Pantun Melayu merupakan khazanah sastera rakyat yang kaya dengan perihal alam, termasuklah unsur tumbuh-tumbuhan. Pantun bukan sekadar memaparkan kewujudan pelbagai tumbuh-tumbuhan dalam persekitaran masyarakat Melayu, malah turut mendeskripsikan profil tumbuh-tumbuhan tersebut. Kertas ini akan menghuraikan deskripsi profil tumbuh-tumbuhan dalam pantun Melayu dari aspek habitat, ciri botani dan kegunaannya.
Habitat merujuk kepada tempat di mana sesuatu organisma itu tinggal dan dicirikan oleh sifat-sifat geografi iaitu fizikal, kimia dan biotik (Brower et al., 1998). Berdasarkan pantun yang diteliti, habitat tumbuh-tumbuhan dideskripsikan dari segi kawasan tumbuhnya sama ada di darat seperti di hutan, di paya, di belukar atau di persekitaran akuatik seperti di pesisiran laut (Kartini, 2016). Sebagai contoh, pokok asam jawa, pokok jelutung dan pokok merbau dinyatakan habitatnya di hutan, pokok bakau di paya, sementara pokok kelapa pula dinyatakan tumbuh di tepi laut.
Dari segi ciri botani pula, pantun Melayu turut mendeskripsikan tumbuh-tumbuhan dari segi ketinggian pokok, jenis akar, batang, daun, bunga dan buah. Misalnya pokok bidara digambarkan sebagai pokok yang tinggi, buah durian dideskripsikan sebagai buah yang kulitnya berduri, bunga cempaka dinyatakan mempunyai aroma yang harum, sementara leksikon seperti bunga raya, bunga dedap, buah delima dan daun keladi pula diberi deskripsi dari segi warnanya (Kartini, 2016).
Selain itu, profil tumbuh-tumbuhan dalam pantun Melayu turut dipaparkan dari aspek kegunaan atau peranannya dalam kehidupan masyarakat. Tumbuh-tumbuhan digambarkan sebagai sumber makanan, sumber perubatan tradisional dan juga sumber ekonomi (Kartini, 2016). Sebagai contoh, padi merupakan tanaman yang dinyatakan dalam pantun sebagai sumber makanan ruji masyarakat, sementara bunga bakawali pula dideskripsikan sebagai tumbuhan yang mempunyai seribu kegunaan sebagai ubat. Selain itu, daun pisang digambarkan kegunaannya sebagai pembungkus makanan, manakala rebung pula dinyatakan boleh dijadikan sayuran.
Deskripsi tumbuh-tumbuhan dalam pantun Melayu bukan sahaja menggambarkan keakraban masyarakat Melayu dengan alam sekelilingnya, malah turut merakamkan pengetahuan masyarakat tentang habitat, ciri botani dan kegunaan tumbuh-tumbuhan tersebut. Pengetahuan tentang tumbuh-tumbuhan ini merupakan sebahagian daripada kearifan tempatan (local wisdom) yang diperturunkan dari generasi ke generasi dalam masyarakat (Wildayana, 2017).
Sebagai kesimpulannya, pantun Melayu bukan sekadar menyenaraikan leksikon tumbuh-tumbuhan, malah turut mendeskripsikan profilnya dari aspek habitat, ciri botani dan kegunaannya dalam masyarakat. Deskripsi ini menggambarkan bahawa tumbuh-tumbuhan bukan sekadar entiti alam, tetapi turut memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat Melayu sebagai sumber makanan, perubatan dan ekonomi. Dapatan ini diharap dapat membantu usaha pemuliharaan kearifan tempatan masyarakat Melayu tentang alam floranya.
Rujukan: Brower J.E., Zar J.H. & von Ende C.N. 1998. Field and Laboratory Methods for General Ecology. 4th Ed. Boston: WCB McGraw Hill.
Kartini Abd Wahab. 2016. Profil tumbuh-tumbuhan dalam pantun Melayu. GEOGRAFIA Malaysian Journal of Society and Space. 12:11, 29-43.
Wildayana, E. 2017. Pengembangan Kearifan Lokal Dalam Pengelolaan Sumberdaya Alam Dan Lingkungan Di Sumatera Selatan. Jurnal Penelitian Sains. 19:1, 44-51.
Number of View :266