Jenis Buluh

Artikel ini saya ingin kongsikan beberapa jenis buluh yang telah dikeringkan dan dijadikan sebagai bahan pameran. Gambar ini dirakamkan semasa kunjungan ke Taman Eco Rimba Kuala Lumpur (KL) pada bulan November 2017 yang lalu. Pokok buluh ini juga boleh dijumpai di sana. Pokok buluh tergolong dalam famili Poacea sama seperti pokok lalang (Imperata cylindrica), padi (Oryza sativa L) dan tebu (Saccharum officinarum L).

Buluh Lemang atau nama saintifiknya Schizostachyum brachycladum. Telah mula ditanam secara komersil kerana mendapat permintaan yang tinggi.

Buluh Semeliang atau nama saintifiknya Schizostachyum grande. Buluh ini dikatakan sesuai untuk pembuatan rangka dan kraftangan.

Buluh Betong atau nama saintifiknya Gigantochloa thoi. Buluh ini dikatakan menghasilkan rebung yang enak.

Number of View :213

Fakta Tentang Buluh

Artikel kali ini saya ingin kongsikan beberapa fakta menarik mengenai pokok buluh. Fakta yang di perolehi dirujuk dari sebuah artikel yang telah diterbitkan oleh FRIM pada September 2016 yang bertajuk “Tanam Buluh Pulih Keadaan Tanah”.

Terdapat 60 spesies buluh di Semenanjung Malaysia yang mana 28 spesies merupakan buluh tempatan yang tumbuh meliar, manakala selebihnya adalah spesies yang ditanam. Penyelidikan ke atas buluh mendapati hanya 13 spesies yang digunakan secara komersial. Ciri-ciri buluh yang menjadikannya sesuai untuk ditanam termasuk mempunyai tumbesaran yang pantas serta berupaya mengeluarkan hasil (rebung dan batang) secara berterusan.

Pertumbuhan batang yang maksimum hanya memerlukan 20 minggu. Buluh juga mudah dibentuk dan dilentur walaupun bersifat keras seperti kayu. Daun buluh yang gugur berfungsi sebagai sungkupan yang efektif bagi memperbaiki struktur tanah. Satu hektar buluh menghasilkan daun gugur sebanyak 5-7 tan setahun yang membantu meningkatkan pH dan meneutralkan keasidan tanah. Buluh menambah 0.7 – 0.9 tan/ha karbon di samping membekalkan bahan organik dan nutrien seperti kalsium, magnesium dan zink kepada tanah. Sistem akar buluh yang kuat menjadikannya sesuai bagi kawalan hakisan dan perlindungan tanah. Serumpun akar buluh dianggar mampu memegang 6 m3 tanah.

Pohon buluh tumbuh daripada mata tunas di bahagian rizom (akar bawah tanah) yang keluar sebagai rebung daripada permukaan tanah. Rebung tumbuh dengan cepat dan jangka masanya berbeza mengikut spesies, iaitu antara 8-12minggu. Selepas peringkat rebung, batang buluh memerlukan tempoh sehingga 20 minggu untuk mencapai ketinggian maksimum. Selepas tempoh ini, buluh berhenti membesar namun mengalami perubahan fizikal, mekanikal serta kandungan kimia (khususnya kanji). Bilangan buluh yang tumbuh bergantung kepada bilangan rebung yang terhasil dalam satu rumpun yang berkembang menjadi batang buluh.

Number of View :279