACE, dengan M. koenigii mempunyai peratus perencatan tertinggi (91.20%).
Secara keseluruhan, kajian ini menunjukkan beberapa ulam, sayur dan herba di Malaysia terutamanya kesum (P. minus) berpotensi sebagai sumber antioksidan dan agen antihipertensi semulajadi yang menyumbang kepada kesihatan. Kaitan positif antara kandungan fenolik dengan aktiviti antioksidan dan perencatan ACE turut diperhatikan. Penemuan ini mencetuskan minat terhadap tumbuhan tropika tempatan ini sebagai bahan untuk penyelidikan seterusnya dalam penemuan ubatan-ubatan baharu.
Number of View :324