Ubi Tum berbuah lagi

Artikel mengenai Ubi Tum @ Air potato ini pernah saya tulis lebih kurang 2 tahun yang lalu. Boleh baca di sini. Walaupun saya tidak pernah menggunakan ubi ini sama ada dalam perubatan atau masakan namun saya tetap menanamnya kerana benih ubi tum sukar lagi didapati pada masa sekarang. Tanam ubi ini pun tidak susah mana. Hanya biarkan ia menjalar ditepi pagar. Lebih kurang 4-5 bulan boleh tuai hasilnya. Buah ubi ini boleh disimpan lama pada suhu biasa kerana ia tidak mudah rosak atau busuk.

Pada artikel yang lalu, ada pembaca yang memberi komen dan berkongsikan pengalaman mengenai tumbuhan ini. Ada yang memanggil ubi tom sebagai ubi takut ke babi, ubi katak, buah barah, kentang angin dan buah sambung hayat. Masih ramai ragu-ragu menggunakannya kerana bimbang ubi ini beracun. Ini kerana ada yang cuba makan ubi ini menyebabkan rasa pening kepala seperti mabuk laut. Mungkin cara penggunaannya yang salah atau tidak sesuai bagi sesetengah individu.

Bagi yang ingin menggunakannya dalam masakan; Kulit ubi perlu dikupas sebelum dimasak. Bagi masakan kari, kuah kari akan menjadi pekat disebabkan ubi ini akan mengeluarkan lendir seakan bendi. Ubi perlu dimasukkan terlebih awal semasa tumis kerana ubinya lambat empuk.

Bagi yang ingin menggunakannya dalam perubatan; ubi ini dikatakan mujarab untuk penyakit saluran jantung tersumbat. Ia perlu di masak terlebih dahulu dan kemudian dikisar. Selain itu, ada yang menyatakan untuk rawatan penyakit jantung, caranya adalah air sejumlah dua cawan yang mengandungi ubi tum direbus sehingga menjadi 1 cawan. Banyak mana ubinya, saya sendiri tidak pasti.

Ubi tum juga dipercayai digunakan sebagai penawar kanser. Menurut perkongsiannya, ubi yang jatuh sahaja boleh direbus untuk diminum airnya. Ubi juga boleh di keringkan dan di rendam air untuk di jadikan minuman.

Ada juga pengamal perubatan tradisional menggunakannya bagi merawat penyakit kencing manis, darah tinggi, batu karang dan ketumbuhan (tumor). Dikatakan batu karang yang di alaminya, hancur dan keluar semasa buang air kecil.

Ubi Tum juga disukai oleh kaum lelaki yang sudah berkahwin. Nak tahu kenapa? Boleh baca komen dalam artikel saya yang lalu mengenai ubi tum. Jika anda ada cerita menarik mengenai ubi ini, bolehlah kongsikannya di sini.

 

p/s: bagi yang ada Telegram boleh join Channel Grup Peminat Tumbuhan.

>> Segala info terkini dan maklumat berkaitan tumbuhan.. tanaman hiasan.. perkebunan dan seangkatan dengannya saya akan kongsikannya di sini..

Sila klik >> https://t.me/tumbuhan

Number of View :2709

Ubi Tum @ Air potato

ubi-tum3
Sudah lama penulis ingin menulis artikel ini, namun hanya pada 10 malam terakhir di bulan Ramadhan baru tangan ini dapat menulisnya. Artikel kali ini mengenai pokok Ubi Tum atau nama saintifiknya Dioscorea bulbifera. Di lain-lain Negara ia lebih popular dengan nama air potato disebabkan ubinya yang tergantung di udara tidak seperti jenis-jenis ubi yang lain yang terdapat di dalam tanah. Walau bagaimanapun terdapat juga varieti lain air potato di luar negara yang juga dikenali Dioscorea alata.

Ubi Tum juga dikenali dengan nama Ubi Sentul atau Ubi Setong di sebelah kawasan pantai timur. Ada juga yang menggelarkannya Ubi takut babi disebabkan tidak tumbuh di dalam tanah.

ubi-tum2

Penulis juga pernah menanam ubi ini di kawasan rumah. Ubi yang tumbuh secara menjalar ini mudah hidup dan tidak sukar menjaganya. Pertama kali menanam pokok ini, ubi yang dikeluarkan tidak besar dan buahnya juga tidak banyak. Daun pokok juga kecil. Apabila kali kedua menanamnya dari benih yang sama, pokok lebih subur dan daun pokok juga lebih besar. Buah/Ubi yang pertama keluar juga mempunyai saiz lebih besar. Namun, ubi-ubi yang lain akan menjadi lebih kecil sehingga ubi yang terakhir keluar yang semakin kecil.

Saya pernah ditanya melalui satu email sewaktu ketika dahulu. Adakah ubi ini boleh dimakan dan adakah ia beracun? Dalam pengetahuan saya ketika itu, ubi ini tidak beracun dan ianya boleh dimakan. Namun, saya sempat membuat sedikit rujukan daripada kajian-kajian yang pernah dibuat di luar negara. Sebenarnya, ubi jenis ini mempunyai sedikit racun atau toksik. Saya tidak pasti adakah ia adalah dari jenis yang sama atau berlainan. Mungkin disebabkan itu ubi ini perlu dimasak terlebih dahulu bagi menghilangkan racun yang terdapat di dalamnya.

 

ubi-tum

Daripada maklumbalas mereka yang pernah makan ubi ini, kulit ubi tum dikupas kulit dan Perlu dicuci hingga hilang lendir sebelum di masak. Kebiasaannya ia dimasak bersama kari ikan. Rasanya seakan ubi kentang. Ubi Tum ini juga dipercayai boleh dijadikan penawar penyakit kencing manis. Perkara ini juga pernah dinyatakan oleh makcik yang tinggal di Kampung Gajah Perak. Menurut beliau lagi, ubi ini sukar didapati dan harganya juga mahal.

Jika anda ada cerita menarik mengenai ubi ini, bolehlah kongsikannya di sini.

p/s: bagi yang ada Telegram boleh join Channel Grup Peminat Tumbuhan.

>> Segala info terkini dan maklumat berkaitan tumbuhan.. tanaman hiasan.. perkebunan dan seangkatan dengannya saya akan kongsikannya di sini..

Sila klik >> https://t.me/tumbuhan

Number of View :24916