Kacang Edamame

Bagi mereka yang biasa makan di Sushi King, sudah pasti mengenali kacang Edamame. Kacang ini sangat popular di restoren-restoren di Jepun kerana ia merupakan makanan yang sangat tinggi khasiatnya kerana memiliki kandungan tinggi asid lemak omega-3, serat pemakanan, protein dan karbohidrat serta beberapa mineral dan vitamin.

Kacang Edamame sebenarnya adalah sayuran yang dikenali sebagai kacang soya hijau. Edamame jika diterjemahkan secara terus bermaksud ‘kacang ranting’, iaitu ‘eda’=ranting dan ‘mame’=kacang. Ði China, kacang soya hijau ini dikenali sebagai maodou yang membawa maksud ‘kacang berbulu’. Ini kerana terdapat bulu-bulu halus pada kulit kacang ini.

Adakah Edamame sama dengan kacang soya yang biasa kita minum airnya?

Kacang Edamame atau kacang soya merupakan spesies yang sama atau nama saintifiknya Glycine max. Namun, keduanya mempunyai varieti yang berbeza. Edamame atau kacang soya hijau sedikit berbeza berbanding kacang soya yang berwarna kuning apabila telah matang. Ini kerana biji kacang edamame berwarna hijau apabila matang.

Tahukah anda.. terdapat seorang usahawan di TKPM Serdang yang mengusahakan tanaman kacang Edamame. Beliau bernama Cheah Shiau Feng telah menanam lebih 3,000 pokok Edamame sebagai tanaman sampingan di kawasan lot TKPM Serdang. Percubaannya mendatangkan hasil kerana permintaan terhadap kacang ini mendapat sambutan yang baik di pasaran. Harganya boleh mencecah sehingga RM15/kg. Terdapat 3 jenis varieti kacang Edamame yang beliau pernah ditanam, namun hanya satu sahaja yang mempunyai potensi yang baik untuk diusahakan. Varieti yang beliau pilih mempunyai saiz kacang yang lebih besar dan mudah untuk dituai.

Menurut beliau, tanaman kacang ini lebih mudah ditanam kerana ia tidak mempunyai penjagaan yang khusus. Kaedah penanaman menggunakan media cocopeat dan pemberian baja melalui sistem fertigasi yang biasa dan sekali sekala membuat semburan baja foliar bagi mencepatkan pertumbuhan. Beliau juga tidak menggunakan racun perosak kerana didapati serangan serangga tidak menjejaskan tanaman ini.

Pokok kacang Edamame mengeluarkan hasil lebih kurang 2-3 bulan penanaman dan penuaian hasilnya hanya sekitar 2 minggu sahaja. Pengeluaran hasil Edamame lebih kurang 500gram sepokok atau 120-150 biji buah. Beliau menanam 2 pokok bagi setiap polibeg. Biji benih Edamame boleh didapati dari pembekal benih dengan harga RM250/kg.

>> Dapatkan Segala info terkini dan maklumat berkaitan tumbuhan herba.. tanaman hiasan dan seangkatannya di sini.. >> https://t.me/tumbuhan

Number of View :207

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Protected by WP Anti Spam