Kepelbagaian flora dan fauna di Kepulauan Melayu telah menyediakan khazanah alam yang amat bernilai kepada penduduk di rantau ini sejak dahulu lagi. Antara ciptaan alam yang sangat istimewa dalam kehidupan orang Melayu ialah bunga. Selain mempesonakan pandangan dan mengharumkan suasana, bunga turut memberi pelbagai manfaat dari segi perubatan, perhiasan dan kegunaan harian kepada masyarakat Melayu. Keupayaan orang Melayu memanfaatkan bunga untuk pelbagai tujuan secara optimum memperlihatkan kebijaksanaan dan kearifan tempatan mereka dalam menguruskan alam sekitar.
Hikayat Hang Tuah merakamkan tentang kewujudan Taman Larangan yang ditanam dengan pelbagai spesies bunga seperti mawar, cempaka, melur, kenanga dan pancawarna untuk kegunaan golongan diraja (Hikayat Hang Tuah, 1975: 492). Kepelbagaian bunga di taman ini bukan sahaja menyerikan pandangan, malah turut mengharumkan air mandi putera-puteri raja. Pengetahuan orang Melayu tentang jenis bunga tertentu yang mempunyai bau harum dan berkhasiat ini membolehkan mereka mewujudkan ruang taman yang fungsional dan memberi manfaat kesihatan kepada penghuninya.
Orang Melayu juga bijak menggunakan bunga dalam upacara keagamaan mereka. Dalam Hikayat Bayan Budiman, Sabariah digambarkan menggunakan bunga-bungaan untuk menghias kubur arwah suaminya sebagai tanda ingatan (Hikayat Bayan Budiman, 1966: 297). Perbuatan ini bertujuan mengharumkan tanah perkuburan agar lebih disukai para malaikat (Iman al-Subki, dalam https://muftiwp.gov.my). Kearifan masyarakat Melayu menyesuaikan amalan agama dengan unsur semula jadi ini memperlihatkan keupayaan mereka mengimbangi tuntutan akhirat dan keperluan menjaga alam sekitar.
Selain itu, kepintaran orang Melayu dalam mengkomersialkan bunga turut dirakamkan dalam karya sastera lama. Hikayat Patani mengisahkan tentang Ratu Kuning (1635-1686) yang menjual bunga serta sayur-sayuran dari kebunnya sendiri untuk menampung perbelanjaan baginda (Hikayat Patani, 1992: 58). Tindakan Ratu Kuning mengusahakan kebun secara persendirian ini membuktikan kewibawaan dan kecekapan baginda menguruskan sumber pertanian bagi menjana ekonomi tanpa membebankan rakyat jelata. Catatan sejarah sebegini menunjukkan bahawa masyarakat Melayu tradisional bijak memanfaatkan tanaman bunga sebagai sumber pendapatan di samping memenuhi fungsi estetikanya.
Keistimewaan bunga dalam kehidupan orang Melayu turut diangkat menjadi mahkota ketinggian bahasa dalam sastera rakyat. Perumpamaan “bagai kumbang menyeri bunga” sering digunakan untuk menggambarkan hubungan akrab antara lelaki dengan wanita (Zurinah Hassan, 2010: 77). Simbolisme bunga dan kumbang ini menunjukkan keprihatinan orang Melayu menggunakan imej alam untuk mendidik masyarakat tentang adab dan tatasusila pergaulan. Kearifan mengaitkan gerak laku manusia dengan sifat bunga ini membuktikan kebijaksanaan Melayu menjadikan fenomena alam sebagai teladan dan panduan hidup bermasyarakat.
Kesimpulannya, masyarakat Melayu tradisional amat menghargai kepentingan dan keistimewaan bunga dalam budaya hidup mereka. Pelbagai pengetahuan dikumpul dan diterapkan bagi memastikan bunga dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam urusan pertanian, perubatan, keagamaan, ekonomi dan kebahasaan. Kearifan tempatan Melayu dalam memahami tabii alam ini membolehkan mereka menjalani kehidupan yang seimbang dari segi rohani dan jasmani. Keupayaan orang Melayu mengadaptasi sifat bunga dalam pelbagai rutin harian mereka seterusnya memperlihatkan kebijaksanaan mereka menguruskan alam sekitar secara mapan dan lestari.
Rujukan
Hikayat Patani. (1992). Studied and introduced by Siti Hawa Haji Salleh. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kassim Ahmad, (Ed.). (1975). Hikayat Hang Tuah. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Winstedt, R. O. (Ed.). (1966). Hikayat Bayan Budiman. Oxford University Press.
Zurinah Hassan. (2010). Unsur Alam dalam Puisi Melayu Moden. Penerbit UKM.
Number of View :338