99 Spesies Buah di FRIM

Hari ini saya hendak kongsikan sebuah Buku yang menarik untuk dibaca atau dijadikan Koleksi Buku yang berkaitan spesies Tumbuh-tumbuhan. Buku ini merupakan salah satu koleksi yang terdapat di rak buku saya. Buku yang diterbitkan oleh Frim pada tahun 2012 ini sangat memberikan inspirasi kerana penulis buku ini bukanlah pegawai atasan atau pensyarah yang mempunyai PHD, tetapi bertugas sebagai buruh am dan juga sebagai pemandu yang berpendidikan setakat darjah enam. Namun, itu bukan alasan, atas minatnya yang mendalam, ia bukan sahaja berjaya menulis sebuah buku malah sudah masuk buku ilmiah yang ketiga. Bak kata peribahasa, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Ini membuktikan tiada yang mustahil dalam hidup.

Buku 99 Spesies Buah di FRIM dilengkapi dengan keterangan sejarah, kegunaan, penanaman dan pembiakan buah serta mengandungi pengenalan yang mudah untuk difahami mengenai tumbuhan. Selain itu, disertakan gambar-gambar yang jelas huraian morfologi pokok, taburan dan kaedah pembiakan. Sekiranya buah-buahan tersebut bermusim, disertakan penerangan musim pokok tersebut berbunga dan berbuah.

Pada masa kini generasi muda tidak dapat lagi mengecam sesetengah pokok buah-buahan, jauh sekali untuk menghayatinya sebagai warisan alam semula jadi. Buku ini boleh dijadikan satu sumber rujukan penting untuk penyelidikan, bahan pembelajaran dan pendedahan terhadap pelbagai spesies buah-buahan nadir.

Antara jenis-jenis buah yang terkandung di dalam buku ini ialah seperti; Buah keras, Gajus, Kerdas, Jering, Sukun, Keledang, Keledang bangkung, Tempunik, Asam pahung, Jentik bukit, Jentik-jentik, Tampoi berunai, Tampoi tunggau, Rambai tiung, Putat laut, Kundang, Remnia, Kacang pili, berangan, Epal bintang, nam-nam, keranji, Durian merah, mentega, Perah, Kelubi, kerukup, mundu, beruas dan banyak lagi…..

Jika anda berminat untuk mendapatkannya, silalah berkunjung ke FRIM.

Number of View :30

Buah Terap

buah-terap

Kesempatan ke Kota Kinabalu tempoh hari sudah pasti Penulis tidak terlepas peluang menjejakkan kaki ke pasar melihat jualan khususnya jualan buah-buahan. Maklumlah di Sabah memang banyak buah-buahan yang jarang ada dijual di Semenanjung. Penulis bernasib baik kerana ketika ini Buah Terap banyak dijual di sini selain buah binjai@belunu.

Harga sebiji buah yang beratnya 1.5kg berharga RM4-5. Penjual dengan baik hati menolong membuka kulit buah tersebut dan memasukkan ke dalam bekas plastik. Jadi mudah untuk di bawa pulang. Nak buka kulit buah ini tidaklah sukar seperti membuka kulit cempedak kerana ia tidak memerlukan pisau..

buah-terap2

Buah Terap (Artocarpus odoratissimus) atau buah Tarap memang tidak asing lagi di Sabah dan Sarawak. Ada yang mengenalinya dengan buah marang dan pingan. Isinya berwarna putih dan mempunyai duri yang berceracak yang tersusun rapi. Buah ini tergolong dalam family buah cempedak, nangka, sukun, kulur, tempunik dan banyak lagi.

Ramai yang menyangkakan buah ini sama seperti buah tempunik (Artocarpus rigidus ) yang juga terdapat di Semenanjung. Walau bagaimanapun, yang membezakannya ialah warna isi buah tempunik adalah berwarna oren manakala isi buah terap bewarna putih. Selain itu, menurut sumber rasa isinya juga tidak sama.

Sejenis lagi Terap yang jarang dijumpai ialah Terap bulu (Artocarpus sericicarpus) , dimana kulit luarnya mempunyai duri yang berbulu/rerambut. Isinya lebih nipis berbanding terap.

buah-terap3

Buah Terap yang telah dikupas sedap dimakan segar dan juga boleh dibuat cucur,  bubur dan pengat . Biji buah terap yang telah direbus juga boleh dimakan. Selain itu, buah Terap mentah/muda pula boleh dibuat gulai. 

Jika anda mempunyai cerita lain mengenai buah ini, boleh kongsikannya di sini.Number of View :25434