March 19, 2024

Artikel kali ini dipetik dari Buletin yang diterbitkan oleh FRIM pada September 2016 mengenai kaedah terbaik untuk menanam teratai atau nama saintifiknya Nelumbo nucifera.

Pemulihan semula populasi teratai telah dijalankan oleh FRIM secara menanam semula tumbuhan akuatik ini di pinggir tasik. Pokok teratai memerlukan sekurang-kurangnya 6 bulan untuk stabil. Teratai memerlukan tanah berlodak dengan kedalaman air kurang daripada satu meter untuk hidup subur. Bekalan benih diperoleh terutamanya daripada kawasan populasi teratai yang telah mati.

Pengambilan bahan tanaman dijalankan dengan mencabut bebola akar teratai secara berhati-hati bersama tanah berlodak untuk mengelakkan kecederaan akar serabut. Tanah lumpur yang lembap dan berair sesuai dijadikan media stok tanaman. Bahan tanaman direndam dalam kolam semaian dengan jarak satu meter antara satu sama lain. Selain kolam semaian, pasu besar yang berisi air juga digunakan sebagai tempat semaian.

Bahan tanaman berada di tapak semaian selama dua bulan sehingga akarnya stabil dan tumbuhnya tunas yang baharu. Anak teratai yang telah menghasilkan lima helai daun boleh dipindah untuk ditanam di tasik.
Teratai ditanam dengan menterbalikkan pasu yang separuhnya berada dalam air untuk mengelakkan kerosakan gumpalan akar. Gumpalan akar diampu supaya tegak dan ditenggelamkan secara perlahan-lahan dengan memastikan daunnya berada di permukaan air. Teratai yang ditanam perlu mempunyai sekurang-kurangnya tiga penyambung akar untuk membolehkannya terus hidup. Anak teratai yang dipindah, dibajakan setiap bulan sehingga bulan keenam.

Kaedah yang diguna pakai didapati menghasilkan peratus kehidupan teratai yang tinggi dan bilangan daun yang dihasilkan mampu melebihi 30 helai. Keluasan kawasan pertumbuhan teratai pula meliputi sehingga empat meter persegi selepas sebulan penanaman.

>>> Dapatkan Info Terkini berkaitan tumbuhan di Channel Telegram >> https://t.me/tentangtumbuhan

Number of View :8021

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Protected by WP Anti Spam