
Bunga-bungaan merupakan antara unsur alam yang sering digunakan dalam pantun Melayu. Penggunaan imej bunga dalam pantun bukan sahaja untuk menzahirkan keindahan alam ciptaan Tuhan, malah turut mengandungi maklumat berkaitan habitatnya, ciri botani dan nilai perubatannya. Artikel ini akan menganalisis penggunaan leksikon bunga-bungaan dalam pantun Melayu dan menghuraikan maklumat yang terkandung di dalamnya.
Penelitian Kartini (2016) terhadap 50 rangkap pantun dalam teks Kurik Kundi Merah Saga: Kumpulan Pantun Melayu mendapati terdapat 10 jenis leksikon bunga-bungaan yang digunakan dalam pantun iaitu bunga kemuning, bunga tanjung, bunga teratai, bunga cempaka, bunga ros, bunga raya, bunga bakawali, bunga dedap, bunga kecubung dan bunga seroja. Kepelbagaian leksikon ini menggambarkan kekayaan pengetahuan orang Melayu tentang bunga-bungaan di persekitaran mereka.
Dari segi habitat, leksikon bunga-bungaan dalam pantun yang diteliti menunjukkan bahawa bunga-bunga ini tumbuh di pelbagai lokasi seperti di paya (bunga teratai), di hulu (bunga kemuning, bunga seroja) dan juga di daratan (Kartini, 2016). Deskripsi habitat ini memberi gambaran tentang persekitaran semula jadi tempat tumbuhnya bunga-bungaan tersebut dan menjadi petunjuk kepada masyarakat tentang lokasi untuk mendapatkannya.

Selain itu, ciri botani bunga-bungaan turut dipaparkan dalam pantun. Antara ciri botani bunga-bungaan yang dideskripsikan termasuklah warna bunga (bunga tanjung berwarna putih, bunga raya dan bunga dedap berwarna merah), aroma bunga (bunga cempaka berbau harum) dan ciri fizikal seperti keadaan batang yang berduri (bunga ros) (Kartini, 2016). Penggunaan ciri botani yang khusus ini menonjolkan ketelitian pemerhatian dan pengetahuan mendalam orang Melayu tentang morfologi bunga-bungaan di sekitar mereka.
Nilai perubatan bunga-bungaan turut dirakamkan dalam pantun Melayu. Kartini (2016) mendapati pantun mendeskripsikan bunga bakawali sebagai “ubat seribu guna”. Menurut Ong (2006), bunga bakawali atau nama saintifiknya Vallaris glabra (L.) Kuntze, mempunyai pelbagai kegunaan dalam perubatan tradisional Melayu seperti mengubati masalah batuk, bengkak, bisul, luka dan pendarahan. Penggunaan bunga dalam perubatan tradisional ini selaras dengan pandangan Fatan Hamamah (2003) bahawa sejak dahulu lagi, tumbuh-tumbuhan telah digunakan secara meluas oleh masyarakat Melayu untuk merawat pelbagai penyakit. Deskripsi nilai perubatan bunga dalam pantun ini menggambarkan kearifan tempatan orang Melayu dalam memanfaatkan khazanah alam untuk kesejahteraan diri.
Kesimpulannya, leksikon bunga-bungaan dalam pantun Melayu bukan sekadar memaparkan kewujudannya di persekitaran masyarakat, malah turut merakamkan maklumat tentang habitat, ciri botani dan nilai perubatannya. Maklumat ini mencerminkan keakraban dan pengetahuan mendalam masyarakat Melayu tentang alam floranya yang diwarisi dari generasi ke generasi. Kebijaksanaan menggunakan imej alam dalam pantun sewajarnya diteruskan agar khazanah alam dan kearifan tempatan masyarakat Melayu terus dipelihara.
Rujukan: Fatan Hamamah Hj. Yahaya. 2003. Potensi tumbuh-tumbuhan sebagai ubat-ubatan. Jurnal e-Bangi. Jilid 1.
Kartini Abd Wahab. 2016. Profil tumbuh-tumbuhan dalam pantun Melayu. GEOGRAFIA Online Malaysian Journal of Society and Space. 12:11, 29-43.
Ong, H.C. 2006. Tanaman hiasan: Khasiat makanan & ubatan. Kuala Lumpur: Utusan Publication.
Kurik Kundi Merah Saga: Kumpulan Pantun Melayu (Edisi Kedua). 2013. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Number of View :821