March 28, 2024

Herba memanjat sehingga 10 -15 meter panjang. Batang bersegi, liat dan berwarna hijau keperangan. Daun bergaris bentuk ovat yang lebar, berlobus 5-7, berukuran 6-25 sentimeter (sm), 8-22 sm lebar, bes kordat, kesat dan berwarna hijau kelabu asap.

Petiol 5-10 sm panjang dan berbulu halus yang kesat. Sulur paut bercabang 2-6. Bunga jantan rasem, biasanya terdapat 4-5 kuntum bunga yang berwarna kuning. Bunga betina tunggal, berukuran 5-8 sm diameter, juga berwarna kuning.

 

Buah berbentuk silinder atau oblong, licin, berukuran 25-40 sm panjang, 5-8 sm diameter berwarna hijau muda atau hijau keputihan ketika muda dan bertukar perang apabila masak. Buah yang masak berserabut seperti span, berbiji banyak, elipsoid, kira-kira satu sm panjang berwarna hitam dan berkapas putih yang nipis.

Spesies lain yang seakan-akan sama iaitu Luffa acutangula atau petola segi. Spesies ini mempunyai buah yang bersegi, kini banyak ditanam secara komersial dan menjadi sayuran popular. Tidak diketahui negara asal ini tetapi dipercayai berasal dari India atau selatan Asia.

 

Petola bantal ialah sayuran tradisional yang semakin hari semakin dilupakan. Buah yang masih muda dibuat sayur sama seperti petola segi. Rasanya lebih manis jika dibandingkan dengan petola segi. Daun atau pucuk muda biasa dibuat sayur tetapi rasanya hambar.
Dalam tiap-tiap 100 gram bahagian yang boleh dimakan, petola bantal mengandungi: air 94.4 gram (g), protein 0.9 g, lemak 0.5 g, karbohidrat 3.4 g, serat 0.3 g, kalsium 30 miligram (mg), fosforus 15 mg, ferum 0.0 mg, natrium 29 mg, kalium 63 mg, vitamin B1 0.05 mg, vitamin B2 0.05 mg, niasin 0.6 mg, vitamin C 4.9 mg.

 

Petola bantal dibiakkan dengan cara bijih benih. Kebiasaannya 3-4 biji benih ditanam terus ke batas yang biasanya dibuat seperti busut saja. Selepas bercambah, pilih dua pokok saja yang baik hidupnya dan yang dicabut.

Biasanya petola ini dipanjatkan pada para yang kukuh, pagar atau pokok besar. Petola bantal tidak memerlukan penjagaan rapi dan buahnya jarang diserang lalat buah. Kini, petola tidak lagi ditanam dengan banyak. Bagaimanapun, di kampung ada petola ditanam sebagai tanaman porak atau dapur.

This image has an empty alt attribute; its file name is JOM-FOLLOW-SAYA-DI-TIK-TOK-2.png
Number of View :10951

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Protected by WP Anti Spam