Buah Engkabang

buah-engkabang

Pertama kali melihat buah engkabang ini adalah semasa di pameran MAHA2010 yang lalu. Itu pun buah engkabang yang telah kering seperti gambar di atas ini. Namun, baru hari ini mengetahui keistimewaan sebenar buah engkabang setelah meng”Google” di internet. Tidak sangka rupa-rupanya artikel mengenai buah engkabang pernah keluar di dalam berita Utusan dan Kosmo. Bagi penduduk tempatan khususnya kaum Iban, engkabang begitu sinonim dengan mereka.

Apakah istimewanya pokok engkabang?

Selain kayunya yang boleh digunakan untuk membuat rumah, buahnya yang matang boleh diproses untuk menghasilkan minyak pelbagai guna. Teksturnya tidak ubah seperti mentega, berwarna kuning dan mengandungi banyak lemak. Pada zaman dahulu, masyarakat Iban menggunakan minyak engkabang yang diproses untuk memasak selain dijadikan minyak urut dan dikatakan berkesan untuk membuang angin. Mengikut kajian, minyak engkabang ini mengandungi khasiat sebagai agen antipenuaan. Di samping itu, minyak engkabang yang sudah diproses dan disimpan di dalam buluh juga amat menyelerakan jika dimakan bersama nasi panas. Rasanya berlemak dan harum seperti mentega. Selain itu, binatang liar juga turut menggemarinya kerana rasanya yang berlemak.

Daripada rujukan, terdapat kira-kira tujuh spesies engkabang iaitu engkabang jantung (Shorea macrophylla), engkabang bintang (Shorea splendida) serta engkabang gading (Shorea helmsleyana), engkabang terendak (Shorea simins), engkabang asu (Shorea palembanica), engkabang rusa (Shorea stenoptera) dan engkabang langai bukit (Shorea pinanga).

buah-engkabang1

Saiz buah engkabang ini adalah sebesar bola ping pong, berwarna coklat serta mempunyai empat sehingga lima ‘sayap’ atau kelopak mengelilingi buahnya. Buah engkabang yang sudah matang, akan gugur sendiri ke tanah secara berpusing. Sebab itu bagi orang Iban, mereka memanggil helikopter sebagai ‘bilun engkabang‘. Ini kerana bilah helikopter yang berpusing seakan seperti buah engkabang ketika ia luruh. Dipercayai, pokok engkabang hanya berbuah sekali dalam tempoh tujuh tahun dan sesetengah menyatakan hanyak berbuah 3-5 tahun sekali.

Number of View :27753