Bonsai

Seperti pokok biasa, bonsai juga ada yang berbunga dan tidak berbunga. Jasmin, melati dan limau misalnya mengeluarkan bunga berwarna putih berbau harum. Untuk mendorong bonsai berbunga, daun pokok terlebih dulu harus dibuang dengan jari. Genap sebulan, bunga akan tumbuh dan bertahan selama sebulan sebelum mengambil masa dua minggu untuk gugur sepenuhnya.
Bonsai terbahagi kepada empat ukuran ketinggian. Miniatur jenis paling kecil menawarkan ketinggian sehingga 15 cm diikuti bonsai kecil berukuran 35 cm seterusnya yang sederhana setinggi 70 cm hingga paling besar berukuran 120 cm.

Bonsai miniatur rumit sedikit untuk dijaga kerana sukatan baja dan jumlah siraman perlu dibuat merujuk kesesuaian keperluan pokok. Baja dan air tidak perlu banyak. Baja memadai diberi sebulan sekali manakala waktu siraman paling sesuai adalah tengah hari. Bonsai miniatur cuma perlukan siraman sekali sehari berbanding jenis lain yang perlu disiram dua kali sehari.

Persekitaran berangin mempengaruhi tahap kesuburan bonsai. Seperti manusia memerlukan udara segar untuk kehidupan berkualiti, demikian juga bonsai yang tumbuh subur di persekitaran lapang dan berudara. Ini antara sebab bonsai bermutu tinggi banyak ditemui di kawasan pulau dan pantai.

Tujuan utama ia ditanam dalam pasu ialah untuk mengawal tumbesarannya dan memang objektif bonsai diwujudkan sebagai replika pokok asli yang ukurannya dua tiga kali ganda lebih besar. Jika ditanam di tanah, pokok berkenaan akan cepat membesar mengikut luas tanah. Walaupun ditanam dalam pasu, jangan bersikap lepas tangan kerana anda perlu menukar tanahnya setiap setahun setengah. Selain itu, air dan baja kena lebih manakala pilihan saiz pasu seharusnya sesuai dengan ukuran bonsai ditanam.

Harga bonsai dinilai menerusi dua faktor iaitu pertama keindahan reka bentuk disusuli usia. Makin tua bonsai, makin ia mendapat tempat di kalangan pencinta spesies itu. Paling diburu orang tentulah yang usianya mencecah beratus tahun.
Mengenai ciri keindahan bonsai, semakin wujud persamaan struktur di antara bonsai dengan pokok asal, makin berharga bonsai berkenaan. Selebihnya, dinilai menerusi gaya ia tumbuh sama ada berbentuk setengah juntai atau berjuntai penuh, rupa daun yang halus selain ira kayu menarik misalnya nampak matang dan kasar.

Apapun, berbanding yang ditanam di dalam tanah, bonsai yang akarnya menular di celah batu lebih payah dihidupkan. Dinamakan bonsai dalam batu, ia mengambil masa sekurang-kurangnya 20 tahun untuk hidup.

Number of View :6530

4 comments

  1. Salam sya ingin meminta tunjuk ajar tentang teknik penjagaan pokok bonsai,contohnya cara penyiraman yang betul dan lain2 lg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Protected by WP Anti Spam