Pokok Jarum Mas

pokok-jarum-mas

Pokok ini membuat saya mengimbas kembali semasa zaman kanak-kanak dahulu, waktu sekolah rendah (hampir 18 tahun yang lalu agaknya, sekejap betul masa berlalu). Biasanya, kegiatan ini dilakukan bersama rakan sebaya selepas balik dari sekolah atau waktu cuti sekolah. Kegiatan apa agaknya tu? Ya.. Mencari pokok jarum mas !! Kononnya pokok ini boleh dibuat ubat dan boleh dijual dikedai ubat. Bila dijual dapatlah duit saku. Maklumlah budak-budak. Kedai ubat tersebut memang dekat sangat rumahku ketika itu. (sekarang kedai ubat tu pun dah tutup).

Waktu dan saat itu, saya sendiri tidak pasti bagaimana cerita pokok jarum mas tersebut bermula apatah lagi boleh menjualnya. Memang seronok cari pokok jarum mas bersama kawan-kawan. Pokok ini memang banyak tumbuh di padang-padang rumput. Hendak kenal pokok ini pun mudah. Berebut-rebutlah kami mencari pokok ini dan masukkan dalam plastik. Boleh tahan juga banyaknya bila dikumpulkan dari hari ke hari. Kononnya, bila dah jual berkilo-kilo dapatlah lebih duit. Oh ye.. saya pun masih teringat, ada di antara kami yang cuba menanam pokok tersebut tetapi satu pun tidak menjadi. (maklumlah, akal belum panjang lagi). Hari yang dinantikan pun tiba, kami pun ke kedai ubat tersebut. Cerita punya cerita, dan dipendekkan cerita, taukeh kedai ubat tersebut sebenarnya memang tidak membeli jarum mas tersebut. Akhirnya, kami pun pulang dengan hampanya dan punahlah harapan untuk mendapat pulangan yang lumayan.

18 tahun sudah pun berlalu, aku pun semakin dewasa. Akal pun dah makin panjang. He..he.. Petang tadi sambil berjalan di tepian padang, terjumpa pula pokok jarum mas yang sempat aku cabut dan bawa balik. Maka terhasilah artikel yang sengaja aku panjang-panjangkan ceritanya. Kebetulan beberapa jam tadi, aku ada terbaca satu artikel dalam sebuah buku, menyatakan pokok jarum mas mempunyai khasiat perubatan dalam merawat senggugut. Caranya dengan minum air rebusan pokok tersebut sebelum datangnya haid. Di dalam sebuah blog yang lain pula menyatakan, pokok ini dapat merawat penyakit keputihan dan mampu menjaga kesihatan rahim.

Begitulah cerita mengenai pokok jarum mas. Mungkin anda juga mempunyai cerita mengenai pokok ini sewaktu zaman kanak-kanak anda. Harap boleh kongsikan di sini.

Number of View :19292

Daun pandan

daun-pandan

Daun pandan memang sudah terkenal di Malaysia dalam penyediaan kuih tradisional, sebagai bahan perasa masakan, dan sebagainya. Boleh dikatakan setiap rumah di kawasan kampung ada menanam pokok pandan di sekeliling rumah. Pokok pandan memang mudah hidup di kawasan yang lembap atau berair. Ada sesetengah orang menggunakan daun pandan bagi menyegarkan bau dalam kereta. Ada juga yang meracik halus-halus daun pandan untuk dijadikan sebagai bahan menepung tawar dalam upacara persandingan. Mungkin ada kegunaan lain daun pandan yang orang lain tidak tahu sebaliknya anda ada mengamalkannya. Di harap dapat kongsikan di sini…

Daun pandan tanam di rumah,
Di hiris-hiris dibuat pewangi,
Hancur badan di kandung tanah,
Budi yang baik di bawa ke mati…

Number of View :9897

Petua Tradisional

petua-tradisional

Tahukah anda, petua apa yang kerap orang ingin tahu? Daripada kajian saya; antara 5 carian tertinggi mengenai “ petua “ yang kerap dicari oleh pengguna di internet ialah seperti berikut;

1.petua kecantikan, 2.petua kempiskan perut, 3.petua kuruskan badan, 4.petua hilangkan jerawat, 5.petua awet muda

Sebenarnya, banyak lagi petua yang orang di luar sana ingin tahu tetapi masih tidak yakin dengan petua-petua orang lama dan kebanyakkannya ingin kesan yang pantas. Akhirnya mereka hanya mengamalkan hanya separuh jalan kemudian berhenti kerana tidak menampakkan kesannya.

