Penyakit Pisang Abu

Lebih setahun yang lalu, saya ada menanam pisang abu yang mana benihnya adalah daripada sulur yang diperolehi dari Temerloh Pahang. Sebanyak 4-5 pokok berjaya ditanam. Hampir 1 tahun 2bulan rasanya baru pokok pisang abu mengeluarkan buah. Sebelum ini saya ada menanam lain-lain jenis pisang seperti pisang tanduk, raja udang, pisang awak dan pisang nangka.

Malangnya, tidak disangka-sangka pisang abu yang ditanam ini menunjukkan simptom diserang bakteria Moko atau lebih dikenali penyakit layu bakteria pisang. Antara simptomnya ialah pelepah pisang mula layu satu persatu sehingga keseluruhan daunnnya dan jantung pisang bertukar menjadi hitam dan rapuh. Saya membiarkan beberapa bulan lagi bagi melihat samada buahnya akan terus membesar atau tidak. Buah kelihatan mampu membesar tetapi nampak seperti kurang berisi.

Akhirnya, hari yang dinantikan telah tiba. Pokok pisang ditebang bagi mendapatkan setandan pisang abu. Bagi memastikan, ia benar telah dijangkiti penyakit layu bakteria pisang atau Moko, buah pisang dibelah dua. Ternyata ia menunjukkan simptom diserang penyakit tersebut. Walau pun buah pisang masih mempunyai kulit berwarna hijau dan bahagian luar buah masih cantik tetapi apabila buah di potong akan kelihatan rongga yang telah reput yang berwarna kehitaman.

Saya ada berbual dengan jiran yang juga ada menanam beberapa jenis pisang di sekitar rumah. Menurutnya, pisangnya juga pernah diserang penyakit tersebut. Selain pisang Abu, lain-lain jenis pisang turut dijangkiti bakteria tersebut. Namun, Pisang Abu adalah jenis pisang yang paling mudah dijangkiti atau menjadi kegemaran bakteria tersebut. Menurutnya lagi, dia dapat mengawal penyakit tersebut dengan menggunakan mikrob atau bakteria berfaedah seperti EM (Effective Microoganisma).

 

p/s: bagi yang ada Telegram boleh join Channel Grup Peminat Tumbuhan !!

>> Segala info terkini dan maklumat berkaitan tumbuhan.. perkebunan dan seangkatan dengannya saya akan kongsikannya di sini..

Sila klik >> https://t.me/tumbuhan

Number of View :2648

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Protected by WP Anti Spam