Herbarium adalah merupakan sebuah institusi sokongan utama bagi penyelidikan berasaskan tumbuhan dan menjadi pusat penyimpanan dan rujukan taksonomi spesies-spesies yang menjadi sasaran penyelidikan sesebuah institusi.
Spesimen yang telah diawet dan dicamkan dengan baik menjadi bahan rujukan untuk digunakan sebagai perbandingan kepada sampel tumbuhan yang dibawa ke herbarium untuk dicamkan. Ia juga berperanan sebagai entiti rujukan dan penyelidikan tumbuhan. Spesimen herbarium turut menjadi bahan bukti kepada kaedah penamaan sains dan pengecaman yang digunakan dalam sesebuah penerbitan saintifik.
Pada masa dahulu, herbarium biasanya merujuk kepada koleksi tumbuhan berdasarkan koleksi seseorang pengumpul. la menjadi koleksi penting apabila pengumpul tersebut merupakan ahli taksonomi yang terkenal dan menjadi pengasas kepada rujukan Flora sesuatu kawasan. Koleksi ini kemudiannya digabungkan bersama koleksi para pengumpul yang lain dan hari ini, spesimen-spesimen ini disimpan sebagai sebahagian koleksi herbarium-herbarium yang ternama di dunia.
Herbarium Kepong merupakan herbarium terbesar dan tertua di Malaysia, dipertanggungjawabkan dalam kepakaran dan kefahaman mengenai komuniti tumbuh-tumbuhan mewakili hampir keseluruhan spesies tumbuhan yang terdapat di Malaysia dan kawasan rantau sekitarnya. Ia menyimpan koleksi lama yang bersejarah dan amat berharga serta mewakili spesies yang belum pernah dijumpai, spesies yang jarang dijumpai dan spesies yang hampir pupus di negara ini.
Koleksi Herbarium Kepong dan bahan-bahan rujukan yang tersimpan menjadi nadi tarikan para penyelidik dalam dan luar negara menjalankan penyelidikan sains botani, ekologi, etnobotani, hortikultur, dan landskap.
Herbarium-herbarium yang baru biasanya dibina sebagai sumber rujukan institusi penyelidikan atau universiti-universiti tempatan yang memerlukan sumber tumbuhan tertentu untuk tujuan rujukan di peringkat kebangsaan, pengajaran atau pendidikan.
Number of View :14919
ingin tau