Penduduk dunia pada masa ini berjumlah 6.6 bilion orang. Di negara kita sahaja di anggarkan mempunyai seramai 25 juta penduduk. Bagaimanapun pada akhir-akhir ini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan berlaku mala petaka krisis makanan di benua dan negara tertentu. Faktor utama kejadian kekurangan makanan ini ialah kejadian bencana alam yang berterusan dan pertambahan penduduk dunia yang semakin meningkat. Kadang kala tanah-tanah pertanian ditukar menjadi kawasan penempatan penduduk yang mengakibatkan keluasan tanah-tanah pertanian semakin sempit.
Fungsi pertanian pada peringkat awalnya adalah untuk memenuhi keperluan asas manusia iaitu makanan dan minuman. Namun apabila meningkatnya tamadun manusia, maka fungsi pertanian telah berubah. Daripada pertanian untuk sara diri ia bertukar menjadi pertanian untuk perniagaan. Apa yang nyata pertanian adalah perniagaan yang memberi peluang besar kepada umat Islam khususnya dalam pengeluaran makanan halal.
Dengan demikian bidang perniagaan dalam pertanian khususnya dalam pengeluaran makanan dan produk halal membuka peluang pekerjaan dan keuntungan yang besar kepada pelabur dan pengusaha.
Betapa besar faedah makanan kepada manusia khususnya dalam pengeluaran makanan halal, maka Islam mengkategorikan bidang pertanian adalah Fardhu Kifayah. Dengan melaksanakan tuntutan fardhu kifayah ia bukan sahaja untuk kepentingan agama tetapi juga memberi sumbangan yang besar kepada peningkatan ekonomi negara dan kesejahteraan kehidupan manusia sejagat.
Malaysia adalah sebuah negara yang bertuah kerana mempunyai tanah pertanian yang subur dan sumber alam yang kaya untuk membekalkan bahan makanan dan minuman kepada penduduknya. Sumber-sumber ini bukan sahaja mencukupi untuk rakyat negara ini tetapi juga di eksport ke luar negara.
Berdasarkan aktiviti pertanian adalah fardhu kifayah, maka sikap membazir atau membiarkan tanah tanpa diusahakan dalam keadaan kegawatan ekonomi perlu diubah. Sesungguhnya perbuatan sedemikian amat dimurkai Allah SWT kerana seolah-olah tidak mensyukuri nikmat yang diberikan.
Nabi SAW telah menekankan di dalam sabdanya tentang betapa perlunya tanah pertanian dibangunkan untuk menghasilkan bahan makanan dan tidak mengizinkan sama sekali tanah dibiarkan dan dibazirkan begitu sahaja.
dipetik dari khutbah Jumaat…. JAKIM
Number of View :8134
bidang petanian sudah mencapai era baru