This site contains information, graphics and quizzes on the topic of plants...

Pokok Monstera

Pokok Monstera atau nama saintifiknya Monstera deliciosa tergolong dalam famili Araceae. Pokok ini juga lebih dikenali sebagai Cheese plant disebabkan bentuk daunnya yang berlubang dan saiz daunnya juga besar. Pokok ini menjadi pilihan ramai kerana ia sesuai ditanam sebagai tanaman indoor atau dijadikan tamanan hiasan dalam pasu.

Pokok Monstera yang unik ini memerlukan keseimbangan penerimaan cahaya matahari yang baik. Sekiranya ia terdedah dengan matahari yang terlampau banyak menyebabkan daunnya mudah bertukar menjadi kekuningan.

Number of View :240

Buah Ara Telinga Gajah

Ara Telinga Gajah atau nama saintifiknya atau Ficus auriculata tergolong dalam famili Moraceae. Saiz daunnya yang sangat lebar dan besar menyebabkan ia digelar dengan nama Ara Telinga Gajah. Ia juga dikenali dengan nama Ara Mekah dan juga buah Kelebuk. Pokok ini juga lebih sinonim dengan nama Ficus roxburghii.

Gambar pokok ini diambil semasa lawatan ke Pusat Pertanian di Hulu Paka pada bulan Julai yang lalu. Semasa belajar di UKM dahulu, pokok ini banyak ditanam sebagai tanaman landskap di sekitar kampus. Pokok ara telinga gajah sangat unik kerana kanopi atau silaranyanya yang sangat rendang dan mengeluarkan buah yang banyak pada batangnya. Pokoknya boleh mengeluarkan buah sepanjang tahun.

Menurut rujukan, buah, daun dan seluruh bahagian pokok ini telah digunakan sebagai bahan dalam perubatan tradisional sejak dahulu. Daunnya direbus dan air rebusannya digunakan dalam rawatan penyakit kencing manis dan masalah tekanan darah tinggi. Bahagian daun dan akarnya juga digunakan sebagai penawar racun.

Di Vietnam, buah ara gajah yang masih separuh masak dipotong menjadi kepingan, lalu dikeringkan atau dipotong berbentuk dadu untuk dijadikan sebagai sayur dalam makanan tempatan. Buah yang masak dapat dijadikan sebagai jem atau dimasak kari. Daun muda dan pucuknya dapat dimakan sebagai sayur, manakala buahnya dimakan secara mentah.

Number of View :249

Pokok Fiddle Fig

Fiddle Fig atau nama saintifiknya Ficus lyrata tergolong dalam famili Moraceae. Ia juga dikenali sebagai Fiddle leaf Fig. Daunnya yang lebar seakan daun pokok ketapang. Pokok ini merupakan salah satu pokok indoor plant yang sesuai tanam di rumah kerana tidak memerlukan pencahayaan yang banyak.

Pokok fiddle fig juga sesuai ditanam sebagai tanaman landskap di kawasan bandar. Ia boleh tumbuh sehingga mencapai ketinggian 5meter. Seperti gambar di atas, dibawah kanopi pokok fiddle fig boleh dijadikan tempat orang duduk dan berteduh dibawahnya.

Number of View :216

Cili Kanching

Di Malaysia tanaman cili memang tidak asing lagi. Namun, di Sarawak terdapat jenis cili yang belum pernah dijumpai dijual di Semenanjung yang dikenali sebagai Cili Kanching. Saiznya kecil dan bentuknya hampir bulat seakan buah ceri. Maklumat mengenai Cili Kanching ini tidak dijumpai dalam carian di Internet. Sekiranya anda mempunyai maklumat yang mengenai cili ini, bolehlah kongsikannya di sini.

Number of View :216

Buah Engkalak

Buah Engkalak atau nama saintifiknya Litsea garciae tergolong dalam famili Lauraceae. Buah ini sangat tidak asing lagi di kalangan masyarakat di Sabah dan Sarawak. Di Sabah dikenali buah ini dikenali dengan nama pagalaban, penglaban atau pengeluban. Dalam bahasa melanau pula dipanggil dengan nama buah Tebuluh. Gambar ini saya ambil semasa berkunjung ke Sarawak pada tahun hujung Nov 2015 yang lalu. Tidak pasti di mana lokasinya. Jika kena musim buah ni, harga buah dijual dengan harga serendah RM1 sepinggan.

Saya ingin kongsikan komen dari seorang pembaca Blog ini yang berasal dari Sarawak mengenai buah Engkalak ini… “Buah ni bermusim (semusim dengan durian) rasanya lemak, cara nak makan buah ni adalah dengan merendam dengan air panas sehingga lembut kemudian tus kan air nya dan digaulkan dengan garam halus secukup rasa…lepas itu bolehlah terus dimakan. Sebenarnya buah ni tidak lah sampai perlu diketuk-ketuk… yang penting buah tu cukup masak dan direndam dengan air yang betul-betul panas. Buah yang muda memang boleh dibuat jeruk. Bila dah boleh dimakan jeruk buah ni kita akan letak dalam bekas bersama-sama dengan air jeruk tu sekali, kita bolehlah pecahkan cili api dalam jeruk ni, buah boleh dimakan dan air jeruk boleh dihirup sekali. Rasanya masam, lemak dan pedas yang membuatkan ia rasa sedap. “

Selain itu, dikatakan Buah engkalak yang cukup masak boleh juga dijadikan umpan ikan patin atau labang. Ikan-ikan ini menggemari buah ini kerana rasanya yang manis dan lemak. 

Number of View :240