Pisang Raja

pisang raja

Kesempatan pulang ke kampung tempoh hari, penulis berkesempatan membawa pulang pisang raja. Jarang-jarang sekali dapat berjumpa dengan Pisang Raja atau nama saintifiknya Musa acuminata x balbisiana Colla (AAB group) atau juga dikenali Musa paradisiaca.

Sebelum bercerita mengenai pisang ini, penulis ingin memberikan sedikit informasi mengenai pisang. Di dunia, terdapat 2 kultivar utama pisang iaitu Musa acuminata dan Musa balbisiana. Ia telah dikelaskan berdasarkan ciri-ciri morfologi(luaran) serta jenis bunganya. Kebanyakkan kumpulan Musa balbisiana merupakan pisang liar (wild). Kultivar ini dikategori dalam kumpulan BB / BBB manakala kultivar Musa acuminata dikategori dalam kumpulan AA / AAA.  Contoh pisang dalam kumpulan AA ( Cavendish group) ini adalah seperti Pisang berangan yang popular di Malaysia.

pisang raja

Dipendekan cerita, hasil kacukan 2 jenis kultivar ini menghasilkan pelbagai jenis varieti pisang yang kini telah tersebar ke seluruh dunia. Di India sahaja dipercayai terdapat lebih dari 300 jenis varieti. Malaysia juga di antara negara yang mempunyai kepelbagaian jenis pisang termasuklah pisang raja yang dikatakan memang berasal dari Malaysia atau Indonesia. Di Indonesia ia lebih popular dengan nama pisang raja bulu dan Biu Raja.

pisang raja

Pisang Raja yang berada di dalam kumpulan AAB ini adalah di antara pisang yang mempunyai citarasa yang baik walaupun tidak setanding pisang berangan. Kulit pisang raja bertukar warna kuning apabila telah masak. Isinya berwarna sedikit kuning dan rasanya juga manis seakan-akan rasa pisang berangan.

Walau bagaimanapun, ramai yang lebih suka menggorengnya apabila buah telah masak ranum. Selain dijadikan pisang goreng, ia juga sedap dibuat pengat dan serawa. Pada pendapat penulis pisang ini tidak sesuai disimpan lama kerana di bahagian dalam buah mudah rosak.

Jika anda mempunyai informasi mengenai pisang ini, silalah kongsikannya di sini.

Number of View :14164

Pisang Belalai Gajah

Pelik dan Ajaib. Itulah gambaran keunikan pisang belalai gajah kerana tandan pisangnya yang panjang sehingga mencecah tanah. Tandan pisang yang mampu mencecah sehingga 2 meter ini mengandungi buah yang sangat banyak dan bersaiz kecil. Jadi tidak hairanlah pisang ini juga digelar pisang seribu atau pisang seribu jari (Thousand Fingers). Pisang ini memang jarang sekali dapat ditemui di Malaysia dan dipercayai benih ini di bawa masuk dari Negara jiran seperti di Thailand dan Indonesia. Kegunaan buah ini juga tidak banyak diketahui, namun menurut rujukan pisang ini boleh dimakan, cuma buahnya sedikit berlendir.

Jika anda mempunyai informasi mengenai pisang ini, silalah kongsikannya di sini.

Number of View :13018

Pisang Awak

pisang-awak
Pisang Awak memang tidak asing lagi di kalangan penduduk kampung kerana ia masih banyak di tanam untuk kegunaan sendiri.  Pisang ini jarang sekali dijumpai dijual di pasar-pasar tani apatah lagi di pasaraya. Terdapat pelbagai variasi pisang awak yang kadang-kadang mengelirukan Penulis. Penulis sendiri tidak pasti samada pisang awak mempunyai perbezaan yang jelas di antara pisang Awak betol, Awak legor, Awak Biji, Awak lilin dan  Awak Kepek. Ada juga yang memanggil pisang awak dengan nama pisang Perak, pisang kelat siam dan kelat lega.

Pisang Awak

Apa pun yang pasti pisang awak enak sangat dibuat cokodok, pengat dan lepat pisang. Ada juga yang suka rebus dan juga dibuat lempeng daun pisang. Selain itu, menurut salah seorang rakan, pisang awak jika terlebih masak, boleh dihiris dibelah dua dan dijemur sampai hitam, kemudian disimpan di dalam balang kuih.

Jika anda mempunyai cerita mengenai pisang ini, bolehlah kongsikannya di sini.

Number of View :13307

Pisang Kapas


Pisang Kapas merupakan sejenis pisang yang memang popular di kampung-kampung waktu dahulu. Namun, memang sukar untuk menemuinya dijual di pasar-pasar kerana pisang ini kurang enak dimakan segar. Baru-baru ini Penulis menemui pisang ini dijual di Pasar Tani di Serdang. Melihat ada seorang pakcik yang membelek seikat pisang yang tidak seperti pisang-pisang lain yang dijual. Sempatlah bertanya pada pakcik tersebut. Katanya ini pisang kapas tapi saiznya kecil sikit dari biasa.


Walaupun pisang ini nampak kuning, rasanya memang kelat sedikit. Memang tak lalu nak telan. Bak kata pepatah.. Ditelan mati mak.. diluah mati bapak.. Yang peliknya anak kepada penulis.. selera pula menelannya. Rupa-rupanya pisang ini akan rasa manis sedikit apabila ia benar-benar masak ranum.

Dari perkongsian rakan-rakan, pisang yang muda boleh buat masak lemak dengan kulitnya sekali. Ada juga orang suka buat ulam pisang muda ni. Kalau sudah masak ranum, memang sedap kalau dibuat cekodok dan juga dibuat kek. Jika anda pernah makan pisang kapas ini, bolehlah kongsikannya di sini..

Number of View :9718

Pisang Serendah

Pisang Serendah, namanya sahaja sudah membayangkan keadaan fizikal yang sudah tentu tidak tinggi. Pisang yang juga dikenali pisang kapal ini kononnya pernah ditanam di atas kapal pada zaman dahulu. Samada benar atau tidak, nenek moyang kita sahaja yang tahu. Penulis sendiri biasa menemui pisang ini ditanam di sekitar rumah kerana saiznya yang kecil dan mudah dijaga, tidak seperti pisang-pisang yang lain. Tandan pisang serendah kadang-kadang boleh mencecah tanah.

Dari segi luaran, pisang ini memang nampak menarik kerana ia seakan-akan pisang embun. Menurut rujukan, kulit pisang ini akan kekal hijau walaupun buahnya telah masak. Penulis sendiri belum pernah makan pisang ini. Ada yang menyatakan rasanya tidaklah sedap dan hanya sedap dibuat cekodok kerana buahnya yang lembik apabila masak. Jika anda mempunyai cerita yang lain mengenai pisang ini, bolehlah kongsikannya di sini.

Number of View :13401