Cendawan Liar

Tahukah anda yang tidak semua cendawan liar beracun kerana ada sesetengahnya yang enak untuk dimakan. Dalam kalangan cendawan yang tidak beracun, ada pula yang tidak boleh dimakan kerana jasad buahnya yang keras atau pahit, contohnya kulat kayu. Selain memakan cendawan di pasaran seperti tiram kelabu dan telinga kera, ada spesies liar seperti cendawan kukur dan busut yang boleh dikutip di hutan sebagai makanan. Mengutip cendawan liar di hutan memerlukan pengalaman dan ilmu ciri-ciri cendawan yang selamat dimakan, contohnya cendawan busut kerana rupa bentuknya menyamai cendawan yang beracun seperti Amanita. Oleh itu, tidak disarankan sewenang-wenangnya mengutip dan memakan
cendawan yang dijumpai di hutan.

Cendawan mudah dijumpai di hutan disebabkan iklim Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun. Bagaimanapun, ia sukar ditemui jika cuaca terlalu kering dan panas, melainkan spesies yang menghasilkan jasad buah yang tegar dan keras. Namun, persekitaran yang terlalu basah akibat hujan atau kelembapan yang terlalu tinggi pula boleh merosakkan jasad buah dan menyukarkan cendawan membiak. Kestabilan fisiologi dan persekitaran yang sesuai penting untuk kelangsungan hidup kesemua jenis cendawan.

Cendawan mempunyai tiga cara hidup yang berbeza yang dikenali sebagai mikoriza, saprofit dan parasit. Cendawan mikoriza seperti spesies Boletus mudah di dapati di atas tanah dan hidup secara simbiotik dengan akar pokok secara membekalkannya dengan nutrien. Cendawan saprofit mengakibatkan pereputan kayu atau bahan organik di lantai hutan. Ia dikelaskan mengikut hos, contohnya kulat di kayu mati dikenali sebagai ulat pereput kayu seperti Lentinus sajor-caju (kulat pereput perang dan putih). Cendawan yang tumbuh di dedaun reput pula penting dalam penguraian bahan untuk kesuburan tanah seperti jenis Marasmius manakala jenis Trichoderma menghasilkan kompos yang diproses menjadi baja atau bahan makanan ikan. Cendawan parasit mengakibatkan penyakit pokok di hutan dan ladang, contohnya Ganoderma boninense yang merosakkan pokok kelapa sawit.

Kaum Orang Asli di Semenanjung Malaysia seperti Negrito, Senoi dan Proto-Melayu biasa mengutip dan memakan cendawan liar. Penduduk bandar sama ada Melayu, Cina atau India pula hanya makan sesetengah jenis cendawan yang mudah diperoleh di pinggir hutan. Cendawan boleh digoreng, direbus atau dibakar mengikut cita rasa. Cendawan liar perlu direbus lama bagi mengelakkan keracunan.

Sumber : Biodiversity article, Buletin Frim in Focus, September 2016

 

p/s: bagi yang ada Telegram boleh join Channel Grup Peminat Tumbuhan.

>> Segala info terkini dan maklumat berkaitan tumbuhan.. tanaman hiasan.. perkebunan dan seangkatan dengannya saya akan kongsikannya di sini..

Sila klik >> https://t.me/tumbuhan

Number of View :2619

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Protected by WP Anti Spam