BERSEDIA MENGHADAPI CABARAN KEWANGAN

  Setelah mendapat pekerjaan baru banyak cabaran yang bakal dihadapi tatkala menempuh dunia sebenar, salah satunya ialah cabaran kewangan. Bila mendapat gaji pertama ketahuilah sudah ada komitmen yang mesti ditunaikan. Jadi langkah pertama ialah menyenaraikan semua hutang yang anda terpaksa bayar, contohnya pinjaman pelajaran. Kalau boleh ambil inisiatif untuk menelefon syarikat penaja pelajaran anda dan berunding tentang rancangan pembayaran semula. Sekarang anda sudah pun tahu akan nilai ansuran bulanan yang perlu dibayar. Kedua ialah perbelanjaan untuk hidup seperti premium insurans, sewa rumah, bil telefon, bil air/elektrik, pengangkutan dan makanan. Ketiga senaraikan punca-punca pendapatan yang bakal anda dapati contohnya gaji full-time atau komisen part-time atau bantuan ibu-bapa. Gaji full time merupakan gaji bersih iaitu setelah ditolak caruman EPF/SOCSO dan pencukaian sekiranya relevan. Kemudian cuba lihat sama ada, ada tak baki selepas ditolak semua perbelanjaan. Inilah lebihan (surplus) anda, inilah batu asas kekayaan anda yang membolehkan anda mengumpul harta (dan juga hutang...)

 

 

 

      Sebenarnya anda sudah pun mencipta satu sistem perancangan kewangan dengan melakukan perkara di atas. Sistem anda patut direkodkan setiap bulan dan dipantau. Peralatan yang boleh digunakan - diari, spreadsheet seperti Microsoft Excel atau perisian kewangan seperti Quicken atau Microsoft Money. Kelebihan menggunakan perisian kewangan ialah anda boleh memasukkan wawasan kewangan anda dan kemudian membuat simulasi. Contohnya anda boleh menentukan berapa yang patut disimpan setiap bulan dan tempoh simpanan diperlukan untuk mengumpul deposit membeli pangsapuri atau rumah idaman. Pengangkutan satu lagi faktor untuk difikirkan. Memang best ada kereta, kalau free tidak mengapa tapi adakah bijak membeli kereta sendiri? Jawapannya boleh tapi asalkan tidak membocorkan aliran tunai anda. Kereta dibeli bukannya untuk berlagak tetapi untuk kesenangan bergerak. Kereta juga ialah aset yang dijamin akan merosot nilainya (bandingkan dengan rumah). Entah-entah kereta akan "makan" lebih banyak dari anda. Lihat sendiri jadual berikut yang menunjukkan bahawa anda terpaksa menye-diakan tambahan RM337 sebulan untuk kereta kesayangan. Ini belum lagi mengambil-kira bayaran ansuran pinjaman kereta.

   Jangan melupai kepentingan insurans.Kebolehan anda melakukan kerja untuk majikan bergantung kepada dua faktor iaitu keupayaan anda dan kesihatan anda. Mutu kedua-dua faktor ini boleh merosot dan mengakibatkan beban kewangan kepada anda. Biasanya pihak majikan ada menyediakan insurans kelompok. Bila sudah menerima surat pelantikan lihat kontrak insurans tersebut. Apakah sekiranya anda berkeluarga perlindungan tersebut boleh dilanjutkan secara percuma? Ketahui juga jenis perlindungan yang diberikan adakah ia insurans hayat, insurans kemalangan atau insurans perubatan? Kalau ada kekurangan dari segi faedah, lengkapkan ; dengan mengambil insurans peribadi. Insurans sebegini boleh juga menjadi satu  sistem "simpanan/pelaburan" paksaan yang bakal mendisiplinkan anda. Beranikan diri untuk berjumpa dengan perancang kewangan. Mereka boleh membantu anda memulakan pelayaran kewaangan anda dengan bahtera dan nakhoda yang sesuai. Anda juga boleh melihat sendiri reka bentuk pelan perancangan kewangan secara "live" yang akan memastikan bahawa wang titik peluh anda akan bekerja lebih keras.