March 29, 2024

Seperti yang kita sedia maklum terdapat banyak tumbuhan yang mempunyai khasiatnya tersendiri untuk kegunaan masalah tertentu. Ini bukan sahaja diturunkan dari nenek moyang terdahulu malah sesetengah tumbuhan yang digunakan untuk kecantikkan oleh nenek moyang kita terdahulu telah diperakui oleh ahli sains khasiatnya melaui kajian saintifik yang telah dijalankan. Tumbuhan ini bukan sahaja diamalkan secara tradisional untuk kecantikan malah ia juga digunakan untuk ubat-ubatan kosmetik moden seperti pokok kunyit, aloe vera atau lidah buaya dan pelbagai lagi.

Namun di zaman yang serba moden dan maju ini masih ada lagi anak-anak gadis dan terutamanya suri rumahtangga yang inginkan kecantikan pada diri mereka masih mengamalkan petua-petua dari nenek moyang terdahulu.Walaupun sudah sedia maklum pelbagai produk kecantikkan telah dihasilkan namun mereka masih gemar untuk menggunakan tumbuhan-tumbuhan ini secara amalan tradisional. Ini mungkin kerana amalan secara tradisonal tidak memberikan kesan sampingan yang buruk walaupun kesan pemulihannya mengambil masa yang agak lama berbanding produk kecantikkan moden. Pelbagai produk kecantikkan moden yang mengunakan ekstrak tumbuh-tumbuhan yang dicampurkan dengan bahan kimia yang lain seperti produk Nutri-Metic, Sari Ayu, Mustika Ratu dan sebagainya.

Oleh sebab itu, saya bercadang inginkan mengumpulkan petua-petua tradisional dari pembaca Blog ini yang pernah menggunakan tumbuhan sebagai petua untuk menjaga kesihatan, kecantikan, awet muda, perubatan dan sebagainya.

Saya memohon jasa baik anda untuk memberikan serba ringkas petua yang anda gunakan atau anda pernah melihat ibu bapa anda pernah menggunakannya. Saya tidak mahukan petua-petua yang bukan menjadi amalan anda seperti memperolehinya dari bahan bacaan dan sebagainya. Tujuan saya ialah ; ingin mengumpulkan sebanyak mungkin petua-petua yang masih digunakan pada zaman sekarang untuk kegunaan seharian anda; lebih-lebih lagi petua-petua tradisional dari Malaysia dan Indonesia. Saya harap anda sudi-sudikanlah meringankan tangan memberikan petua anda di ruangan komen yang diberikan. Dan kalau boleh ceritakan secara ringkas kaedah yang digunakan untuk menggunakan tumbuhan tersebut..

Apa yang saya harapkan petua-petua dari tumbuhan semulajadi ini dapat dikumpulkan dan dikongsikan bersama. Mungkin petua-petua yang anda berikan dapat membantu orang lain dan juga menambahkan ilmu pengetahuan bidang tumbuhan..

Terima kasih….

This image has an empty alt attribute; its file name is JOM-FOLLOW-SAYA-DI-TIK-TOK-2.png
Number of View :10285

6 thoughts on “Koleksi Petua Tradisional dari Tumbuhan

  1. sejak masih kanak-kanak, nenek sering memberi jamu beras kencur untuk menegah masuk angin, menambah nafsu makan. saat remaja, nenek membuatkan jamu kunyit asam agar darah haid tidak berbau dan faraj terjaga dari keputihan. jika masa ujian sekolah, biasanya diberi teh herba dari daun pegaga (centella asiatica) konon berkhasiatmeningkatkan kerja otak. sedangkan untuk mencegah wajah tak berjerawat diberinya bedak pohaci terbuat dari beras digiling halus diberi buanh pinang muda yang juga dihaluskan, ditambahi bunga kenanga, melati dan daun pandan yang dirajang halus. wajah memang jadi halus dan lembut

  2. Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

    Memang tak dinafikan yang tumbuhan semulajadi yang ada di muka bumi ni semuanya ada khasiat tersendiri. Orang dulu-dulu pun menggunakannya untuk pelbagai tujuan kecantikan, kesihatan mahupun perubatan.

    Saya pun sedang berusaha untuk menghimpunkan koleksi petua tradisional ni di blog agar masyarakat kita dapat manfaat daripadanya.

    Salah satu petua yang boleh saudara/i cuba jikalau nak
    melicinkan kulit ialah dengan menggunakan buah nenas.

