Halia Tua

Halia ( Zingiber officinale ) dari keluarga Zingiberaceae ialah sejenis tanaman saka yang berasal dari kawasan tropika di Asia. Ditanam di kebanyakan kawasan di dunia terutamanya di India, China, Malaysia dan Indonesia. Antara jenis halia yang ditanam di Malaysia ialah jenis Bentong, Taiwan dan Indonesia yang berbeza dari segi bentuk rizom, kepedasan dan kandungan air.
Penanaman Halia menggunakan rizom yang matang dan cukup tua (berumur lebih dari 9 bulan) sebagai benih tanaman. Tanaman halia memerlukan sedikit naungan. Sesuai ditanam di pelbagai jenis tanah termasuk tanah gembur dan peroi serta gambut yang mempunyai saliran baik supaya tidak menyekat tumbesaran rizom.
Halia Tua banyak digunakan sebagai perasa dalam masakan. la juga boleh diproses, di keringkan dan dijadikan serbuk untuk masakan dan pelbagai kegunaan termasuk perubatan.
Kepentingan kualiti
Perubahan gaya hidup dan kehendak pengguna masa kini meningkatkan cabaran kepada pengeluar hasil pertanian untuk mengeluarkan produk yang bukan sahaja menepati kehendak dari aspek fizikal dan citarasa, malah juga selamat untuk dimakan. Selain dibungkus dengan sempurna, hasil pertanian perlu bebas dari sisa baki racun perosak dan memenuhi tahap kualiti fizikal yang dikehendaki pasaran.
Kematangan Halia Tua untuk kegunaan segar dicapai selepas 8-9 bulan penanaman. Untuk mencapai tahap kualiti optimum, penuaian perlu dilakukan pada awal pagi atau di waktu petang dalam persekitaran yang redup. Halia yang telah dituai dimasukkan ke dalam bekas yang sesuai seperti bakul plastik (30 kg) dan perlu dibawa secepat mungkin ke tempat pengumpulan bagi mengelakkan terdedah kepada cuaca. panas yang akan menyebabkan rizom menjadi kecut. Rizom halia kemudiannya dibersihkan, dirawat (2-3 hari), digred dan dibungkus sebelum dipasarkan. Pastikan ia sentiasa kering dan disimpan di tempat teduh dan mempunyai pengudaraan yang baik. Halia tua boleh disimpan pada suhu 10-13°C dengan kadar kelembapan relatif 65-75% di mana jangkahayat kekal sehingga 6 bulan.

sumber: FAMA

Number of View :7134

2 comments

  1. Saya memerlukan artikel tentang pokok misai kucing. Saya berminat untuk mengetahui tentang khasiat pokok tersebut,caar penanaman. Sekian terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Protected by WP Anti Spam