Artikel kali ini, saya ingin berkongsi tentang sebuah pokok yang unik dan mempunyai khasiat yang luar biasa. Pokok tersebut dikenali sebagai ‘Mata Pelanduk’ atau nama saintifiknya ialah ‘Ardisia crenata (Sims.) Litt.’ yang juga dikenali dengan nama lain ‘Lenguni’ dalam famili Myrsinaceae.
Ciri-Ciri Pokok Mata Pelanduk
Pokok Mata Pelanduk adalah pokok renek yang boleh mencapai ketinggian antara satu hingga dua meter. Batang pokoknya berwarna perang dan berukuran sekitar 1-2 cm diameter, memberikan ciri-ciri yang teguh dan liat. Daunnya berbentuk lancet, dengan ukuran panjang antara 5-10 cm dan lebar 2-4 cm. Daun muda berwarna kemerahan dan bertukar ke hijau tua apabila matang.
Pokok ini juga menampilkan bunga infloresen yang tumbuh pada hujung, dengan pedunkel pendek dan biasanya ada empat hingga lima kuntum bunga berwarna putih kemerahan. Buahnya berbentuk drup, bulat dan berukuran 6-8 mm diameter. Ia berwarna hijau semasa muda dan bertukar menjadi merah apabila masak.
Terdapat spesies lain yang mirip dengan Mata Pelanduk iaitu pokok renek atau juga dikenali Ardisia elliptica Thunb. Pokok ini boleh mencapai ketinggian hingga tiga meter dengan daun berbentuk obovat hingga oblong. Daunnya sedikit bergerigi, berwarna kemerahan semasa muda dan bertukar hijau tua apabila matang. Buahnya berbentuk drup, berwarna hijau semasa muda dan bertukar merah hingga hitam kebiruan apabila masak.
Asal Usul dan Kegunaan Pokok Mata Pelanduk
Pokok Mata Pelanduk berasal dari India, Indo-China, Malaysia, Indonesia hingga ke Filipina. Di Malaysia, pokok ini biasanya tidak ditanam dan seringkali ditemui tumbuh liar. Peminat sayuran ini biasanya memungut pucuk renek ini di sekitar hutan sekunder. Namun, spesies Ardisia elliptica atau rempenai terkadang ditemui ditanam di kampung-kampung untuk kegunaan sendiri atau sebagai tanaman hiasan.
Pucuk atau daun muda pokok ini adalah sayuran tradisional dan dimakan sebagai ulam atau digunakan dalam resipi nasi ulam, sambal tempoyak daun kayu dan resipi masakan tradisional lain yang popular. Buah Mata Pelanduk (Ardisia crenata) boleh dimakan dan biasanya digemari oleh kanak-kanak.
Akarnya dianggap mujarab untuk campuran ubat sakit meroyan. Air rebusan akarnya diyakini baik untuk mengubat sakit tekak atau dada. Tetapi awas, jika minum terlalu banyak menyebabkan seseorang muntah. Daunnya elok untuk mengubat penyalit sengal-sengal tulang. Lumatkan daun beserta akarnya lalu pupukkan pada tempat yang sakit
Pembiakan dan Penanaman
Pokok Mata Pelanduk boleh dibiakkan melalui biji benih. Pokok ini mudah untuk dibiakkan dan tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Ia sejenis pokok yang boleh hidup dalam pelbagai keadaan tanah dan cuaca. Itulah serba sedikit mengenai pokok Mata Pelanduk yang mempunyai banyak khasiat dan kegunaan.
Rujukan : Buku “Sayuran Tradisional : Ulam dan Penyedap Rasa”
Number of View :4478