Buah-buahan sunnah seperti kurma, tin, labu dan tembikai merupakan antara buah-buahan yang sering dinyatakan di dalam Al-Quran dan Hadis. Selain itu, hasil kajian saintifik turut membuktikan bahawa buah-buahan ini mempunyai pelbagai khasiat dan faedah kepada kesihatan manusia.
Buah kurma kaya dengan pelbagai nutrien penting seperti vitamin, mineral dan serat. Ia mengandungi minyak, kalsium, sulfur, zat besi, kalium, fosforus, mangan, tembaga dan magnesium (Ismail et al., 2006). Kurma juga dikenalpasti sebagai antioksidan (bahan yang melambatkan atau menghalang pengoksidaan molekul lain) dan anti-mutagenik (agen yang mengurangkan kadar mutasi genetik) serta mampu mengurangkan risiko penyakit jantung (Ismail et al., 2006; Vayalil, 2012).
Menurut Ibn al-Qayyim, buah tin lebih berkhasiat berbanding buah-buahan lain. Ia mampu menghalang perkembangan urotoksisiti (kualiti air kencing yang toksik) dan membersihkan buah pinggang serta pundi kencing. Buah tin juga bermanfaat untuk saraf dan dapat membantu membuka saluran pencernaan (tiub yang berjalan dari mulut hingga usus besar) (Aimi Fadzirul et al., 2018).
Kajian saintifik turut mendapati labu adalah sumber pemakanan yang baik kerana mengandungi banyak nutrien penting, termasuk kalsium, vitamin C, folat (sebatian semula jadi yang memainkan peranan dalam pembentukan sel darah merah) dan serat (CDC, 2011). Ia juga mengandungi sebatian polisakarida, protein, asid benzoik para-amino, sebatian fenolik, terpenoid dan sterol yang mempunyai pelbagai manfaat perubatan (Yadav et al., 2010).
Buah tembikai pula sangat berkhasiat kerana kaya dengan vitamin A dan C, asid folik, magnesium, zink dan pelbagai jenis galian lain. Jus tembikai juga mampu membantu menyembuhkan penyakit artritis, gout (penyakit sendi akibat pengumpulan asid urik), dan keracunan uremik (toksin yang terkumpul dalam darah) (Saiful Asyraf, 2016). Kandungan asid dalam tembikai dapat melancarkan pengaliran darah.
Dalam Islam, terdapat banyak dalil yang menunjukkan kepentingan buah-buahan sunnah. Antaranya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Di dalam kedua-duanya (syurga) juga terdapat buah-buahan serta pohon kurma dan delima” (Surah ar-Rahman, 55:68). Rasulullah SAW juga bersabda: “Buah kurma adalah buah yang datang dari syurga” (Hadis Riwayat Al-Tirmidhi: No.2068).
Buah tin pula dinyatakan secara khusus dalam surah At-Tin, ayat pertama yang bermaksud: “Demi buah tin dan zaitun”. Nabi Muhammad SAW juga bersabda: “Sekiranya aku katakan, sesungguhnya buah yang turun dari syurga maka aku katakan inilah buah (tin), sesungguhnya buah syurga tiada keraguan” (Hadis Riwayat Abu Darba).
Manakala buah labu disebut dalam Surah As-Saffat, ayat 146 yang bermaksud: “Kami tumbuhkan untuknya (untuk melindunginya) pokok daripada sejenis labu”. Selain itu, Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mencari-cari labu di sekitar hidangan dan Baginda mengambilnya (Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 5379).
Kesimpulannya, buah-buahan sunnah seperti kurma, tin, labu dan tembikai mempunyai pelbagai khasiat dan faedah dari perspektif sains dan Islam. Kebaikan buah-buahan ini bukan sahaja dinyatakan dalam Al-Quran dan Hadis, malah dibuktikan melalui kajian saintifik moden. Justeru, umat Islam wajar mengambil buah-buahan sunnah ini sebagai sumber pemakanan yang berkhasiat dan mendapat keberkatan.
Rujukan:
Aimi Fadzirul Kamarubahrin, Asmaddy Haris, Siti Nurazira Mohd Daud, Zurina Kefeli @ Zulkefli, Nursilah Ahmad, Syadiyah Abdul Shukor, Nurul Aini Muhamed (2018). International Seminar on Islam & Science 2018. Contemporary Issues: Islam & Science. Chapter in Book:25.
Centers for Disease Control and Prevention (CDC) (2011). Strategies to Prevent Obesity and Other Chronic Diseases: The CDC Guide to Strategies to Increase the Consumption of Fruits and Vegetables. Atlanta, U.S: Department of Health and Human Services.
Ismail, B., Haffar, I., Baalbaki, R., Mechref, Y., & Henry, J. (2006). Physico-Chemical Characteristics and Total Quality of Five Date Varieties Grown in United Arab Emirates. International Food Science and Technology, 41(8), 919-926.
Saiful Asyraf (2016). Khasiat Dan Kelebihan Buah Tembikai. http://akhiasyraf.blogspot.com/2016/06/khasiat-dan-kelebihan-buah-tembikai.html. [5 Jun 2018].
Vayalil, P. K. (2012). Date Fruits (Phoenix Dactylifera Linn): An Emerging Medicinal Food. Critical Reviews in Food Science Nutrition, 52(3), 249-271.
Yadav. M., Jain, S., Tomar, R., Prasad, G. B. K. S., & Yadav, H. (2010). Medicinal and Biological Potential of Pumpkin: An Updated Review. Nutrition Research Reviews, 23(2), 184–190.
Number of View :2383