PERSOALAN TENTANG WASIAT

 

    Puan, saya dilanda masalah berkenaan harta peninggalan arwah suami saya. Baru-baru ini saya mendapat tahu bahawa arwah suami saya ada mewasiatkan sebahagian hartanya dalam bentuk wang simpanan kepada rumah anak yatim dan harta selebihnya yang berupa sebuah rumah banglo kepada anak lelaki saya. Rumah tersebut diletakkan atas dua nama iaitu nama arwah suami dan nama saya. Untuk pengetahuan puan, rumah tersebut masih dibayar oleh saya sepenuhnya, arwah suami hanya memberi wang deposit rumah sahaja. Apakah wasiat tersebut sah dan apa pula hak saya sebagai seorang isteri?

JAWAPAN:

Masalah puan ini berkenaan dengan pelaksanaan wasiat. Wasiat ialah sesuatu yang diberikan kepada seseorang setelah dia meninggal dunia. Sekiranya si mati meninggalkan wasiat, ia hendaklah diteliti sama ada wasiat tersebut sah mengikut hukum syarak atau tidak. Tanggungjawab seorang waris ialah untuk mendapatkan status wasiat tersebut. Jika wasiat itu sah mengikut hukum syarak, maka ia perlu ditunaikan. Jika tidak sah atau jika wasiat ditujukan kepada waris yang berhak menerima pusaka, maka terpulanglah kepada waris yang ada untuk membuat keputusan sama ada setuju menunaikan wasiat tersebut atau tidak.

Sebelum sesuatu wasiat itu dapat dilaksanakan, terdapat tiga (3) syarat sah sesuatu wasiat. Syarat yang pertama ialah harta yang diwasiatkan itu tidak melebihi satu pertiga (1/3) daripada harta bersih si mati setelah ditolak belanja pengebumian dan hutang si mati. Syarat kedua ialah harta itu tidak diwasiatkan kepada mana-mana waris yang berhak menerima pusakanya dan syarat yang ketiga ialah harta yang diwasiatkan perlulah hak milik pewasiat sepenuhnya. Seperti yang puan sedia maklum, wasiat hanya boleh dilaksanakan jika memenuhi syarat-syarat wasiat. Oleh itu, perlulah diteliti setiap satu perkara di dalam wasiat tersebut bagi menentukan sama ada wasiat tersebut sah atau tidak.

Perkara yang pertama adalah berkaitan wang simpanan si mati yang diwasiatkan kepada rumah anak yatim. Bahagian wasiat ini adalah sah dan boleh dilaksanakan jika nilainya tidak melebihi satu pertiga (1/3) dari jumlah keseluruhan harta arwah suami puan. Selain itu, wasiat ini juga telah diberi kepada bukan waris dan merupakan harta milik arwah suami puan sepenuhnya.

Perkara yang kedua adalah berkenaan harta yang diwasiatkan kepada anak lelaki puan yang masih hidup. Mengenai isu ini saya percaya wasiat ini adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dilaksanakan kerana ia tidak memenuhi syarat-syarat sah wasiat atas sebab rumah banglo tersebut masih terhutang dan ia bukanlah milik pewasiat sepenuhnya.

 

 

 

 

Seterusnya saya akan sentuh mengenai hak puan sebagai seorang isteri. Puan berhak menuntut hak dalam harta sepencarian. Definisi harta sepencarian adalah seperti di dalam Seksyen 2 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu harta yang diperolehi bersama-sama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

Harta sepencarian dibenarkan untuk dituntut oleh seorang isteri pada dua keadaan iaitu bila berlaku perceraian atau bila berlakunya kematian. Ini merujuk pada Arahan Amalan No. 5 Tahun 2003 yang menerangkan bahawa masa membuat suatu tuntutan harta sepencarian di bolehkan sama ada selepas perceraian ataupun selepas kematian mana-mana pihak.

Merujuk kepada kebiasaan amalan penghakiman di Mahkamah Syariah, pembahagian harta sepencarian ke atas seorang isteri ditentukan setakat harta yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan dan setakat sumbangan oleh pihak isteri sama ada sumbangan secara langsung atau sumbangan secara tidak langsung. Seksyen 122 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, mengatakan Mahkamah berkuasa untuk membuat perintah pembahagian harta sepencarian dalam keadaan aset yang diperolehi dengan usaha bersama pihak-pihak dalam perkahwinan dengan cara dibahagikan atau dijual dan hasilnya dibahagikan.

Mahkamah dalam menjalankan kuasa dalam pembahagian harta sepncarian perlu mengambil kira tentang jumlah sumbangan yang dibuat oleh pihak-pihak terbabit, apa-apa hutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka seperti di dalam Seksyen 122 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Syarat bagi membuktikan harta sepencarian adalah terdapatnya elemen usaha bersama dan sumbangan pihak-pihak yang seterusnya menimbulkan hak antara pihak untuk menuntut.

Antara langkah yang perlu dilakukan oleh puan ialah puan perlu mengemukakan bukti kepada mahkamah bahawa puan telah memberi sumbangan ke atas harta arwah suami puan dengan membantu dari segi kewangan dalam pembelian rumah banglo tersebut dan puan juga telah menanggung sendiri ansuran bulanan rumah banglo tersebut. Ini termasuklah resit, akaun bank atau saksi yang mengetahui mengenai perkara ini.

Jelas di sini bahawa puan berhak dalam menuntut harta sepencarian ke atas perkahwinan puan dengan suami puan sebagai seorang isteri yang sah dan dengan mengambil kira takat sumbangan puan ke atas harta tersebut.

Oleh itu, bagi menuntut hak puan ke atas harta sepencarian tersebut, puan perlulah memfailkan satu tuntutan di Mahkamah Syariah. Mahkamah akan mendengar kes tersebut dan setelah meneliti bukti-bukti yang ada, Mahkamah kemudiannya akan membuat keputusan mengenai bahagian harta sepencarian yang layak puan perolehi.