    Katakanlah anda ada simpan baki buah nanas yang dah
    tak enak untuk dimakan. Jangan dibuang dulu nanas tu.

    Ada kegunanaannya tau.

    Lumurkan dulu pada kulit anggota badan anda dan biarkan ia serap seketika. Kemudian barulah cuci anggota badan yang terlibat ataupun teruslah mandi.

    Sebagai alternatif, boleh juga melumurkan serbuk teh atau kopi yang sudah digunakan. Caranya sama saja spt di atas.

    Akhir kata, itulah satu petua yang dapat saya kongsi diruangan terhad ni. Harap anda boleh mencubanya kalau bahan2 tersebut ada di dapur rumah anda. 🙂

  3. arwah nenek sy pernah mengubati bisul sy dgn menumbuk daun keledek dan tampal pada bisul tersebut. alhamdulillah bisa bisul berkurangan dan cpt sembuh

  4. Daun jambu batu melicinkan dan mewangika kulit.
    Ini ialah satu kaedah yang pernah saya amalkan semasa muda-muda dulu dan sampai la ni..
    Sebelum nak mandi, ambil pucuk dan daun jambu batu yang muda kira-kira satu genggam. Basahkan badan, basahkan daun jambu ditapak tangan upal biar lumat dan cukup hancurnya kemudian lumurkan keseluruh badan, apalagi di bahagian yang berdaki,sental biar agak banyak sedikit, InsyaAllah,daki pun hilang, kulit pun licin dan rasa segar serta berbau harum…..
    cubalah..

  5. Saya ada amalkan satu petua sireh, dengan minum rebusan air sireh untuk elakkan bau badan dan elakkan keputihan. rasa dia memang payau cikit tapi elok untuk kesihatan badan.cubalah.

  6. Assalamualaikum.

    Tok Batin semasa kecil2 dulu jika batuk berpanjangan arwah nenek akan gunakan limau nipis yang dibelah dua dan dicampur dengan sedikit kapur sireh kemudian dilayurkan pada api. Selepas itu kita terus perah airnya dan minum.

    Tok juga teringat semasa arwah nenek kena penyakit kencing manis arwah akan cari daun hempedu bumi dikeringkan (dijemur) dan setelah itu direndam dalam air panas dan diminum. Selain daun hempedu bumi boleh juga gunakan akar patawali. Tumbuhan ini bukan sahaja untuk kencing manis tetapi ianya cukup baik untuk darah tinggi.

    Selain itu semasa kecil jika Tok susah nak makan arwah akan tumbuk lempoyang dicampur dengan air suam dan ditapis hampasnya kemudian diberi minum airnya. Ianya juga untuk menghapuskan cacing dalam saluran usus kita.

    Jika kita nak terangkan mata atau bersihkan mata arwah akan ramas daun sireh yang dicampur air kemudian ditapis. Airnya kita gunakan untuk merendamkan mata kita. Kelip2kan mata kita dan kita akan lihat banyak kekotoran akan keluar. Memang agak pedih tapi nak sihat tahan sajalah.

    Jika kita kena beguk arwah nenek akan gantungkan buah mengkudu yang kecil (diikat dengan benang) dan dikalungkan dileher. Beguk tersebut disapu dengan nila berbentuk buku bukan jenis cecair.

    Jika demam campak dan untuk menghilangkan gatal2 arwah akan letakkan daun bambu dibawah tempat tidur saya.

    Untuk menguatkan gigi arwah nenek akan bakar buah pinang yang dah kering kemudian ditumbuk dicampurkan dengan sedikit garam kasar dan digunakan sebagai ubat gigi. Arwah beritahu ianya juga dapat membantu mengelakkan kanser mulut atau gusi berdarah.

    Sekian untuk perkongsian idea buat masa ini. Jika ada kelapangan waktu Tok akan cuba berikan lagi beberapa petua. Jika ada yang berminat nak formula untuk beberapa campuran tumbuhan untuk beberapa jenis penyakit boleh email pada Tok di sham-pa@hotmail.com dan ianya percuma kerana ianya adalah hak milik allah. Tok hanya sampaikan sahaja. Semoga memberi manfaat buat semua yang berminat. Tok tiada niat nak promosi diruangan ini kerana ianya perbuatan yang tidak baik. Jika ada yang mungkin salah anggap Tok minta maaf terutama kepada Tuan Fadzly sendiri selaku penyedia laman web ini.

    Terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Protected by WP Anti Spam