March 26, 2025

Annona muricata L. atau lebih dikenali sebagai durian belanda merupakan tumbuhan daripada keluarga Annonaceae yang kaya dengan pelbagai sebatian fitokimia. Sebatian ini memainkan peranan penting dalam aktiviti biologi dan farmakologi tumbuhan tersebut. Setakat ini, lebih daripada 200 sebatian kimia telah dikenal pasti dan diasingkan daripada pelbagai bahagian A. muricata seperti daun, biji, kulit, dan buah (Coria-Téllez et al., 2016).

Kumpulan sebatian utama yang terdapat dalam A. muricata ialah alkaloid, asetogenin, dan fenol. Alkaloid merupakan sebatian yang biasa dijumpai dalam tumbuhan ini, terutamanya reticuline dan coreximine (Fofana et al., 2011). Daun dilaporkan mengandungi kepekatan alkaloid tertinggi berbanding bahagian lain seperti akar, batang, dan buah (Leboeuf et al., 1981). Kebanyakan alkaloid yang terdapat dalam A. muricata adalah daripada jenis isokuinolina, aporfina, dan protoberberina (Mohanty et al., 2008).

Asetogenin pula merupakan kumpulan sebatian kedua terbanyak dalam A. muricata. Lebih daripada 120 jenis asetogenin telah diasingkan daripada ekstrak etanol, metanol, dan pelarut organik lain yang melibatkan daun, biji, batang, dan kulit pokok ini (Alali et al., 1999; Champy et al., 2009). Asetogenin dicirikan oleh rantai alifatik panjang yang terikat pada gelang y-lakton dan mempunyai satu atau dua gelang tetrahidrofuran (THF) serta kumpulan berfungsi yang lain seperti hidroksil, asetoksil, dan keton. Annonacin dilaporkan sebagai asetogenin yang paling banyak dalam daun dan buah A. muricata (Champy et al., 2005).

Sebatian fenolik seperti flavonoid, tanin, dan asid fenolik turut hadir dalam A. muricata. Antara flavonoid yang telah dikenal pasti ialah quercetin, catechin, dan epicatechin (Nawwar et al., 2012). Asid gallik pula merupakan sebatian fenolik utama dalam ekstrak daun A. muricata (George et al., 2014). Sebatian fenolik ini bertindak sebagai antioksidan semula jadi dan memainkan peranan penting dalam aktiviti antikanser serta antidiabetik tumbuhan ini (Coria-Téllez et al., 2016).

Selain itu, sebatian lain seperti megastigmana, vitamin, karotenoid, dan minyak pati juga telah dilaporkan hadir dalam A. muricata (Matsushige et al., 2011; Thang et al., 2013). Megastigmana ialah sejenis noriterpenoid yang menunjukkan aktiviti antikanser (Matsushige et al., 2011), manakala minyak pati pula mempunyai aktiviti antimikrob dan antioksidan yang ketara (Kossouoh et al., 2007).

Kesimpulannya, A. muricata merupakan sumber fitokimia yang sangat berharga. Kepelbagaian sebatian bioaktifnya menjadikan ia berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai agen terapeutik. Walau bagaimanapun, kajian yang lebih mendalam masih diperlukan untuk mengenal pasti dan memahami sebatian yang bertanggungjawab terhadap setiap aktiviti farmakologi serta mekanisme tindakannya. Di samping itu, kesan ketoksikan ekstrak mentah dan sebatian tulen A. muricata juga perlu dinilai dengan teliti bagi memastikan keselamatan penggunaannya.

Number of View :248

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Protected by WP Anti Spam