
Manggis (Garcinia mangostana) merupakan spesies pokok berusia panjang yang tumbesaran awalnya agak perlahan. Pokoknya yang berumur sehingga 25-35 tahun boleh mencapai 8-10 meter tinggi dan 25-35 sentimeter diameter batang (Yaacob & Tindall, 1995). Batang manggis lurus dengan dahan-dahan simetrik membentuk tajuk seakan piramid. Pokok dewasa padat berdaun menjadikannya pokok renek yang baik (Verheij, 1991).
Daun manggis berbentuk bujur dengan pangkal dan hujung meruncing. Permukaannya seakan kulit, tebal, mengkilat dan kekal hijau sepanjang musim. Susunan daun adalah berselang-seli dan tangkainya yang pendek memeluk batang rapat (Yaacob & Tindall, 1995).
Bunga manggis kecil berdiameter 5-6 sentimeter, berwarna kuning kehijauan dengan tepi kelopak agak merah jambu. Anter tidak berfungsi dengan baik dan putiknya menonjol di tengah bunga. Bunga betina lebih kerap ditemui dan kebanyakan pokok dalam keadaan penanaman adalah monosesual betina. Pembiakan manggis kebanyakkannya secara agamospermi (tanpa pendebunga) di mana bijinya terbentuk dari sel-sel somatik pada ovari (Lim, 1984; Yaacob & Tindall, 1995).
Buahnya bulat pipih bergaris pusat 3.5-8 sentimeter dan berat antara 75-150 gram. Kulitnya tebal berserabut dan keras, berwarna ungu kehitaman apabila masak. Ketika masih muda kulit buahnya hijau dan mudah mengeluarkan lateks kuning apabila dilukai. Isi buahnya putih, lembut dan berair, terbahagi kepada 4-8 segmen yang mengandungi 1-2 biji (Nazre et al., 2018). Aromanya wangi dan rasanya sangat lazat, ekoran itu manggis diiktiraf sebagai ‘ratu buah-buahan’.

Biji manggis besar pipih berwarna coklat gelap. Bijinya terdiri daripada jasad hipokotil yang membengkak dan bersifat rekalcitran dengan kandungan air yang tinggi. Oleh itu biji manggis perlu disemai serta merta selepas dikeluarkan dari buahnya untuk mengekalkan percambahan yang tinggi (Urano de Carvalho, 2013; Yaacob & Tindall, 1995).
Dari segi taburannya, manggis berasal dari hutan tropika di Semenanjung Malaysia, Sumatera dan Borneo. Ia mampu tumbuh dari paras laut sehingga 1000 meter di kawasan beriklim panas dan lembap dengan taburan hujan seragam 2500-3000 milimeter setahun. Suhu sekitar 25-30°C paling sesuai untuk pertumbuhan manggis (Yaacob & Tindall, 1995).
Pokok ini tergolong kategori ‘wild-domesticate’ di mana pokok liar dan yang ditanam sukar dibezakan. Dipercayai terdapat proses pemindahan dari hutan ke kebun tradisional dusun yang beransur-ansur mengubah sifat genetik manggis secara semulajadi tanpa pembiakbakaan buatan oleh manusia.
Secara keseluruhannya, manggis merupakan spesies pokok yang mempunyai ciri agronomi dan morfologi yang unik selari dengan habitat asalnya di bawah naungan hutan tropika. Pemahamannya penting untuk tujuan pemuliharaan sumber genetik dan pembiakan manggis pada masa hadapan.
Number of View :468