Pokok keladi hidup subur di kawasan redup

POKOK keladi mudah diperoleh di negara kita walaupun mengikut kajian awal pokok itu berasal dari kawasan tropika Amerika. Pokok yang mempunyai pelbagai warna daun, tumbuh subur di kawasan bertanah gambut yang redup.Pokok itu lebih sesuai sebagai tanaman hiasan, sama ada ditanam dalam pasu atau di halaman rumah kerana tumbuhan ini hanya memerlukan cahaya matahari yang sederhana. Ada juga yang gemar meletakkan bunga ini di ruang tamu.

Bahang matahari yang terik akan menyebabkan daunnya pucat dan cepat layu. Kadar suhu paling sesuai bagi tanaman ini antara 25 hingga 30 darjah Celsius.

Pokok keladi dari keluarga Araceae dengan nama saintifiknya Caladium. Ia membiak menerusi ubi atau rizomnya pada paras permukaan tanah saja. Antara variasi keladi yang cantik dan menjadi pilihan peminat seni taman ialah Caladium Bicolor yang mempunyai warna merah cerah di tengah dan hijau pada bahagian tepi daunnya.

Caladium Splendens yang hidup meliar di kebun kelapa sawit dan getah mempunyai daun sederhana besar yang berwarna hijau berbintik merah dan putih.

Keladi Changjur pula menyerlahkan kecantikannya dengan urat daun yang berwarna putih seolah-olah membahagi-bahagikan kehijauan klorofilnya. Bagaimanapun, keladi Hortulanum pula mempunyai urat daun yang berwarna hijau dan latarnya berwarna putih. Keladi Humboldtii Schott ada urat daun berwarna merah berlatarkan warna hijau dan berbintik putih.

Perbezaan seperti inilah ditakrifkan sebagai suatu kesenian yang ada pada setiap jenis pokok keladi.

Baja paling baik untuk meningkatkan kesuburan pokok keladi ialah bahan yang mengandungi kadar nitrogen yang tinggi. Selain keladi berwarna-warni, keladi hutan atau keladi yang boleh dimakan seperti keladi betawi, keladi udang, keladi minyak boleh dimanfaatkan untuk hiasan taman.

Baca:  Keladi Murai - Tacca integriffolia

Bahkan, ramai peminat seni taman berminat menanam keladi gajah yang mempunyai daunnya yang melebar walaupun hanya mempunyai satu warna iaitu hijau.

Sesetengah peminat seni taman sanggup membina sangkar kalis panas untuk mengekalkan suhu dan kelembapan bagi membolehkan pokok keladi hidup dengan subur. Teknik ini membolehkan keladi ditanam di atas tanah dan tidak perlu menggunakan pasu. Kesuburannya juga tidak terbantut.

Kebijaksanaan penanam amat penting untuk menyusun tona warna keladi supaya kelihatan lebih menarik. Misalnya, keladi berwarna digabungkan dengan keladi hijau yang bersinar daunnya dan pada bahagian belakang pula diserikan dengan latar keunikan warna daun pokok andung (Cordyline Terminalis Var) yang berwarna merah dan hijau florosen.

Bagi pokok keladi yang tidak tinggi latarnya boleh dihiasi dengan pokok pisang sepit, Dracaena atau tumbuhan kumpulan Pleomele (pandan India) yang boleh dibiakkan dengan keratan batang.

Keladi putih pula boleh diserlahkan keunikan daunnya dengan menanam pada rumpun pokok palma yang berdaun hijau tua dan persekitarannya boleh dihiasi sama ada dengan batu kerikil, batu bukit atau batu pulau.

Bagi keladi gajah atau keladi gergasi, penanamannya kelihatan lebih menarik apabila pokok bunga mawar, bunga lili atau carnation dijadikan objek hiasan bawahan.

Peminat pokok keladi harus diingat, penanaman di dalam rumah juga masih memerlukan sinar cahaya matahari. Keladi yang mendapat sedikit cahaya terutama di tempat yang gelap menjadikan tangkainya panjang dan sukar diurus.

FAKTA

· NAMA : Pokok keladi

· NAMA SAINTIFIK : Caladium

· KELUARGA : Araceae

· JENIS : Keladi hutan, minyak, gajah, putih, betawi, udang

—————————————————————————————

Dapatkah Hadiah Misteri Dengan Menjawab Soalan Kajian Ini <-Klik Sini

 

Number of View :7389

4 comments

  1. Ada tak maklumat mengenai….”lambuk” rupa macam keladi jugak…sedap dibuat masak rendang kuning…sekarang susah dijumpai..dulu2 maa kecik emak saya suka masak rendang lambuk ngn ikan bilis…em sedap..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Protected by WP Anti Spam