October 6, 2024

Pokok Ulam Raja atau nama saintifiknya Cosmos caudatus tergolong dalam famili Compositae.  Ulam raja memang tidak asing lagi di kalangan masyarakat Melayu kerana sering dijadikan ulam-ulaman. Ia menjadikan ulam raja salah satu ulam paling popular di Malaysia selain pegaga, selom dan tenggek burung.

Ramai yang gemar menanam pokok ulam raja di sekitar rumah kerana ia mudah ditanam dan tidak cerewet penjagaannya. Saya sendiri turut sama menanam pokok ulam raja sejak setahun yang lalu sehingga rasa sudah muak makan ulam ini. Pokok ini sangat cepat membesar dan boleh mencapai ketinggian lebih 2 meter apabila pokok mula berbunga.

Apabila pokok mencapai umur lingkungan 2 bulan. Pucuk ulam raja boleh dipetik untuk dijadikan ulam. Ulam yang dimakan segar sudah diketahui mempunyai pelbagai khasiat dan manfaat. Apabila pucuk pokok telah dipetik, tunas-tunas sisi akan mula membesar dan menjadi pucuk yang baru.

Jika ia lambat dipetik iaitu pada ketika umurnya mencecah lebih 3 bulan, maka terbitlah bunga-bunga ulam raja berwarna merah apabila masih putik dan bertukar kepada warna merah jambu (pink) apabila bunga sudah berkembang.

Bunga ulam raja adalah sejenis bunga ‘compund’ atau bunga majmuk. Maksudnya; bunga-bunga kecil atau disebut floret yang berada di tengah bunga berkumpul membentuk kepala bunga ( flower head ) dan dikelilingi oleh kelopak-kelopak bunga (petals) yang lebih besar. Bunga jenis ini merupakan satu ciri penting pengelasan dalam famili Compositae atau juga disebut Asteraceae.

Kebiasaannya, terdapat 8 kelompak bunga (petals) yang mengelilingi bunga-bunga kecil (floret). Bunga-bunga kecil berwarna kuning merupakan bunga jenis biseksual (bunga jantan dan betina dalam kuntum bunga yang sama) .

Setiap kuntum bunga kecil berwarna kuning yang sedang berkembang akan mengalami proses pendebungaan. Sekiranya pendebungaan berlaku dengan baik, setiap kuntum bunga akan menghasilkan 1 biji buah (benih).

Gambar di bawah merupakan bunga kecil berwarna kuning yang telah di’zoom’kan menggunakan kanta pembesar yang dihubungkan bersama kamera telefon. Tidaklah bagus sangat, sekadar untuk tujuan hobi sampingan sahaja.

Melalui pemerhatian, pada cuaca panas pembentukan buah atau biji ulam raja sangat baik sekali. Namun, apabila musim hujan, sangat sukar sekali mendapatkan biji benih. Sama seperti sebahagian pokok buah-buahan yang lain.

Tempoh dari mula bunga terbit sehingga menghasilkan biji benih (buah) mengambil masa kira-kira 1 bulan. Biji benih yang terhasil boleh digunakan semula untuk penanaman musim yang seterusnya. Selepas pokok berbunga dan berbuah, pokok akan mula kering dan lama kelamaan akan mati.

Bagi mengelakkan pokok cepat mati, atau bagi memanjangkan jangka hayat pokok, seeloknya pucuk ulam raja sentiasa di petik atau di cantas bagi mengelakkan ia cepat berbunga. Secara tidak langsung kita dapat  mengutip hasil pucuk ulam raja dengan lebih lama lagi.

>>> Dapatkan Info Terkini berkaitan tumbuhan di Channel Telegram >> https://t.me/tentangtumbuhan

>>> Dapatkan Info Terkini berkaitan tumbuhan di Channel Telegram >> https://t.me/tentangtumbuhan

This image has an empty alt attribute; its file name is JOM-FOLLOW-SAYA-DI-TIK-TOK-2.png
Number of View :26886

1 thought on “Pokok Ulam Raja

  1. Al salam,
    Ngin tanya boleh saya beli biji ulam raja ?
    Kalau boleh terangkan cara cara nya.

    Sekian Terima Kasih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Protected by WP Anti Spam