March 19, 2024

Artikel kali ini adalah mengenai penggunaan bunga sebagai bahan makanan. Tahukah anda, bunga banyak digunakan dalam seni kulineri di Eropah, Timur Tengah, Asia ataupun Indonesia. Penggunaannya juga sangat pelbagai, samada diolah sebagai tumisan, dibuat sebagai ulaman, sup atau pun bahan penyedap masakan. Jom kenalilah jenis-jenisnya.

Bunga Turi (Sesbania grandiflora)
Selain kekacang dan daunnya yang sedap dimakan, bunga turi juga sering diolah sebagai masakan. Masyarakat Jawa mengolah bunga ini dalam campuran ulaman, pecal, ditumis atau dibuat sayur. Rasanya hampirsama dengan bunga betik tetapi tidak pahit.

Bunga Sawi (Brassica chinensis )
Sebahagian orang memanggilnya sebagai bunga sawi. Bunga ini rasanya segar dan sedikit pahit, sesuai diubah dalam masakan sebagai bahan tumisan, rencah, campuran sup atau tumisan. Jangan memasaknya terlalu lama kerana warna bunga akan berubah menjadi kehitaman dan merosakkan kandungan vitamin.

Bunga Telang (Clitoria ternatea)
Bunga ini dari tanaman rumpun yang tumbuh meliar. Bunga ini banyak digunakan untuk memberi warna biru semulajadi pada minuman atau kuih-muih. Cuci dan ramas dalam 10-15 kuntum bunga dengan sesendok air. Ramas-ramas dan kemudiannya ditapis, airnya sedia untuk digunakan sebagai pewarna makanan.

Bunga Melati (Jasminum sp)
Aromanya semerbak melati yang sering digunakan sebagai campuran teh. Bahagian yang digunakan biasanya bahagian bunga yang masih kuncup, dilayukan dan kemudian dikeringkan. Selain memberi aroma yang wangi dan segar, aroma melati juga memberikan efek yang menenangkan pada tubuh. Esen melati juga sering digunakan sebagai pengharum kuih dan aneka jenis minuman.

Artichoke (Cynara scolymus)
Artichoke merupakan sejenis sayuran yang terdiri dari bunga yang sangat popular di Eropah. Di pasaran telah tersedia dalam bungkusan tin atau dalam keadaan segar. Untuk yang segar, terlebih dahulu direbus dan ambil hatinya. Kemudian anda hanya perlu menghidangnya. Sesuai dijadikan salad, dimasak bersama sos putih, campuran sup atau diintikan daging.

Bunga Kantan (Phaemeria speciosa)
Bunga ini adalah dari jenis tanaman lengkuas. Bunga ini mempunyai aroma yang harum, segar dan rasanya yang istimewa. Masyarakat Jawa Barat biasanya menggunakannya untuk campuran urap, lodeh atau dibuat sebagai ulaman. Manakala di sebelah Jawa Tengah pula, sering digunakan dalam campuran pecal dan di Sumatera pula untuk campuran gulai merah. Di Malaysia menjadi bahan utama dalam hidangan laksa dan kerabu.

Bunga Betik (Carica papaya)
Bunga yang didapati dari betik jantan ini amat disukai orang ramai. Rasanya yang pahit mampu meningkat nafsu makan. Jika anda mahu menghilangkan rasa pahitnya, terlebih dahulu dicuci sambil diramas dengan air garam. Sedap dimasak sebagai kerabu atau dibuat sayur berkuah santan.

Bunga Bawang (Allium tuberosum)
Bentuknya yang cantik menjadikan bunga bawang ini sering digunakan sebagai bahan hiasan. Untuk masakan pilih bahagian bunga yang masih kuncup supaya tekstur nampak segar dan rasanya lebih unik. Sering juga digunaka sebagai campuran dalam masakan tumis bersama daging atau makanan laut.

Bunga Pisang (Musa paradisiaca)
Bunga pisang atau biasanya disebut sebagai jantung pisang juga sangat lazat rasanya jika diubah menjadi pelbagai hidangan istimewa. Ulam jantung pisang adalah salah satunya. Ulam jantung pisang merupakan hidangan utama Jawa, Cara menyediakannya juga sangat mudah, jantung pisang dikupas kulit luarnya sehingga menampakkan bahagian putih yang tinggal. Bakar atau kukus terlebih dahulu untuk menghilangkan getah dan rasa kelatnya. Buatkan sambal belacan dan cicahkan jantung pisang ke dalam sambal. Hidangkan dengan nasi panas, memang sedap. Alternatif lain dalam penyediaan jantung pisang adalah dengan memasak sayur lodeh. Pilihlah jantung pisang dari pisang raja atau abu kerana kedua pisang ini menghasilkan jantung pisang yang rasanya tidak pahit seperti jenis pisang lainnya.

Rujukan : Majalah Sedap ( bil.8 2009 )

>>> Dapatkan Info Terkini berkaitan tumbuhan di Channel Telegram >> https://t.me/tentangtumbuhan

>>> Dapatkan Info Terkini berkaitan tumbuhan di Channel Telegram >> https://t.me/tentangtumbuhan

This image has an empty alt attribute; its file name is JOM-FOLLOW-SAYA-DI-TIK-TOK-2.png
Number of View :13281

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Protected by WP Anti Spam