Pantun Melayu merupakan khazanah lisan yang kaya dengan elemen alam termasuklah buah-buahan tempatan. Buah-buahan yang digunakan sebagai leksikon dalam pantun bukan sahaja menggambarkan kepelbagaian buah-buahan di Alam Melayu, malah turut mengandungi deskripsi yang mencerminkan pengetahuan masyarakat tentangnya. Makalah ini akan mengupas leksikon buah-buahan tempatan yang terdapat dalam pantun Melayu dan menilai tahap pengetahuan masyarakat masa kini tentangnya.
Berdasarkan kajian Kartini (2016) terhadap pantun dalam teks Kurik Kundi Merah Saga: Kumpulan Pantun Melayu (DBP, 2013), terdapat 10 jenis leksikon buah-buahan tempatan iaitu durian, kesebak, pedada, asam kandis, keranji, ketapi, belimbing, kundang, bacang dan delima. Kepelbagaian leksikon buah-buahan ini menggambarkan persekitaran fizikal dan biologi yang kaya dengan pelbagai spesies buah-buahan di Alam Melayu.
Buah-buahan dalam pantun Melayu turut diiringi dengan deskripsi yang memaparkan ciri botani, rasa, warna dan habitat buah-buahan tersebut. Sebagai contoh, durian dideskripsikan sebagai buah yang kulitnya berduri, delima dikatakan berwarna merah cerah, buah kesebak dan ketapi mempunyai rasa kulit yang manis, sementara buah bacang pula beraroma masam (Kartini, 2016). Selain itu, habitat buah-buahan turut dinyatakan, umpamanya asam kandis dikatakan tumbuh di dalam hutan. Deskripsi yang terperinci ini membuktikan bahawa masyarakat Melayu tradisional mempunyai pengetahuan yang luas tentang buah-buahan di sekitar mereka hasil daripada pemerhatian dan interaksi langsung dengan alam.
Walau bagaimanapun, tahap pengetahuan masyarakat hari ini tentang buah-buahan tempatan dalam pantun Melayu didapati semakin berkurangan. Kartini (2016) melalui tinjauan ke atas 30 responden berusia 20-an hingga 30-an mendapati buah kesebak langsung tidak dikenali oleh kesemua responden, manakala pedada, asam kandis dan ketapi masing-masing hanya diketahui oleh 6, 8 dan 11 responden sahaja. Dapatan ini menggambarkan bahawa generasi muda masa kini semakin kurang mengenali buah-buahan tempatan tradisional yang terdapat dalam pantun.
Fenomena ini mungkin disebabkan oleh perubahan corak kehidupan masyarakat moden yang tidak lagi begitu dekat dengan alam. Kartini (2016) menyatakan bahawa sebahagian buah-buahan ini seperti kesebak, asam kandis dan ketapi merupakan buah-buahan nadir dan jarang ditemui kerana ia tumbuh secara liar di dalam hutan. Justeru generasi muda yang tidak lagi terdedah secara langsung dengan habitat buah-buahan liar ini mempunyai pengetahuan yang terhad tentangnya. Selain itu, kemunculan pelbagai jenis buah-buahan import dan ekzotik di pasaran turut menyumbang kepada semakin berkurangnya pengetahuan tentang buah-buahan tempatan. Dapatan ini menggambarkan bahawa pengetahuan tentang buah-buahan tempatan dalam pantun semakin terhakis dalam kalangan generasi baharu.
Kesimpulannya, pantun Melayu bukan sahaja memuatkan pelbagai leksikon buah-buahan tempatan, malah turut merakamkan maklumat dan pengetahuan orang Melayu tentangnya. Dalam konteks pemeliharaan warisan, pengetahuan tentang buah-buahan ini harus disebarluaskan kepada generasi muda agar mereka sedar akan kepelbagaian dan kepentingan khazanah alam tempatan ini. Sewajarnya usaha dilaksanakan agar pengetahuan tentang buah-buahan tempatan dalam pantun Melayu tidak lenyap ditelan zaman.
Rujukan: Kartini Abd Wahab. 2016. Profil tumbuh-tumbuhan dalam pantun Melayu. GEOGRAFIA Online Malaysian Journal of Society and Space. 12:11, 29-43.
Kurik Kundi Merah Saga: Kumpulan Pantun Melayu (Edisi Kedua). 2013. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Number of View :182