
Aktiviti Berkebun telah menjadi aktiviti riadah yang semakin popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dengan peningkatan promosi di media massa dan kesedaran terhadap keselamatan makanan, kini lebih ramai orang ingin menanam sayur-sayuran, herba dan bunga mereka sendiri. Berkebun memberi pelbagai faedah, antaranya ialah ia membantu mendekatkan orang ramai dengan alam semula jadi dan membolehkan mereka menikmati aktiviti di luar. Selain itu, berkebun boleh menjadi terapeutik yang luar biasa – iaitu dengan menjaga sesuatu tumbuhan, membolehkan anda menghilangkan tekanan (stress) serta memberikan rasa kepuasan di hati apabila dapat menuai hasil yang ditanam sendiri.
Perkara yang menarik tentang berkebun ialah sesiapa sahaja boleh melakukannya – tanpa mengira umur atau tahap kemahiran. Terdapat banyak sumber maklumat berkaitan penanaman yang tersedia dalam talian atau di media sosial yang telah dikongsi oleh ramai orang. Di situ, anda boleh mempelajarinya dan mendapatkan tips berkaitan tanaman yang sesuai di tanam dan sebagainya. Di sini, saya kongsikan beberapa tips untuk anda yang baru ingin belajar berkebun di halaman rumah.
Tips 1 : Persediaan Tanah
Sebelum memulakan apa-apa projek berkebun, adalah penting untuk memastikan tanah itu telah tersedia sebelum aktiviti penanaman di lakukan. Pastikan tanah tersebut subur dan mempunyai saliran yang baik. Tanah yang baik akan memastikan bahawa anda mempunyai persekitaran yang terbaik untuk pertumbuhan akar dan tanaman. Sekiranya tanah tersebut kurang sesuai untuk ditanam seperti banyak mengandungi tanah berbatu atau tanah liat, anda boleh dapatkan tanah campuran dari luar atau juga anda boleh hasilkan sendiri menggunakan media campuran seperti tanah top soil, sekam padi bakar dan cocopeat.
Tips 2 : Pilih Tanaman yang sesuai
Pilih tanaman yang sesuai mengikut ruang halaman anda dan tanaman yang mudah untuk diuruskan. Belajar dahulu menaman sayuran yang mudah ditanam seperti kangkung, sawi, bendi dan sebagainya. Pilih juga tanaman yang sering anda gunakan dalam masakan di rumah seperti daun kari, daun kunyit, serai dan sebagainya. Tanaman jangka pendek seperti sayur-sayuran berdaun sangat digalakkan di tanam kerana ia lebih cepat dituai dan penanamannya lebih mudah. Tanaman seperi cili dan terung memerlukan pengetahuan yang lebih dari segi penjagaan tanaman.
Tips 3 : Sediakan Peralatan Berkebun
Bagi yang baru memulakan berkebun, beberapa peralatan asas mungkin diperlukan untuk memudahkan anda berkebun. Antaranya; sarung tangan yang akan melindungi tangan anda daripada calar. Kereta sorong memudahkan anda mengangkut timbunan tanah. Sudip tangan untuk memindahkan atau menggaulkan tanah dan juga cangkul sekiranya perlu. Secateur (pemangkas) juga penting untuk memangkas dahan yang perlu dibuang.
Tips 4 : Kesesuaian Tempat Bertanam
Kejayaan mendapatkan hasil tanaman yang baik juga bergantung pada kesesuaian tempat bertanam dan lokasinya. Akses kepada sumber air dan kedapatan cahaya matahari sangat penting. Sesetengah tanaman memerlukan cahaya matahari penuh untuk mendapatkan hasil yang optimum. Ada beberapa jenis tanaman seperti daun kesum memerlukan kelembapan tanah yang tinggi dan cuaca yang redup untuk pertumbuhan yang lebih baik. Tanaman seperti cili dan bendi sangat memerlukan cahaya yang optimum untuk hasil yang baik. Jadi, sila periksa jenis tanaman yang anda pilih dan tanam mengikut kesesuaiannya.
Tips 5 : Siraman Air yang Mencukupi
Aktiviti penting yang perlu dibuat selepas menanam adalah memastikan pokok mendapat air yang mencukupi. Sekiranya cuaca panas maka kekerapan penyiraman perlu dititikberatkan. Tanpa air yang mencukupi, tumbuhan akan layu dan mati kerana kekurangan air. Penyiraman boleh dilakukan dalam beberapa cara bergantung pada saiz kebun anda. Untuk kawasan halaman dengan ruang yang terhad, penyiraman tangan adalah yang terbaik kerana anda lebih tahu kuantiti air yang sebenar untuk pokok tersebut. Sekiranya saiz kebun anda lebih besar, kaedah pengairan secara fertigasi atau penyiraman air secara automatik boleh dilakukan.
Tips 6 : Pembajaan yang Betul
Nutrien sangat diperlukan untuk tanaman mengeluarkan hasil yang berkualiti. Pembajaan membantu menyediakan tumbuhan dengan nutrien penting yang mereka perlukan untuk membesar dan kekal sihat. Mengetahui kuantiti dan kekerapan membaja adalah penting agar anda mendapatkan hasil yang baik dan tidak merosakkan tanaman. Pembajaan yang berlebihan boleh menyebabkan daun terbakar dan boleh mengakibatkan pokok mati. Anda juga perlu mempertimbangkan jenis baja yang paling sesuai untuk tanaman tertentu agar anda boleh mendapatkan hasil yang maksimum daripada tanaman anda. Anda juga boleh belajar menghasilkan baja organik sendiri di rumah sekiranya anda mempunyai masa terluang. Baja organik yang boleh dibuat dari sumber ikan sangat baik untuk tanaman.
Tips 7 : Pemantauan Perosak Tanaman
Memantau perosak dan penyakit tumbuhan adalah perkara penting dalam berkebun. Tanaman mudah terdedah kepada pelbagai jenis serangan perosak dan ianya berbeza mengikut jenis tanaman. Sesetengah jenis tanaman sangat disukai oleh serangga dan ada yang tidak disukai oleh serangga. Anda perlu mendapatkan maklumat bagi mengenalpasti serangga apa menyukai tanaman anda dan sentiasa membuat pemantauan sekiranya terdapat tanda atau simptom serangan. Adalah penting untuk sentiasa berwaspada untuk mengelakkan kerosakan pada masa hadapan. Kawalan perosak secara organik seperti menggunakan bawang putih boleh dilakukan sekiranya terdapat tanda-tanda awal serangan. Pengetahuan terhadap perosak tanaman sangat penting bagi memastikan anda dapat membuat kawalan awal dan seterusnya hasil yang anda perolehi berbaloi dengan apa yang anda usahakan.
>>> Dapatkan Info Terkini berkaitan tumbuhan di Channel Telegram >> https://t.me/tentangtumbuhan
Number of View :2765