Sebelum ini saya ada menulis mengenai kegunaan kayu beluru/akar sintok yang banyak digunakan oleh masyarakat negeri Kelantan bagi menyuburkan rambut, membersihkan kepala dan menjadi penawar kepada mereka yang mengalami gatal kulit. Tumbuhan ini merupakan salah satu petua yang telah diamalkan sejak dari dahulu lagi dan telah banyak digunakan oleh pengusaha SPA.

petua-tradisional2

Mungkin anda diluar sana masih mengamalkan, apa-apa petua yang diwarisi oleh orang tua-tua dahulu. Atau anda pernah juga melihat ibu bapa anda ada mengamalkannya di kampung-kampung tetapi tidak diamalkan oleh anda disebabkan anda tinggal di Bandar.
Di harap anda boleh kongsikan apa-apa jenis petua tidak kiralah untuk kecantikan, merawat penyakit, merawat wanita bersalin dan sebagainya.

Number of View :24470

Khasiat Terung

terung
Pada pandangan saya, mungkin tidak ramai rakyat Malaysia yang gemar memakan terung. Hakikatnya, terung juga mempunyai banyak khasiat yang terkandung di dalamnya. Ia baik untuk menjaga kesihatan jantung dan berkemampuan menurunkan paras kolestrol. Ia juga kaya dengan kalium yang bertindak memulihkan paras natrium.

Melalui kajian saintifik yang dilakukan ke atas kulit terung itu sendiri mendapati bahawa warnanya merupakan sebatian kimia yang dikenali sebagai “nasunin” yang mempunyai aktiviti antioksida dan antiangiogenik. Dalam bidang kajian kanser, agen antiangiogenisis dikatakan sebagai agen baru yang mampu mencegah sel kanser daripada membiak dengan menghentikan pembinaan saluran darah. Semasa sel kanser membesar, ia memerlukan saluran darah yang baru untuk memberikan nutrien. Apabila saluran darah dihalang pembinaannya, sel kanser akan mati.
terung2
Selain itu, terung yang dikisar dan diminum dikatakan dapat melawaskan kencing. Terung juga baik diamalkan oleh wanita mengandung. Ia membekalkan folate, sejenis vitamin yang menjaga kesihatan janin dalam kandungan. Bagi yang menjaga kecantikan muka, terung boleh dikisar dan disapu ke kulit muka untuk menghilangkan jeragat dan memelihara kejernihan kulit muka.

Number of View :11917

Khasiat Cili

cili
Cili, cabai, atau lada merupakan jenis sayuran yang amat popular di negara ini. Cili dipanggil paprika atau pimiento di Hungary dan Sepanyol. Cili termasuk dalam keluarga solaneceae seperti tomato dan kentang. Di negara ini cili merupakan salah satu bahan makanan yang banyak digunakan oleh masyarakat pelbagai kaum untuk kegunaan harian dan perusahaan.  Cili kaya dengan vitamin A, B, dan C kompleks, serta komposisi vitamin lain seperti protein, karbohidrat, serta karotin. Kepelbagaian cili memberi kepedasan kepada si pemakan. Ia dinamakan capsaicin, lagi tinggi kandungan capsaicin, cili semakin pedas. Dipercayai capsaicin yang terkandung di dalam cili dapat berfungsi sebagai agen pelindung melawan penyakit ulser peptic serta agen penghalang kepada kimia-kimia carcinogens yang menyebabkan penyakit barah.
cili-padi

Jika menurut rujukan yang saya buat,  buah cili yang masak boleh ditumbuk dan disapu pada kurap. Buah cili padi boleh dicampur dengan sedikit cuka dan diminum bagi merawat sakit perut dan taun. Buah cili padi boleh direbus dan air rebusannya diminum bagi merawat demam, busung , gout, kepialu, sakit kuning, sakit ulu hati dan penghadaman yang tidak sempurna. Air rebusan buahnya juga boleh juga dibuat berkumur bagi merawat sakit tekak.

Saya tidak pasti sejauh mana amalan ini masih dilakukan di masa sekarang. Jika anda mengetahui atau pernah mencubanya bolehlah berkongsikan pengalaman anda di sini…

Number of View :13870