Pokok Pong Pong

Pokok Pong pong atau nama saintifiknya Cerbera odollam tergolong dalam famili Apocynaceae. Pokok ini banyak digunakan sebagai tanaman hiasan dan landskap di tepi-tepi tasik rekreasi dan ditemui juga di sesetengah kawasan hentian rehat lebuhraya.  Gambar pokok ini saya ambil di Taman Tasik Cempaka yang terletak di Bangi, Selangor.

Pokok ini juga dikenali dengan nama pong pong laut, mangga laut, buta-buta dan bentan. Pokok pong pong bersaiz sederhana dan mampu mencapai ketinggian sehingga 12 meter.  Bentuk daun bujur di hujung (obovate). Daun yang telah matang atau mati akan bertukar warna jingga atau oren sebelum gugur ke tanah.

Pokok ini sentiasa mengeluarkan bunga dan buah sepanjang tahun.  Bunga berwarna putih dan mempunyai aroma.  Kebiasaannya, bunga mempunyai 5 petal dan terdapat bentuk bulat berwarna kuning (yellow eye)  pada tengah kuntum bunga. Di sebalik bunga dan buahnya yang cantik, masih ramai lagi yang tidak tahu akan cerita di sebalik tumbuhan ini.

Buah seakan bentuk buah epal atau pear ini sebenarnya mempunyai biji yang sangat beracun.  Buah ini tidaklah mempunyai isi seperti buah epal tetapi di dalamnya dipenuhi dengan lapisan serabut (fiber) yang tebal. Buah yang telah masak akan bertukar dari hijau kepada coklat kehitaman.

Biji buah ini mengandungi toksin yang berbahaya dipanggil cerberin,  yang boleh menyebabkan kesan serangan jantung. Di negara India, dilaporkan ia pernah digunakan dalam kes pembunuhan atau kes kematian akibat keracunan.

Jadi, bagi mereka yang mempunyai anak kecil, sentiasalah berwaspada. Walaupun buah nampak seperti boleh dimakan tetapi sebaliknya ia mempunyai kesan yang menakutkan. Ibubapa haruslah mempunyai sedikit pengetahuan dalam memahami tumbuh-tumbuhan yang berada di sekeliling kawasan sekitar agar tidak tersalah guna khususnya kepada kanak-kanak.

———————————————————————————————–

Sekiranya anda ingin bertanya sesuatu mengenai tumbuhan yang anda cari… atau ingin berkongsi ilmu pengetahuan mengenai tumbuhan.. atau ingin mencari sesuatu tumbuhan untuk dijadikan ubat dan sebagainya…  mungkin ahli-ahli dalam Grup ini dapat membantu anda..  Jom Sertai Grup Whatsapp kami.. Klik sini >>  https://chat.whatsapp.com/

Number of View :3960