Jarak Minyak – Ricinus communis L

Terdapat sejenis tumbuhan yang boleh memudaratkan sekiranya digunakan secara tidak berhati-hati. Tumbuhan yang dimaksudkan itu ialah Jarak minyak (Ricinus communis L.). Kebiasaannya tumbuhan ini hidup liar di kawasan terbiar. Ia sering juga ditanam sebagai pokok hiasan. Tumbuhan daripada keluarga Euphorbiaceae ini juga dikenali sebagai pokok jarak. Ia merupakan pokok kecil atau shruba yang boleh mencapai ketinggian hingga 15 kaki. Bahagian di bawah batang berwarna keputihan. Sebahagian dahan dan ranting mempunyai warna kemerahan. Tumbuhan ini berbunga dan berbuah sepanjang tahun.

Tanda-tanda keracunan

Keseluruhan pokok ini boleh memudaratkan. Ia boleh menimbulkan kesan alahan kepada individu yang sensitif. Bahagian yang paling toksik ialah bijinya. Ini disebabkan biji tumbuhan ini mengandungi sejenis fitotoksin (toksalbumin) ricin dan alkaloid ricinine. Sebagai toksalbumin, ricin berupaya menghasilkan tindak balas antibodi dalam tubuh. Walaupun mekanisma tindak balas bahan toksik ini tidak dapat dikenalpasti secara khusus, ia dilaporkan berupaya menghalang sintesis protein dalam dinding perut. Gejala keracunan akibat pendedahan kepada bahan ini ialah rasa terbakar di mulut dan tekak, rasa loya, muntah, pemecahan sel darah merah dan ke-gagalan buah pinggang. Dalam kes yang teruk, ia boleh membawa maut. Biji tumbuhan ini mengeluarkan minyak yang dikenali sebagai minyak jarak. Ia mempunyai ciri-ciri sebagai julap (purgatif). Minyak jarak digunakan dalam perubatan untuk merawat sembelit dan juga digunakan sebelum sesuatu pembedahan yang melibatkan usus dilakukan. Dos minyak jarak yang di-gunakan sebagai julap berbeza bergantung kepada produk atau keluaran yang ada. Minyak jarak itu sendiri tidak merbahaya kerana toksin yang terdapat di dalam biji tersebut tidak larut dalam minyak. Tapak utama tindakan minyak jarak ialah di usus kecil. Oleh itu penggunaan yang berlarutan mungkin menyebabkan kehilangan air, garam-garam mineral dan pemakanan dalam tubuh.

Biji tumbuhan ini menjadi kurang toksik sekiranya ia ditelan tanpa dikunyah atau dibuang kulitnya terlebih dahulu. Kulitnya yang keras menjadi `pelindung‘ kerana bahan toksik tersebut tidak dapat menyerap ke dalam tubuh apabila dimakan.

Kesan sampingan yang pernah dilaporkan (berikutan pengambilan dos minyak jarak yang berlebihan) ialah rasa mengantuk, rasa loya dan muntah-muntah, sakit perut yang kronik, kejang otot, cirit-birit yang teruk dan pengsan.

Nama Tempatan: Jarak Minyak , Jarak Berumah, Pokok Jarak.

Daun: Seperti daun papaya, berlingkaran, berbentuk palmat (tapak tangan) dan berlekuk 7-9, lebarnya 15-50 cm. Bahagian sisi setiap lekuk bergigi, bahagian bawahnya berwarna hijau tembaga, tangkai 7-36 cm berwarna kemerahan.

Buah: Berbentuk kapsul berduri seperti buah rambutan muda. Akan merekah kepada tiga bahagian apabila matang dan terdapat satu kapsul setiap bahagian. Terdapat satu biji yang menyerupai bentuk dan warna biji getah bagi setiap kapsul. Saiz biji – panjang 1 cm dan lebar 0.5 cm.

Bunga: Infloresens atau jambak bunga terbentuk secara panikal, terminat. Bunga jantan dan bunga betina terdapat pada panikal yang sama.

—————————————————————————————

Dapatkah Hadiah Misteri Dengan Menjawab Soalan Kajian Ini <-Klik Sini

Number of View :5769

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Protected by WP Anti Spam