Ubi Tum @ Air potato

ubi-tum3
Sudah lama penulis ingin menulis artikel ini, namun hanya pada 10 malam terakhir di bulan Ramadhan baru tangan ini dapat menulisnya. Artikel kali ini mengenai pokok Ubi Tum atau nama saintifiknya Dioscorea bulbifera. Di lain-lain Negara ia lebih popular dengan nama air potato disebabkan ubinya yang tergantung di udara tidak seperti jenis-jenis ubi yang lain yang terdapat di dalam tanah. Walau bagaimanapun terdapat juga varieti lain air potato di luar negara yang juga dikenali Dioscorea alata.

Ubi Tum juga dikenali dengan nama Ubi Sentul atau Ubi Setong di sebelah kawasan pantai timur. Ada juga yang menggelarkannya Ubi takut babi disebabkan tidak tumbuh di dalam tanah.

ubi-tum2

Penulis juga pernah menanam ubi ini di kawasan rumah. Ubi yang tumbuh secara menjalar ini mudah hidup dan tidak sukar menjaganya. Pertama kali menanam pokok ini, ubi yang dikeluarkan tidak besar dan buahnya juga tidak banyak. Daun pokok juga kecil. Apabila kali kedua menanamnya dari benih yang sama, pokok lebih subur dan daun pokok juga lebih besar. Buah/Ubi yang pertama keluar juga mempunyai saiz lebih besar. Namun, ubi-ubi yang lain akan menjadi lebih kecil sehingga ubi yang terakhir keluar yang semakin kecil.

Saya pernah ditanya melalui satu email sewaktu ketika dahulu. Adakah ubi ini boleh dimakan dan adakah ia beracun? Dalam pengetahuan saya ketika itu, ubi ini tidak beracun dan ianya boleh dimakan. Namun, saya sempat membuat sedikit rujukan daripada kajian-kajian yang pernah dibuat di luar negara. Sebenarnya, ubi jenis ini mempunyai sedikit racun atau toksik. Saya tidak pasti adakah ia adalah dari jenis yang sama atau berlainan. Mungkin disebabkan itu ubi ini perlu dimasak terlebih dahulu bagi menghilangkan racun yang terdapat di dalamnya.

 

ubi-tum

Daripada maklumbalas mereka yang pernah makan ubi ini, kulit ubi tum dikupas kulit dan Perlu dicuci hingga hilang lendir sebelum di masak. Kebiasaannya ia dimasak bersama kari ikan. Rasanya seakan ubi kentang. Ubi Tum ini juga dipercayai boleh dijadikan penawar penyakit kencing manis. Perkara ini juga pernah dinyatakan oleh makcik yang tinggal di Kampung Gajah Perak. Menurut beliau lagi, ubi ini sukar didapati dan harganya juga mahal.

Jika anda ada cerita menarik mengenai ubi ini, bolehlah kongsikannya di sini.

Number of View :11422